RAKAN BLOG MASJID

05 November 2011

KORBAN DITERIMA ALLAH SEBELUM DARAH JATUH KE BUMI

Hukum sembelihan korban
Oleh: DR. ABDUL HAYEI BIN ABDUL SUKOR (Akademi Pengajian Islam
Soalan: Menjelang Hari Raya Korban pada setiap tahun, biasanya saya berkongsi dengan orang lain untuk berkorban seekor lembu.
Soalan saya, bolehkah saya kongsikan pahala satu bahagian daripadanya dengan isteri dan anak-anak saya? Perlukah saya hadir di tempat penyembelihan itu atau cukup dengan mewakilkan sahaja kepada penganjur korban? Bolehkah korban itu ditukar dengan harganya seperti zakat fitrah untuk disedekahkan kepada fakir miskin kerana kemungkinan daging berlebihan pada hari itu, tambahan pula sesetengah orang tidak suka makan daging dan mereka lebih memerlukan wang bagi menampung perbelanjaan harian keluarga mereka.
Harap ustaz jelaskan juga hukum dan hikmat ibadat korban ini dengan lebih lanjut. - A. Manaf, Kota Kinabalu.
Jawapan: Sebelum saya mengulas dengan lebih terperinci soalan-soalan yang dikemukakan mengenai ibadat korban, mustahak rasanya dinyatakan terlebih dahulu hukum ibadat itu.
Menurut mazhab Syafi'i, hukumnya sunat muakad iaitu sebagai ibadat tambahan yang selalu dikerjakan oleh Rasulullah s.a.w pada masa hayatnya. Baginda dilaporkan pernah berkorban dua ekor biri-biri besar bagi diri, keluarga dan seluruh umatnya yang tidak sempat atau tidak mampu berkorban.
Imam Abu Hanifah berpendapat korban hukumnya wajib tetapi tidak fardu sesuai dengan metodologi yang dipakai dalam mazhabnya bahawa tuntutan wajib lebih ringan berbanding tuntutan fardu.
Imam Abu Hanifah mengambil faham kaedah itu daripada hadis yang membawa terjemahan: Sesiapa yang berkemampuan hendaklah berkorban, jika tidak berkorban janganlah hadir ke masjid kami.
Bagaimanapun kebanyakan ulama berpendapat korban hanya sunat jua. Seseorang tidak dianggap berdosa besar sekalipun tidak pernah berkorban seumur hidupnya. Jika anda tidak berkorban kerana tidak berkemampuan, anggaplah bahawa Nabi s.a.w telah berkorban bagi pihak anda.
Berpandukan amalan korban yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w yang menyembelih dua ekor biri-biri bagi pihak diri, keluarga dan umatnya, maka ulama berpendapat memadai jika seorang ketua dalam sesebuah keluarga seperti suami bagi isteri atau bapa bagi anak-anaknya berkorban bagi pihak semua orang di bawah tanggungannya.
Jika ada anggota keluarga berminat membantu fakir miskin yang kurang berada, bantulah mereka dengan menyumbang barang-barang keperluan dalam bentuk-bentuk yang lain.
Menggantikan korban dengan sedekah sebanyak harganya kepada fakir miskin, hukumnya tidak sah menurut mazhab Imam Syafi'i dan kebanyakan ulama, sekalipun dengan alasan daging tidak diminati oleh sesetengah keluarga dan mereka memerlukan wang bagi menampung pelbagai keperluan harian yang lain.
Sehubungan ini, sila ikuti terjemahan fatwa Syeikh Hasanain Makhluf, Rektor Universiti al-Azhar yang dikeluarkan pada 22 Oktober 1974.
Katanya: Tidak harus ditukar korban dengan harganya bagi menampung keperluan fakir miskin yang memerlukan bantuan, kerana tujuan utama ibadat ini ialah menumpahkan darah haiwan. Andainya korban ditukar dengan harga, nescaya tiada lagi pihak berminat dengan korban, sedangkan amalan ini adalah syiar Islam yang tersirat di sebaliknya pengorbanan nabi Allah Ibrahim a.s tatkala baginda menjunjung perintah Allah supaya menyembelih anaknya Ismail a.s.
Saya cenderung kepada fatwa ini kerana ia sesuai dengan pendapat Imam Syafi'i serta kuat pula dari segi hujah dan dalilnya.
Syiar perlu dipertahankan sekalipun kelihatan kecil bagaikan sehelai rambut. Syiar apabila dihubungkan dengan Islam kelihatan ia seolah-olah terjemahan sebenar kepada Islam dan masyarakatnya yang menghayati nilai-nilai Islam secara keseluruhannya.
Pentingnya syiar ini dijelaskan dalam sebuah hadis riwayat Ibn Majah dan al-Tirmizi daripada Aisyah r.a., Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Tiada amalan yang lebih dikasihi Allah daripada sembelihan korban. Sembelihan itu datang pada hari kiamat dengan tanduk, kuku dan bulunya. Darah korban mendapat tempatnya di sisi Allah sebelum ia tumpah ke bumi. Oleh itu cantikkanlah korban kamu.
Kehadiran sembelihan korban dengan kuku, bulu dan tanduknya pada hari kiamat membayangkan bahawa tujuan sebenar korban bukanlah kerana dagingnya yang boleh dimakan, tetapi penghayatan syiarnya yang lebih penting, manakala faedahnya pula akan disaksikan pada hari kiamat.
Ibn Hazm menyatakan, lebih afdal sama ada bagi lelaki dan wanita menyembelih sendiri haiwan korbannya kerana cara itu lebih menepati dengan sunah Rasulullah s.a.w. Bagaimanapun, ia boleh diwakilkan kepada sesiapa jua yang beragama Islam.
Saya berpendapat kalaupun individu yang berkorban itu tidak mampu menyembelih sendiri korbannya, sekurang-kurangnya hendaklah dia hadir di tempat sembelihan dan menyaksikan sendiri haiwan pada saat-saat ia dikorbankan. Kehadirannya pada saat-saat itu membantu untuk mengimbas kembali sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim tatkala menyembelih anaknya Ismail.
Baik juga jika anak-anak remaja dibawa bersama menyaksikannya kerana korban selain ibadat yang merapatkan hubungan seseorang dengan Allah, padanya tersirat pendidikan jihad yang mendidik anak-anak supaya berjiwa berani.
Darah yang mengalir ke bumi melambangkan keberanian yang sangat dihargai Islam. Saya percaya anak-anak yang tidak pernah menyaksikan penyembelihan haiwan merasa takut dan panik apabila berhadapan dengan detik-detik cemas seumpama itu.
Waktu korban bermula apabila selesai solat Hari Raya yang didirikan di masjid-masjid. Sebagai contoh, Masjid Negara bagi penduduk sekitar Kuala Lumpur, atau Masjid Sultan Salahuddin, Shah Alam bagi penduduk di negeri Selangor. Jika sembelihan dilakukan sebelum solat hari raya, maka sembelihan tidak memadai bagi maksud korban. Bagaimanapun, haiwan itu halal dimakan dagingnya, sekalipun kesahihan korban dipertikaikan kerana penyembelihannya dilakukan sebelum tiba waktunya.
Hakikatnya korban adalah ibadat yang berwaktu, sama juga dengan lain-lain ibadat yang wajib ditunaikan dalam waktunya seperti sembahyang, puasa, haji dan sebagainya. Sesetengah ulama berpendapat, korban hendaklah disempurnakan selepas solat raya di Masjid al-Haram, dengan alasan tarikh raya bergantung sepenuhnya dengan tarikh wukuf di Arafah. Pendapat ini saya kira tidak kukuh dari segi hujah dan alasannya, bahkan tidak relevan dengan suasana.
Penyembelihan korban harus dilakukan pada hari-hari raya pertama, kedua dan ketiga, bahkan ada ulama berpendapat boleh juga disembelih pada hari keempat. Saya berpendapat tidak penting bagi pihak-pihak yang berkorban berebut-rebut menyembelih korbannya pada hari pertama kerana semua orang sibuk pada hari itu.
Fakir miskin pada hari itu juga kebanyakannya dihujani dengan daging yang datang dari sana sini. Semua pihak dipercayai lebih selesa jika korban diuruskan pada hari kedua dan ketiga.
Ternakan yang sah disembelih untuk tujuan korban ialah unta, lembu, kambing dan sebagainya. Seekor kambing hanya memadai bagi satu korban atau seorang sahaja. Unta, lembu dan kerbau pula boleh dikongsi hingga tujuh orang. Tidak pula salah jika dikongsi kurang daripada tujuh orang. Sebaik-baik korban ialah haiwan yang sihat, gemuk dan banyak dagingnya.
Ternakan yang hendak dikorbankan juga hendaklah cukup umurnya iaitu biri-biri berumur lima bulan dan masuk bulan keenam, kambing berumur setahun dan masuk tahun kedua, lembu pula berumur dua tahun dan masuk tahun ketiga. Imam Abu Hanifah menambahkan lagi syaratnya iaitu hendaklah haiwan-haiwan itu gemuk dan banyak daging.
Ternakan yang hendak dikorban hendaklah yang terbaik dagingnya, tidak mengandungi kuman yang berbahaya dan tidak pula haiwan yang terlalu tua, sesuai dengan korban yang merupakan hadiah seorang hamba kepada Tuhannya.
Sayugia bagi seorang muslim menghadiahkan sesuatu yang terbaik kepada Allah, ia tidak harus berkorban binatang yang terlalu kurus, berpenyakit, cacat anggota, dijangkiti kuman dan sebagainya, atau haiwan yang lebih umur atau yang terlalu tua, sehingga tiada lagi rasa lazat pada dagingnya.
Ada orang bertanya, bolehkah korban dilakukan bagi pihak orang yang telah meninggal dunia. Masalah ini masih diperselisihkan oleh ulama fiqh termasuk Imam-Imam Abu Hanifah dan Syafi'i. Imam Syafi'i berpendapat korban tidak boleh dilakukan bagi pihak orang yang telah meninggal dunia. Bagaimanapun, sedekah boleh dilakukan bagi pihak mereka dan diharapkan sampai pahalanya kepada mereka.
Saya lebih cenderung untuk mengatakan jika ada pihak yang ingin berbuat kebajikan kepada keluarganya yang telah meninggal dunia, elok bersedekah dan menghadiahkan pahalanya kepada si mati kerana ulama masih mempertikaikan amalan korban bagi orang yang telah meninggal dunia, sebaliknya mereka sepakat menyatakan pahala sedekah berfaedah kepada mereka. Cara ini tentunya lebih baik daripada langsung tidak berbuat apa-apa.
Ulama juga mengingatkan pihak-pihak yang ingin mengambil bahagian korban supaya tidak memotong kuku dan rambutnya bermula 1 Zulhijah sehingga selesai korban. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim daripada Ummi Salamah r.a bahawa Nabi s.a.w bersabda: Apabila kamu menyaksi anak bulan Zulhijah dan ingin berkorban, maka hendaknya janganlah ia memotong kuku dan rambutnya.
Berpandukan kepada hadis ini, sebahagian ulama berpendapat haram bagi mereka yang ingin berkorban memotong kuku dan rambut hinggalah selesai korbannya. Imam Syafi'i berpendapat hanya makruh manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat harus berbuat demikian.
Golongan yang berpendapat haram memberi beberapa alasan. Antara alasannya ialah kerana korban diharap akan membebaskan seseorang daripada neraka. Andainya kuku dan rambutnya dipotong, dibimbangi nanti rambut dan kukunya tidak diselamatkan daripada azab itu. Ada lagi alasan-alasan lain yang diberi, namun semuanya tidak bersandarkan dalil yang jelas dan terang.
Tentang hukum memotong kuku dan rambut sebelum berkorban, pendapat ulama berkisar sekitar haram, makruh dan harus. Saya berpendapat ia terpulang kepada pihak-pihak berkenaan menimbang suasananya sendiri. Jika ia selesa dengan rambut dan kuku yang panjang, tidak salah baginya berbuat demikian. Wallah a'lam.

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."