RAKAN BLOG MASJID

22 October 2009

MAKSIAT MELARAT BALA MEREBAK

DENGAN NAMA ALLAH...

السلام عليكم

الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian

Firman Allah dalam ayat 1 – 6 surah al-Waqi’ah :

إِذَا وَقَعَتِ الْوَاقِعَةُ لَيْسَ لِوَقْعَتِهَا كَاذِبَةٌ خَافِضَةٌ رَافِعَةٌ إِذَا رُجَّتِ الْأَرْضُ رَجًّا وَبُسَّتِ الْجِبَالُ بَسًّا فَكَانَتْ هَبَاءً مُنْبَثًّا
Maksudnya : Apabila berlaku hari kiamat itu, Tiada sesiapapun yang dapat mendustakan kejadiannya. Kejadian hari kiamat itu merendahkan (golongan yang ingkar), dan meninggikan (golongan yang taat). (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebebar-benar goncangan. Dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, Lalu menjadilah ia debu yang bertebaran

Kita kini dapat menyaksikan bagaimana umur dunia kini sudah semakin tiba ke penghujungnya. Bukit dan gunung yang dulu teguh berdiri kini mula hancur musnah. Tanah yang tetap terhampar kini bergegar dan runtuh yang menelan bangunan dan manusia. Angin pula bertukar menjadi ribut ganas yang memusnahkan harta dan meragut nyawa manusia. Laut bergelora begitu kuat sehingga memusnahkan daratan. Air hujan melimpahkan air yang begitu banyak sehingga berlakunya banjir yang mengorbankan banyak nyawa dan harta benda. Api yang dulu jadi kawan kini membakar hutan dan bangunan. Manakala manusia mula merusuh tidak tentu hala sehingga keamanan yang dikecapi selama ini mula hancur dan musnah. Kesemua peristiwa yang berlaku mestilah diambil pengajaran yang sepatutnya terutama dalam mengingatkan kita bagaimana dunia semakin dekat kepada hari qiamat. Keadaan pada hari ini sudah begitu teruk apatah lagi bila berlakunya qiamat nanti. Masa berlalu begitu pantas tanpa menunggu umat manusia samada telah bersedia untuk menuju akhirat atau terus terpedaya dengan tipuan dunia. Ingatlah kita kepada suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Tirmizi daripada Anas bin Malik katanya :

قال الرسول : لاَ تَقُوْمُ السَّاعَةُ حَتَّى يَتَقَارَبَ الزَّمَانُ وَتَكُوْنُ السَّنَةُ كَالشَّهْرِ وَالشَّهْرُ كَالجُمْعَةِ وَتَكُوْنُ الجُمْعَةُ كَاليَوْمِ وَيَكُوْنُ اليَوْمُ كَالسَّاعَةِ وَتَكُوْنُ السَّاعَةُ كَالضَّرْمَةِ بِالنَّارِ
Maksudnya : Tidak akan berlaku qiamat sehingga masa menjadi terlalu singkat. Setahun dirasakan seperti sebulan, sebulan dirasakan seumpama seminggu, seminggu pula dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seolah-olah satu jam sahaja dan satu jam berlalu bagaikan satu percikan api sahaja

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
Rasulullah s.a.w pernah menyatakan kepada kita bagaimana keadaan umat akhir zaman dengan qiamat terlalu dekat ibarat dua jari yang bersebelahan sahaja. Bila kita lihat apa yang berlalu disekeliling kita menunjukkan bahawa hampir kesemua alamat atau tanda-tanda qiamat yang diberitahu oleh Allah melalui nabi Muhammad s.a.w telah pun berlaku antaranya sebagaimana tersebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari daripada Anas:

قال الرسول : مِنْ أَشْرَاطِ السَّاعَةِ أَنْ يَقِلَّ العِلْمُ وَيَظْهَرَ الجَهْلُ وَيَظْهَرَ الزِّنَا وَتَكْثُرَ النِّسَاء ُوَيَقِلَّ الرِّجَالُ حَتَّى يَكُوْنََ لِخَمْسِيْنَ امْرَأَةً القَيِّمُ الوَاحِدُ
Maksudnya : Antara tanda qiamat itu ialah ilmu agama sedikit, kejahilan semakin jelas, perbuatan zina dilakukan terang-terang, jumlah perempuan cukup ramai manakala jumlah lelaki berkurangan sehingga bandingan 50 orang perempuan dijaga oleh seorang lelaki

Akibat buta agama dan lari daripada melaksanakan perintah Allah dalam kehidupan seharian maka pelbagai jenayah dan kerosakan yang berlaku dalam masyarakat kita. TV dan akhbar tidak sunyi daripada menyiarkan berita tentang rompakan, pembunuhan dan buang anak akibat penzinaan yang semakin parah. Walau pun sudah terlalu banyak peringatan Allah terutama yang terbaru selsema babi, rebut taufan Filiphina dan gempa bumi Indonesia namun pengajaran yang sepatutnya mengetuk hati manusia tidak digunakan. Manusia sentiasa mencari alasan bahawa itu semua adalah bencana alam kerana gempa bumi contohnya berlaku kerana Indonesia berada dalam kawasan ‘Lingkaran Api Pasifik’ sedangkan Malaysia berada di luar kawasan bahaya itu. Ingatlah bahawa ia tidak mustahil berlaku terutama berdasarkan rekod dari 2000 hingga Mei 2009, sebanyak 69 kali gempa bumi dilaporkan berlaku di Malaysia iaitu masing-masing 31 kali di Semenanjung dan Sabah, manakala tujuh lagi di Sarawak walau pun tidak sekuat dan sedahsyat negara lain. Jangan tunggu bala musibah menimpa atas batang hidung sendiri batu mahu insaf dan bertaubat kepada Allah. Takutlah kepada Allah sepanjang masa dan tempat bukannya takut kepada kepada penyakit dan bencana alam. Kita begitu sedih dan marah dengan kenyataan menghormati Ramadhan dan takut selsema babi menyebabkan sambutan kemerdekaan disambut sederhana tetapi bila konsert kumpulan hip hop Amerika pada 25 September lalu sempena ulangtahun ke 250 jenama arak Guiness Stout maka segalanya halal.
Begitu juga halalnya konsert penyanyi kulit hitam yang terkenal dengan imej lucah dan rosak akhlak yang asalnya dijadualkan esok tetapi ditangguhkan bukannya diharamkan maka tiada lagi suara yang menyatakan takut pada selsema babi dan sebagainya. Jika dibiarkan makhluk perosak ini bermaharajalela mempermainkan Allah maka tunggulah saat kehancuran. Pilihlah samada kita terus membiarkan maksiat dan menunggu bala yang dahsyat atau kita bangkit menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar dan mendapat keberkatan serta kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 179 surah al-A’araf :

وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ
Maksudnya : Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai.

Mimbar Jumaat pada hari ini tidak ketinggalan untuk mengajak kita untuk merenungi beberapa peristiwa pelik yang lain yang berlaku sekeliling kita seperti sejadah berdiri seolah-olah sedang solat di beberapa tempat di Kelantan, Kedah dan Pulau Pinang yang terus disiasat samada ia betul-betul terjadi atau pun bahan permainan budak nakal. Jika benar-benar berlaku maka ambillah iktibar bukannya dijadikan bahan khurafat seperti untuk menyedarkan umat Islam agar sentiasa menjaga solat terutama secara berjemaah. Kita mesti menangani masalah meninggal solat yang semakin parah dalam masyarakat kita pada hari ini terutama bila mendengar suatu kajian di mana 95 peratus pelajar sekolah menengah dan sekurangnya 60 peratus pelajar universiti tidak lengkap solat.

Kita juga tertarik dengan komen Majlis Mufti Rusia yang menyatakan bahawa ayat suci al-Quran yang muncul dua kali seminggu pada kulit Ali Yakubov iaitu seorang bayi lelaki berusia 9 bulan di selatan Rusia merupakan amaran Allah kepada semua penduduk Islam di Rusia dan seluruh dunia agar mengikuti perintah Allah dengan meninggalkan segala persengketaan, mewujudkan keamanan sesama umat Islam dan membersihkan diri daripada dosa yang membolehkan kita mendapat keampunan dan keredhaan Allah. Jadilah kita sebagai hamba Allah yang sentiasa hidup hatinya iaitu diberitahu tentang pahala dan syurga maka berebut untuk mendapatkannya manakala bila disebut tentang bahaya dosa dan neraka maka gementar hati memikirkannya. Jangan sekali-kali kita menjadi manusia yang mati hati walau pun telah banyak peringatan yang didatangkan oleh Allah namun dia bukan sahaja tidak mengambil iktibar malah bertambah jahat melawan Allah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Tidak ketinggalan untuk kita sama-sama merenungi beberapa pengajaran daripada peristiwa gempa bumi Indonesia. Antara yang menarik sekaligus membuktikan mukjizat al Quran ialah keselarasan ayat quran dengan peristiwa gempa bumi di Padang Sumatera . Gempa bumi yang berlaku di Padang pada 30 september tempohari ialah tepat jam 5.16 petang [ atau jam 17:16 ] dan gegaran kedua berlaku pada jam 5. 58 petang [ atau jam 17 : 58 ] . Sementara esoknya 1 Oktober jam 8.52 am berlaku gegaran susulan di Jambi. Apabila kita selaraskan masa berlaku gempa bumi dengan surah dan ayat al quran , kita akan temui persamaannya seperti berikut . [ Jam 17 : 16 bersamaan Surah ke 17 ayat ke 16 ] [ Jam 17 : 58 bersamaan Surah ke 17 ayat ke 58 ] dan [ Jam 8:52 bersamaan Surah ke 8 ayat ke 52 ]. Secara susunan dalam al-Quran maka surah ke 17 ialah surah al Israa’ manakala surah ke 8 ialah surah al Anfaal .

Bila direnungi satu persatu ayat-ayat tersebut iaitu bermula dengan firman Allah dalam surah al -Israa’ ayat 16 :

وَإِذَا أَرَدْنَا أَنْ نُهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا
Maksudnya : “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kederhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”
Diikuti dengan firman Allah dalam surah al -Israa’ ayat 58 :

وَإِنْ مِنْ قَرْيَةٍ إِلَّا نَحْنُ مُهْلِكُوهَا قَبْلَ يَوْمِ الْقِيَامَةِ أَوْ مُعَذِّبُوهَا عَذَابًا شَدِيدًا ۚ كَانَ ذَٰلِكَ فِي الْكِتَابِ مَسْطُورًا
Maksudnya : “Tak ada suatu negeri pun (yang derhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz).”
Manakala firman Allah dalam surah al -Anfaal ayat 52 :

كَدَأْبِ آلِ فِرْعَوْنَ ۙ وَالَّذِينَ مِنْ قَبْلِهِمْ ۚ كَفَرُوا بِآيَاتِ اللَّهِ فَأَخَذَهُمُ اللَّهُ بِذُنُوبِهِمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ قَوِيٌّ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya : (Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Fir’aun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyiksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras siksaan-Nya.
Kita memohon kepada Allah agar pertamanya dapat mengeluarkan kita dari sengketa yang berlaku sesama kita. Seterusnya diberi keimanan dan keilmuan yang kukuh untuk mengumpul kekuatan bagi mengahadapi serangan dari dalam iaitu dari golongan munafiq yang ingin melihat kerosakan kepada umat Islam dan serangan luar dari kuffar yang sentiasa mengintai peluang untuk terus menjahanamkan Islam dan umatnya. Kekuatan dan kemenangan ini akan terhasil jika Umat Islam benar-benar beriman kepada Allah Taala.

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ
العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْ

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."