assalam

assalam

RAKAN BLOG MASJID

10 August 2011

ZAKAT FITRAH BILA & BAGAIMANA BAYAR ?

Bagaimana menunaikan Zakat Fitrah ?

Zakat Fitrah boleh dikeluarkan dengan memberi segantang tamar atau gandum atau kismis menurut hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah ra dan Hakim. Walaubagaimanapun ianya secara umum dibolehkan memberikan makanan yang menjadi pemakanan asasi sesuatu masyarakat seperti beras bagi masyarakat Melayu di Malaysia ini berdalilkan kepada hadith dari Abu Said al-Khudri ra yang menyebut mereka mengeluarkan segantang dari makanan atau dari gandum …(lihat dalam Bukhari no. 1505 dan Muslim, Abu Daud dan Tirmidzi dan Nasaie).

Ini dapat dilihat dalam pelbagai hadith baik dari Ibn Umar ra dan juga dari Ibn Abbas ra yang hanya menyebut sejumlah gantang dari makanan dan tanpa mengkhususkan apakah jenis makanan kecuali memberi contoh bahawa ada yang memberi tamar, gandum dan kismis dan daqiq (tepung) dan lain-lain seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dalam kitabnya dengan sanad yang sahih.

Kiraan gantang ini ialah menurut kiraan ahlul Madinah berdasarkan hadith Ibn Umar ra yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Timbangan (berat) itu ditimbang menurut ahlul Makkah dan Sukatan (jumlah) itu ialah dikira pada sukatan Ahlul Madinah” (hadith sahih riwayat Abu Daud no. 2340, Nasaie dan Baihaqi).

Ditunaikan zakat Fitrah itu ialah hanya kepada golongan fakir miskin seperti yang disebutkan dalam pelbagai hadith yang berkait dengan zakat Fitrah seperti yang diriwayatkan dari Ibn Abbas ra dengan berkata : “Rasulullah salallahualaihiwasalam telah memfardhukan zakat fitrah sebagai membersihkan orang yang berpuasa dari lagha’ (sia-sia) dan kekejian dengan memberikan makan kepada fakir miskin dan barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka ianya dianggap zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat maka ianya menjadi sedekah daripada sedekah-sedekah yang biasa” (hadith hasan riwayat Abu Daud no. 1609 dan Ibn Majah no . 1827 dengan adanya an’an namun adanya syahid dari lain riwayat).


Maka pendapat ini dipegang oleh Syeikhul Islam Imam Ibn taimiyyah ra dalam Majmuk Fatawa Jilid 13 dan pelajarnya Imam Ibn Qayyim ra serta fuqaha Mazhab Malikiyah dan inilah yang paling rajih menurut ana sendiri daripada pendapat lain seperti pendapat kebanyakkan orang ramai yang khususnya dalam mazhab syafie yang mengatakan ianya boleh ditunaikan kepada ashab yang lapan yang berhak menerima zakat dan ana tidak bersetuju dalam hal ini kerana ianya tiada dalil khas dan zakat fitrah bukanlah seperti zakat harta.

Berdasarkan dalil dan hujah yang jelas ialah menyebutkan bahawa kewajipan zakat ini hanya berlaku khas dalam Bulan Ramadhan dan di dalam hadith hanya menyebut golongan fakir miskin yang berhak menerima zakat fitrah ini adapun golongan ashab yang lapan seperti yang termaktub dalam Surah At-Taubah ayat 60 itu ialah untuk zakat harta bukan zakat fitrah, wallahualam.


Waktu menunaikan Zakat Fitrah


Pelaksanaan zakat fitrah dilakukan dalam Bulan Ramadhan namun menurut sunnah yang sahih ialah pada dua hari dan sehari sebelum Aidhul Fitri seperti yang terdapat dalam riwayat Ibn Khuzaimah yang menyebut mengenai perbuatan Ibn Umar ra yang menunaikannya pada sehari atau dua hari sebelum hari Aidhul Fitri.

Juga dalam hadith yang beran’an dari Ibn Umar ra yang menyebut : “Rasulullah telah memerintahkan supaya menunaikan zakat Fitrah sebelum keluarnya orang ramai ke Solat Aidhul Fitri” (hadith sahih riwayat Bukhari no. 1509 dan Muslim no. 986 dan lain-lain).

Maka pelaksanaan zakat Fitrah hendaklah dilakukan sebelum selesainya solat Aidhul Fitri kerana waktu tamatnya ialah pada selepas solat seperti yang disebut oleh baginda “…barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka ianya dianggap zakat yang diterima dan sesiapa yang menunaikannya selepas solat maka ianya menjadi sedekah daripada sedekah-sedekah yang biasa” (hadith hasan riwayat Abu Daud no. 1609 dan Ibn Majah no . 1827 dengan adanya an’an namun adanya syahid dari lain riwayat).

Demikianlah serba ringkas ana cuba ungkapkan persoalan zakat fitrah secara umum menurut panduan sunnah tanpa terlalu menuruti helaian mazhab dan khilaf fiqhiyah sebaliknya mengambil dari qaul rajih pilihan fuqaha ummah dari asar dan riwayat sahih dari sunnah rasulullah salallahualaihiwasalam.


“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu untuk berpuasa sebagaimana telah ditetapkan kepada orang-orang sebelum kamu mudah-mudahan kamu menjadi bertaqwa” (Al-Baqarah : 183).

"Barangsiapa yang mentaati rasul maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah" (An-Nisa : 80).

" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul.." (An-Nisa :59)

Wallahualam

No comments:

Post a Comment

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."