RAKAN BLOG MASJID

22 January 2010

DENGKI/IRI HATI YANG BAIK !

Maksud sabda Nabi s.a.w:

'Tidak boleh iri hati melainkan kepada dua orang iaitu, orang yang dianugerahkan ilmu pengetahuan tentang al Quran oleh Allah lalu mengamalkan sepanjang siang dan malam dan orang yang diberikan harta oleh Allah lalu menafkahkannya sepanjang siang dan malam'

[Riwayat Bukhari & Muslim]
Alhamdulillah, Allah Taala memberi kesempatan pada malam ini bersama-sama para jemaah di Masjid Al-Muttaqin duduk dalam majlis ilmu yang diumpamakan sebagai taman-taman syurga, menghayati kuliah bulanan yang disampaikan oleh Ustaz Dato' Hj Shamsuri.
Salah satu hadis yang beliau bacakan adalah hadis (maksudnya) yang tertulis di atas. Dari sudut definisinya, DENGKI ini membawa maksud satu perasaan manusia yang berasa tidak senang melihat sesuatu nikmat/kelebihan yang dikecapi/dimiliki oleh manusia yang lain.
Ini adalah realiti yang terjadi pada kehidupan masyarakat pada hari ini. Pelbagai aspek yang boleh menyebabkan manusia tergolong ke dalam golongan hasad dengki ini. Antaranya, harta kekayaan, pangkat, kedudukan, kemahiran yang dimiliki, kecantikan/ketampanan, dan banyak lagi perkara-perkara yang lazimnya bersifat duniawi. Tanpa disedari, sifat ini amatlah tercela di sisi agama Islam. Bertitik tolak daripada perasaan dengki ini, maka akan timbullah pelbagai penyakit lain dalam masyarakat. Natijahnya, kita sesama kita boleh jadi bermasam muka, tidak bertegur sapa, saling benci membenci, akhirnya kita akan menjadi manusia yang rugi di dunia dan terlebih rugi di akhirat kelak. Sebagaimana amaran Nabi s.a.w, jika kita berselisih dengan individu yang lain oleh kerana satu-satu perkara, dan kesan daripada perselisihan itu kita tidak bertegur sapa melebihi 3 hari, maka, kita tergolong daripada golongan yang tercela di akhirat kelak.
Amatlah rugi...
Sebaliknya, beruntunglah orang-orang yang memiliki sifat dengki yang diizinkan oleh Allah melalui sabda Nabi s.a.w di atas. Sifat dengki dalam konteks hadis di atas membawa maksud yang positif. Dengan melihat lebihnya seseorang itu dari segi harta, secara automatiknya timbul rasa keinginan dalam diri kita untuk melakukan lebih banyak kebajikan dari apa yang dia lakukan sekiranya kita diberi keluasan rezeki oleh Allah sebagaimana dia. Ini bermakna kita mempunyai sifat berlumba-lumba dalam melakukan kebajikan. Sifat dengki ini diberi pahala oleh Allah sebagaimana pahala orang yang berharta dan menggunakan hartanya di jalan Allah.
Seterusnya, sama juga dengan manusia yang Allah kurniakan ilmu Al-Quran yang tak ternilai harganya. Dah lah berpengetahuan, orang tersebut juga menyampaikan ilmunya tersebut. Malah, tidak cukup dengan itu, dia amalkan pula isi kandungan yang terkandung dalam Al-Quran tersebut di dalam kehidupan sehariannya. Masya-Allah... Nikmatnya manusia yang mendapat kurnia sebegini. Jika lahir sifat dengki kita dengan niat kita cuba untuk menimba ilmu agar berilmu sebagaimana dia, maka, secara tidak langsung akan lahirlah generasi yang berilmu dan seterusnya tertegaklah Al-Quran sebagai panduan utama dalam kehidupannya.
Ya Allah...jauhilah daku dari sifat dengki yang tercela oleh-Mu, sebaliknya kurniakanlah daku sifat dengki yang diredhai oleh-Mu...Amin...

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."