RAKAN BLOG MASJID

04 May 2012

KEBERSIHAN MASJID TANGGUNGJAWAB JEMAAH !

Menjaga kebersihan masjid tanggungjawab semua jemaah   PADA zaman Rasulullah SAW ada seorang wanita berkulit hitam bernama Ummu Mahjan. Dia selalu membersihkan masjid Rasulullah SAW. Suatu hari ketika Rasulullah berziarah ke perkuburan, Baginda melihat sebuah perkuburan baru.   Rasulullah SAW bertanya: “Kuburan siapakah ini, wahai para sahabat? Mereka hadir di situ menjawab: Ini kuburan Ummu Mahjah, ya Rasulullah.” Rasulullah SAW menangis selepas mendengar berita itu, lalu Baginda menyalahkan sahabatnya: “Mengapakah kamu tidak memberitahu kematiannya kepadaku supaya aku dapat menyembahyangkannya? Mereka menjawab: Ya Rasulullah, pada waktu itu matahari terlalu terik sekali. Rasulullah diam saja mendengar jawapan itu. Kemudian Baginda berdiri dan sembahyang untuk jenazah yang sudah ditanam beberapa hari itu di atas kuburnya sambil berkata: “Bila ada di antara kamu yang meninggal dunia, beritahu kepadaku, kerana orang yang aku sembahyangkan di dunia, sembahyangku itu akan menjadi syafaat di akhirat.”   Rasulullah SAW turut memberitahu disebabkan pekerjaan Ummu Mahjan membersihkan masjid Rasulullah, maka Allah berkenan mendirikan rumah untuknya di syurga.   Masjid yang sering kita rujuk sebagai rumah Allah mempunyai fungsi besar untuk dimanfaatkan bukan saja sebagai tempat beribadah kepada Allah, malah menjadi pusat aktiviti masyarakat di kariah itu.   Oleh itu, memelihara rumah Allah daripada sebarang kotoran fizikal menjadi tanggungjawab jemaah supaya kesucian rumah tempat umat Islam bersujud kepada Penciptanya sentiasa terpelihara demi kemudahan mereka juga. Jika kita dapat melihat hadiah yang menanti (rumah di syurga) untuk mereka yang sentiasa menjaga kebersihan masjid seperti kisah Ummu Mahjan itu, pasti berebut-rebut menawarkan diri untuk membersihkan masjid.   Sebenarnya, semua boleh mendapat ganjaran baik daripada Allah jika kita mengambil tanggungjawab menjaga kebersihan masjid. Bukan susah, bermula dengan sentiasa menjaga diri supaya tidak membuat kekotoran.   Jika kita menggunakan tandas masjid, pastikan ia dibersihkan selepas urusan kita selesai. Apabila semua mengambil inisiatif menjaga kebersihan tandas di masjid, kita tidak akan berdepan dengan masalah tandas berbau yang menjadi rungutan semua.   Nabi SAW bersabda bermaksud: “Barang siapa yang mengeluarkan kekotoran dari masjid, maka Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga.” (Hadis riwayat Ibnu Majah)   Masjid yang bersih boleh mendatangkan khusyuk kepada mereka yang beribadat di dalamnya. Keadaan itu juga menjadi bukti kesungguhan umat Islam mengamalkan ajaran Islam yang mementingkan aspek kebersihan.  
Firman Allah yang bermaksud: “Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (menyucikan) dirinya, dan Allah Mengasihi orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).” (Surah at-Taubah, ayat 108)

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."