RAKAN BLOG MASJID

28 December 2009

ELAKKAN PEMBAZIRAN DALAM BERWUDU ATAU SEMASA AMBIL AIR SEMBAHYANG

JANGAN MEMBAZIR, WAIMA BERWUDU

Azan Zohor kedengaran. Muazzin yang sedang melaungkan azan itu seorang lelaki yang berbangsa Pakistan. Sudah pasti sebutan lafaz-lafaz azan, tidak sama dengan lafaz-lafaz azan sebutan orang Malaysia.

Orang Melayu Malaysia, apabila mereka menyebut lafaz arab, kadang-kala orang berbangsa arab sendiri pun merasa kagum. Ini terbukti, setiap kali berlaku musabaqah al-Quran, juaranya boleh dikatakan setiap tahun disandang oleh orang Malaysia.

Masjid Al-Faruqi, sebuah masjid yang berada di Gulshan – E – Iqbal, Karachi, Pakistan. Setiap kali solat berjemaah lima waktu, sekurang-kurang safnya adalah 7 saf. Di waktu solat subuh, jemaahnya kadang-kala mencecah 15 Saf. Lebih hebat, dikala solat Maghrib dan Isyak ditunaikan. Inilah hakikat pengamalan solat jemaah di Pakistan, yang amat jauh jika mahu dibandingkan solat jemaah di Malaysia.

Aku pergi ke masjid dalam keadaan tiada wudu’. Sudah pasti, sesampai di Masjid, aku ke tempat wudu’ terlebih dahulu. Sedang berwudu’, kelihatan seorang anak muda yang mempunyai wajah yang agak berseri. Tenang hatiku, dikala melihat wajahnya.

“dia ni mesti budak soleh.. tidak, takkan macam ni punya berseri muka” cetus hatiku.

Aku perhatikan dia berwudu’. Ternyata, dia membuka pili paip air dengan besar sekali.

“ini pembaziran..” hatiku berkata-kata. ”isy.. kalau ikut apa yang aku belajar, membazir air ketika berwudu’ adalah haram, jika air itu air waqaf.. kalau air itu, air sendiri, membazir air ketika berwudu’ adalah makruh[1]”

Rupa-rupanya, pemuda itu terperasan dengan tindakanku yang sedang memerhatikannya.

”Assalamualaikum..” dia memberi salam kepadaku.

”waalaikumsalam.. ” aku membalas salamnya. Aku melemparkan senyuman kepadanya, dan dia juga membalas senyumanku itu.

”Kiya Hal Hai?” (apa Khabar?) Dia menegur.

”Tik Thak Hoo” balasku ringkas. ”tum yaha, parta hai?” (kamu di sini belajar?) soalku.

“nehi.. yaha kam karta hoo” (tidak.. saya bekerja di sini) jawabnya.

Kami tidak bercakap panjang. Cukup sekadar bertegur-sapa sahaja. Kerana, solat sudah hampir hendak ditunaikan.

SOLAT JEMAAH

Setelah selesai solat jemaah, pemuda itu dilihat bersandar di salah sebuah tiang di masjid Al-Farooqi itu. usai berzikir dan berwirid, aku terus menuju kepadanya.

Aku menghulurkan tangan untuk bersalaman. Aku memperkenalkan diriku. Begitujuga dia, memperkenalkan dirinya sebagai Fadhlurrahman. Dia berbangsa Afghanistan, tetapi bekerja di Pakistan.

”kamu bukan orang pakistan kan?” soalnya.

Aku tersenyum dengan soalan itu. maklumlah, wajahku tidak sedikitpun iras orang yang berbangsa Pakistan. Tiba-tiba soalan sebegini boleh terpancul dari mulutnya.

”yap.. saya bukan orang Pakistan.. saya orang Malaysia” jawabku ringkas.

”di Pakistan, kamu buat apa?”

”saya belajar di sini”

”emmm... di mana kamu belajar?”

”Jamiah Farooqiyyah, Shah Faisal Caloni”

“kamu ni, bakal jadi Maulana la ni” dia berseloroh.

“eh.. tidak la.. biasa-biasa sahaja” jawabku sambil tersenyum.

BERBUAL-BUAL

Sedang kami berbual mesra, aku berfikir, bagaimana hendak keluarkan tajuk tentang pembaziran ketika berwudu’. Sengaja aku mahu membuka tajuk itu, kerana melihat dia berwudu’ tadi dengan membuka pili air dengan besar sekali.

Tidak semena-mena, aku sengaja bercakap tentang ibadat. Kelihatan dia agak tertarik dengan tajuk yang aku buka itu. perbualan kami tentang tajuk ibadat tersebut, seperti berlaku satu wacana yang tidak rasmi.

“kadang-kadang, ketika kita berwudu’ pun, kita boleh lakukan sesuatu yang boleh rugi pahala” aku membuka cerita

“emm.. “ dia kelihatan berfikir. “bagaimana tu?” soalnya.

“ye la.. berwudu’, hukumnya sunat. Kalau nak solat, berwudu’ jadi wajib. Kira-kiranya, dapat pahala la. Tetapi, ketika kita berwudu’, kita tidak sedar bahawa kita sudah lakukan pembaziran. Kalau kita membazir, syaitan cukup suka. Ia boleh jadi makruh.. silap haribulan, haram pun boleh jadi” aku memberi penerangan.

Dia kelihatan termenung sekejap.

”di zaman Nabi SAW dulu, Nabi SAW ada bersabda, ’jangan membazirkan air, waima kamu di sungai yang mengalir’
salah seorang sahabat bertanya, ’Wahai Rasulullah, apakah membazir pun boleh berlaku pada wudu?"
"ya.. Pada semua perkara boleh berlaku pembaziran" jawab Nabi SAW

Aku memberi ulasan dengan membaca satu hadis Nabi SAW riwayat Ibnu Majah[2].

“Astaghfirullah.. tadi saya berwudu’ dalam keadaan membazir la.. Ya Allah, ampunkanlah saya” tiba-tiba Fadhlurrahman berdoa.

Aku tersenyum apabila mendengar doa Fadhlurrahman itu.

”dia ni mesti orang baik-baik.. ” hatiku berkata.

”kenapa wahai Fahlurrahman?” soalku pura-pura tidak tahu.

”tadi saya berwudu, saya buka pili air besar sangat. Saya tak perasan bahawa saya sudah melakukan dosa.” jelas Fadhlurrahman.

Aku tersenyum melihat reaksi Fadhlurrahman itu.

”bukan sekadar itu sahaja. kalau kita berwudu’ basuh lebih dari 3 kali basuh. Itupun sudah cukup disebut sebagai membazir tau” aku memberi penjelasan lagi.

”dahulu, Nabi SAW didatangi seorang badwi tengok nabi SAW berwudu” aku menyambung ulasanku. ”pada masa tu, nabi SAW berwudu’ dengan basuh pada setiap anggota tiga kali.. badwi itu perhatikan sahaja perbuatan Nabi SAW. masa tu, Badwi itu tanya Nabi SAW tentang basuh tiga kali pada setiap Anggota wudu’. Nabi SAW menjawab,

هَكَذَا الْوُضُوءُ فَمَنْ زَادَ عَلَى هَذَا فَقَدْ أَسَاءَ وَتَعَدَّى وَظَلَمَ

”inilah cara wudu yang sebenar. Barangsiapa lebih daripada ini, maka sesungguhnya dia telah melakukan kesalahan, melampaui batas dan melakukan kezaliman[3]”

Dia mengangguk mendengar penjelasan aku itu.

”ada pula manusia boleh jadi membazir ketika berwudu’, sebab dia ditimpa penyakit was was. Semua perkara dia buat, mesti was was. Solat was-was, wudu’ was was.. tapi yang pelik tu, masa makan dia tak was-was langsung” sambungku, sambil melawak.

Dia gelak dengan lawakku itu.

“tapi apa kan daya. Nabi SAW sendiri ada sebut bahawa ada sejenis syaitan yang tugasnya bagi was-was kepada orang yang berwudu’” aku menyambung syarahanku itu

“Acca.. ada juga yer syaitan yang tugas kacau orang berwudu’?” Soal Fadhlurrahman serius.

“yap.. nama syaitan tu, Wilhan[4]” jawabku ringkas.

“sebab itu, kalau kita was-was masa berwudu’. Jangan layan. Itu semua kerja syaitan wilhan” jelasku lagi.

Dia mengangguk. Dilihat seperti menarik dengan celotehku itu.

Sedang asyik kami berbual-bual. tiba-tiba, dia nampak seperti tergesa-gesa. Dia melihat jam tangannya.

”aree bhai.. maafi maghta hoo” (alamak, Saya minta maaf)” katanya.

”kiyuuu?” (kenapa) soalku.

”Saya sudah terlewat. Saya minta maaf. Saya terpaksa minta diri dulu”

”mehrabani.. kuch nehi” (ok tak per). Jawabku ringkas.

”tetapi, Saya suka berbual dengan kamu” ujarnya.

Aku hanya tersenyum.

”insya Allah, Pir Mulaqat karengge” (dengan izin Allah,, kita jumpa lain kali). Aku mengakhiri perbualan kami.

Sambil membalas senyumanku, dia menjawab, ”Insya Allah”.

Kami pun keluar masjid bersama-sama. Sebelum berpisah, kami bersalam-salaman. Rupa-rupanya, itulah pertemuan kali pertama dan kali terakhir aku dengannya. Sehingga kini, aku tidak berjumpa dengan dia lagi.

Sekian

Wallahu ’Alam

Al-Bakistani

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."