RAKAN BLOG MASJID

16 May 2011

KEADILAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB

KISAH SEJARAH
Keadilan Umar turut disanjung musuh Islam

KHALIFAH Umar ibnu Al-Khattab memang terkenal sebagai seorang ketua negara yang sangat adil. Pertimbangannya berhubung maslahat ramai amat keras. Sikapnya amat tegas dalam menjalankan hukum dan undang-undang Islam.

Antara jasa beliau dalam dunia Islam, termasuklah menjalankan undang-undangnya dengan penuh keadilan.

Dengan sikapnya yang tegas, pekertinya yang tinggi dan keadilannya yang tiada tolok bandingnya, tidak hairanlah kalau Sayidina Umar disanjungi ramai, termasuk musuh-musuh Islam sendiri.

Dalam zaman pemerintahannya, Sayidina Umar meletakkan para kadi/hakim pada martabatnya yang tinggi. Mereka dihormati oleh khalifah itu dan diberikan kebebasan sepenuhnya untuk menjalankan tugas.

Ini menjadikannya semakin penting memandangkan bahawa hukum Islam sendiri, pada umumnya, melarang keras sebarang perbuatan membeza-bezakan warna kulit dan corak serta kedudukan seseorang.

Dalam melaksanakan hukum-hukum Allah, para kadi/hakim lazimnya menyamaratakan pangkat dan darjat manusia.

Tiada beza membeza dari segi darjat. Tiada sikap pilih memilih. Lebih-lebih lagi perbuatan rasuah.

Kesan daripada keadilan Sayidina Umar melaksanakan perintah-perintah agama turut mengharumkan nama Islam.

Keadilan di kalangan rakyat tersebar begitu luas. Demikian juga dalam golongan bangsawan dan orang-orang yang terpandang.

Dengan itu sifat-sifat zalim, kejam, ganas, buas, tidak adil, berat sebelah dan lain-lain seumpamanya terpinggir, malah tidak bertempat dan tidak dapat bertahan lama pada zamannya.

Antara sifat Khalifah Umar yang amat terkenal, termasuklah bertindak segera dalam membela orang-orang yang dianggap lemah. Beliau tidak akan bertangguh-tangguh dalam mengambil hak yang menjadi milik golongan yang lemah.

Maksudnya, hak si lemah yang teraniaya segera diambil semula dari tangan si zalim, walaupun si zalim tadi anggota kerabat atau puteranya sendiri.

Demikian pula andainya seseorang mangsa yang teraniaya tadi menjadi musuh besarnya.

Sayidina Umar menetapkan tiga kriteria yang penting untuk memilih seseorang menyandang jawatan kadi/hakim, yang ditugaskan untuk menjalankan hukum Islam di kalangan umatnya.

Tiga kriteria utama itu ialah: Warak, takwa dan mengerti sepenuhnya hukum-hukum Islam.

Warak: Menjauhkan diri daripada segala perbuatan syubahat kerana takut terjerumus ke jurang haram. Sekiranya syubahat itu orang takut menghampirinya, maka pastilah ia lebih wajar untuk dijauhi.

Seorang kadi/hakim yang memiliki sifat warak, misalnya, tidak akan sanggup melanggar larangan Allah walau sekecil mana sekalipun.

Seandainya beliau menerima sesuatu perkara atau seseorang yang mesti dijatuhi hukuman, akan diperiksanya dengan teliti terlebih dahulu, dan dengan kebijaksanaan demi mengelakkan berlaku kesalahannya dan demi hukuman itu dilaksanakan seadil-adilnya berdasarkan undang-undang Islam.

Sayidina Umar berpendapat bahawa sekiranya seorang kadi/hakim berusaha menjauhi segala perbuatan syubahat, sedang yang haram dilanggarnya juga, maka ia adalah warak yang palsu.

Kadi/hakim warak yang termasuk dalam kriteria Sayidina Umar ialah kadi/hakim yang jujur, setia melaksanakan hukum-hukum Islam terhadap segala tingkatan dan kedudukan manusia dengan seadil-adilnya, tanpa membeza-bezakan warna kulit dan bulu seseorang itu.

Takwa: Berbakti kepada Allah dengan menjalankan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya -- kecil atau besar.

Dalam melaksanakan hukum agama, kadi/hakim bersifat takwa itu sentiasa mengingati kemurkaan Allah dan tidak melakukan kezaliman ketika mengenakan sesuatu hukum.

Takwa yang palsu ialah: Takut melanggar larangan manusia namun larangan Allah dilanggarnya.

Menghayati hukum Islam: Sifat kadi/hakim yang ketiga ini ialah benar-benar mengerti tentang hukum Islam. Tidak mengerti pada kulitnya sahaja sementara isi, maksud dan tujuannya tidak langsung diketahui.

Dengan pengertian yang betul terhadap agama, maka dapatlah seseorang itu meletakkan hukum pada tempat yang sewajarnya.

Mereka tidak akan berasa khuatir berlaku kesalahan dan kerosakan.

1 comment:

  1. Ar Rayah World News
    http://www.arrayah.info/
    Berita Terkini Kebangkitan Negara Islam Global - Khilafah Islamiyah

    ReplyDelete

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."