RAKAN BLOG MASJID
14 March 2012
ABU BAKRAH PERAWI HADIS
Abu Bakrah Perawi Hadis
Abi Bakrah adalah seorang sahabat ra yang meriwayatkan Hadis tentang perempuan diharamkan menjadi pemimpin, sebagaimana diterangkan dalam kitab Sahih Bukhari yang disyarah oleh Imam Ibnu Hajar Asqalani, bahawa apabila Permaisuri Buran (Purandakh) berkomplot mengambil alih pemerintahan Parsi dan akhirnya berjaya menjadi pemimpin di sana. Apabila berita ini sampai kepada Rasulullah SAW, Baginda SAW kemudian bersabda dari Hadis Abu Bakrah (ra) bahawa Nabi s.a.w apabila sampai kepada baginda berita kaum Farsi melantik pemerintah mereka seorang wanita baginda berkata: لن يفلح قوم ولوا أمرهم امرأة (Maksudnya: “Tidak akan berjaya sama sekali kaum yang melantik wanita sebagai pemimpin mereka” – Al-Bukhari, Al-Tarmizi, dll).
Abu Bakrah dijadikan mangsa oleh sesetengah golongan Feminist yang anti dengan hadis di atas, maka mereka cuba melemahkan Abu Bakrah dengan peristiwa kesaksian Zina terhadap Mughirah b Syu'bah dengan Ummu Jamil. Yang mana setelah melemahkan Abu Bakrah ra (character assassination) maka dengan kata lain lemahlah hadis melarang kepimpinan wanita. Untuk membaca kisah ini. Untuk mendalami masalah ini dipersilakan membaca artikel di bawah.
Oleh MOHD. NORZI NASIR
BIOGRAFI
nama lengkap Abu Bakrah ialah Nafi' bin al-Harith bin Kaldah Bin 'Amr bin Ilaj bin Abi Salamah. Namanya Abd. al-Uzza bin Ghayrah bin Awf bin Qays. Namanya turut dikenali sebagai Masruh. Menurut Ibnu Sa'd, dalam beberapa catatan hadis, ibunya adalah Sumayyah saudara seibu dengan Ziyad bin Abi Sufyan.
Bapanya Abd. al-Harith bin Lakadah. Abu Bakrah pernah mengecapi zaman kanak-kanaknya sewaktu di Taif. Ketika Rasulullah SAW mengepung penduduk kota tersebut, baginda bersabda: "Siapa saja yang datang kepada kami, maka dia bebas (merdeka) daripada penghambaan".
Baginda memanggilnya dengan nama Abu Bakrah. Menurut Ibnu Abd al-Bar, al-Hasan al-Basri salah seorang ulama tabien terkemuka, mengatakan, "Tidak ada seorang sahabat pun dari kalangan sahabat Rasulullah SAW yang tinggal di Basrah lebih mulia dibandingkan dengan Imran bin al-Husayn dan Abu Bakrah r.a. Beliau mempunyai banyak pengikut dan merupakan orang terhormat di Basrah".
Sifat keadilan Abu Bakrah
Ibnu Hajar sebagaimana memetik ungkapan al-'Ijli mengenai Abu Bakrah, "Abu Bakrah r.a. merupakan antara sebaik-baik sahabat". Abu Nu'aym al-Asbahani mengatakan: "Abu Bakrah merupakan seorang lelaki yang soleh dan warak. Nabi SAW telah mempersaudarakan antara beliau dan Abi Barzah".
Persaksian Al-Mughirah Ibnu Shu'bah
Riwayat tentang peristiwa kesaksian dan hukuman sebat ke atas Abu Bakrah pada zaman Umar al-Khattab banyak dimuatkan oleh ulama sejarah mahupun ulama tafsir, seperti al-Tabari, dalam kitab tarikh atau tafsirnya. Demikian juga Ibnu Sa'd dalam al-Tabaqat al-kubranya dan Ibnu Abd. al-Barr dalam al-Isti'ab fi ma'rifat al-ashab.
Dalam catatan ahli sejarah, sebagaimana dikutip oleh al-Tabari daripada al-Waqidi, Abu Bakrah pernah bersumpah menyaksikan perbuatan sumbang al-Mughirah bin Shu'bah r.a, yang merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW ketika sama-sama tinggal di Basrah.
Kedua-duanya adalah jiran yang terpisah oleh sebuah jalan. Al-Mughirah ditemui oleh Abu Bakrah dan beberapa sahabat sedang berada di bawah kedua kaki seorang wanita.
Beliau kemudian meminta mereka memberi kesaksian dan mereka sepakat bahawa perempuan itu adalah Umm Jamil dari suku Amir bin Sa'sa'ah yang sememangnya telah lama menyimpan perasaan dengan al-Mughirah.
Nama Umm Jamil ialah Umm Jamil binti Amr bin al-Afqamal Hilaliyah. Suaminya bernama al-Hajjaj ibnu Atiq ibnu al-Harith ibnu Awf ibnu Wahb ibnu Amr al-Jashimi. (al-Asqalani, Ahmad ibnu Ali ibnu Hajar, al-Isabah, 2: 33).
Kejadian ini berlaku pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab. Setelah mendengar kes ini, Umar mengutuskan Abu Musa al-Ash'ari ke Basrah. Abu Musa tidak bersedia berangkat seorang diri kerana khuatir adanya subahat dan sebagainya.
Justeru, beliau meminta keizinan Umar untuk membawa bersamanya 29 orang sahabat. Mereka ialah Anas bin Malik, Imran bin Husayn, dan Hisham bin Amir. Sementara al-Mughirah, Abu Bakrah, Shibl bin Ma'bad al-Bajali dan Ziyad kemudian berangkat ke Madinah untuk menemui Umar bin al-Khattab.
Setibanya mereka di hadapan Umar, Abu Bakrah menerangkan kesaksiannya. Kemudian dua daripada tiga saksi yang ada, iaitu Nafi' dan Shibl bin Ma'bad al-Bajali, memberi kesaksian bahawa apa yang dikatakan oleh Abu Bakrah adalah benar; sedangkan Ziyad menyatakan penyaksian yang berbeza.
Oleh kerana kesaksian ini dianggap tidak cukup, Umar menjatuhkan hukuman sebat ke atas Abu Bakrah, Nafi dan Shibl. Mereka kemudian diperintahkan bertaubat. Dua di antaranya, selain Abu Bakrah, telah bertaubat. Sebaliknya Abu Bakrah tidak bersedia sambil menyatakan, "Engkau meminta aku bertaubat semata-mata agar engkau dapat menerima kesaksianku?"
Umar menjawab: "Benar". Abu Bakrah membalas kata Umar, "Aku wajib untuk tidak bersaksi antara dua perkara (antara kebenaran dan kesalahan) dalam kes al-Mughirah, selama aku masih hidup".
Keputusan Umar tidak menerima kesaksian Abu Bakrah tidak menghilangkan kredibiliti keadilan Abu Bakrah sebagai perawi. Hukum tersebut berkaitan dengan kesaksian Abu Bakrah bukan periwayatannya.
Malah ia berkaitan dengan hukum penolakan kesaksiannya akibat ketidakcukupan jumlah serta ketidaksediaan beliau menarik balik kesaksiannya dan bertaubat di hadapan Umar yang menjadi hakim ketika itu.
Pada masa yang sama, keputusan Abu Bakrah juga merupakan hukuman yang dipilih oleh beliau. Lebih baik daripada melakukan pembohongan kepada Allah SWT meskipun kesaksiannya akan diterima kembali.
Sebagaimana kejadian ke atas Abu Bakrah, peristiwa tersebut juga jelas tidak menggugat kredibiliti al-Mughirah sebagai sahabat. Sifat adl al-Mughirah ibn Shu'bah juga tetap terpelihara kerana persaksian Abu Bakrah, Nafi' dan Shibl adalah tidak tepat.
Al-Sheikh al-Amin al-Shanqiti mengatakan wanita yang dilihat berada bersama al-Mughirah ibnu Shu'bah ketika angin membuka pintu rumah tersebut ialah isteri al-Mughirah. Kebetulan, wajah isteri al-Mughirah menyerupai seorang wanita lain yang sering dilihat mengunjungi para pemimpin yang lain.
Maka mereka membuat andaian bahawa isteri al-Mughirah adalah wanita yang sama tanpa bertujuan buruk, namun sangkaan tersebut adalah salah. Al-Mughirah tidak melakukan sebarang kemungkaran kerana para sahabat Nabi SAW terkenal dengan naluri dan penghayatan iman yang tinggi. Sehingga mereka mampu mencegah diri mereka daripada sesuatu kemungkaran. Sesungguhnya hanya Allah yang mengetahui hakikat yang sebenar.
Periwayatan hadis
Sheikh Muhammad al-Amin al-Shanqiti menegaskan, ulama bersepakat menerima periwayatan Abu Bakrah walaupun beliau dihukum oleh Umar al-Khattab atas persaksiannya tentang perlakuan zina al-Mughirah.
Sealiran pendapat dengan gurunya Abd. Al-Muhsin al-Abbad membuat rumusan antaranya pertama, para ulama Muslimin sama ada salaf atau khalaf sekian lama telah bersepakat menerima periwayatan Abu Bakrah.
Kedua, tuduhan qazaf dengan menggunakan lafaz menghina seperti wahai penzina atau seumpamanya menyebabkan persaksian dan periwayatan seseorang itu tertolak melainkan sekiranya bertaubat dan berlaku baik dan hal ini tidak berlaku pada Abu Bakrah.
Tambahan Abd. Al-Muhsin, Sheikh Ala' al-Din al-Muglatai dalam kitab Ikmal tahdhib al-kamal jilid 12 halaman 77 menyebut, tidak ada seorang pun di kalangan tabien atau selepas mereka yang melarang periwayatan Abu Bakrah dan berhujah dengannya.
Justeru tidak dijumpai seorang pun perawi hadis yang mentajrihkan Abu Bakrah berkenaan kisah persaksian beliau dalam kes al-Mughirah. Ibnu Qudamah pula dalam kitab Rawdat al-nazir wa jannat al-manazir jilid 1 halaman 303 mengatakan di dalam perkara qazaf jika berlaku dengan lafaz persaksian maka perkhabaran (periwayatannya) tidak ditolak.
Dalam kisah Abu Bakrah kekurangan bilangan saksi bukanlah kehendaknya. Sehubungan itu ramai perawi menerima dan meriwayatkan hadis daripada beliau. Al-Imam al-Ala'i dalam kitab Tahqiq munif al-rutbah liman thabata lahu sharif al-suhbah berkata, ulama-ulama usul al-fiqh dalam membahaskan kisah Abu Bakrah, mereka berpandangan bahawa apa yang berlaku ke atas Abu Bakrah dan sahabat-sahabatnya tidak mencacatkan sifat adl (keadilan) mereka sebagai sahabat Rasulullah SAW.
Periwayatan hadis Abu Bakrah adalah sepertimana periwayatan para sahabat Rasulullah yang lain. Penerimaan periwayatan Abu Bakrah terbukti apabila periwayatannya diriwayatkan oleh para ulama dan mukharrij hadis terkemuka seperti al-Imam al-Bukhari, Muslim, Abu Dawud, al-Tirmidzi, al-Nasai dan Ibn Majah.
Riwayat Abu Bakrah terkumpul di dalam keenam-enam kitab ini sebanyak 55 hadis, dan disebut oleh al-Mizzi di dalam Tuhfat al-Ashraf dari hadis 11654 hingga hadis 11708, al-Imam Ahmad mengeluarkan hadis Abu Bakrah di dalam Musnadnya sebanyak 152 secara berulang, hadis 20,373 hingga hadis 20,524.
Abu Bakrah tidak hanya meriwayatkan satu hadis sebaliknya beliau meriwayatkan 14 hadis yang dimuatkan al-Imam al-Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka. Hadis yang diriwayatkan secara bersama-sama al-Imam Muslim adalah lapan hadis, lima hadis diriwayatkan oleh al-Bukhari dan satu hadis diriwayatkan oleh Muslim.
Justeru adalah tidak tepat untuk menolak periwayatan hadis Abu Bakrah (sebagaimana yang dilakukan oleh Fatima Mernissi, seorang aktivis feminisme liberal kelahiran Maghribi dengan melakukan kritikan terhadap periwayatan Abu Bakrah. Mernissi mendakwa bahawa Abu Bakrah meriwayatkan hadis yang berunsur 'anti wanita' dan bermotifkan kepentingan peribadi).
Kewafatan
Para ulama berbeza pendapat tentang tarikh kewafatannya. Al-Mada'ini mengatakan Abu Bakrah wafat pada tahun 50H. Sa'd pula mengatakan Abu Bakrah wafat di Basrah sewaktu pemerintahan Mu'awiyah bin Abi Sufyan.
Para ulama berpendapat bahawa Abu Bakrah wafat pada tahun 51H sementara Ibnu Khayyat dalam kitab al-Tabaqat berpendapat Abu Bakrah wafat pada tahun 52H.
Ihsan Dawn Of Caliphate
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
PERINGATAN BAGI LELAKI !
Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat
tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit
kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat
tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit
kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."
No comments:
Post a Comment