RAKAN BLOG MASJID

04 April 2013

SEBAIKNYA PEMIMPIN YANG BOLEH JADI IMAM SOLAT BARU BERKAT

Dalam memilih pemimpin, kita perlulah memilih pemimpin yang mana ia mampu menjadi imam. Hal ini amat diutamakan dan penting kerana, seseorang pemimpin itu perlulah banyak menguasai hal-hal berkaitan dengan agama.

Apabila bercakap mengenai pemimpin menjadi Imam. Ia adalah merupakan salah satu perkara yang mesti dilakukan. Sebagai contoh dalam keluarga, suami adalah pemimpin kepada isteri dan anak-anak. Maka, suami mesti boleh menjadi imam kepada keluarganya. Mengharapkan pemimpin menjadi imam antaranya adalah mahu menyahut seruan bersembahyang secara berjemaah.

Mempraktikkan sembahyang berjemaah dalam masyarakat mampu menguatkan sistem organisasi dalam negara. Hal ini dapat dilihat melalui hikmah sembahyang berjemaah, antaranya, merapatkan hubungan rakyat dengan pemimpin dan mengekalkan perpaduan dalam kalangan penduduk.

Alangkah indahnya jika pemimpin menjadi imam, kerana kekuatan sembahyang berjemaah juga boleh menimbulkan sikap kasih sayang, hormat-menghormati dan menjalinkan persefahaman.
Syarat-syarat untuk menjadi imam sembahyang berjemaah adalah sama dengan syarat untuk menjadi pemimpin dari segi kemampuan menguasai ilmu agama. Seorang imam perlu menguasai bacaan Al-Quran lebih baik daripada makmumnya dan lebih faham perkara berkaitan rukun dan syarak.

Begitu juga pemimpin, seorang pemerintah perlu menguasai ilmu pengetahuan yang mendalam untuk mentadbir negara kerana kuasa menghukum terletak di bahunya. Kejayaan umat Islam sebelum ini adalah kerana mereka mempraktikkan roh sembahyang itu di luar sembahyang.
Dalam sembahyang, mereka merendah diri kepada Allah SWT. Di luar sembahyang, mereka tawaduk, tidak sombong, tidak angkuh atau membesarkan diri.

Mereka sembahyang berjemaah dan patuh kepada imam selagi imam patuh kepada syarat dan rukun. Di luar sembahyang, mereka hidup dalam masyarakat yang harmoni, mentaati pemerintah selagi pemerintah mentaati Allah SWT.


Dalam sembahyang berjemaah juga mereka berbaris dalam satu saf yang tersusun rapi. Di luar sembahyang, mereka berganding bahu dalam organisasi yang teratur untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka.

Seseorang yang dianugerahi Allah SWT untuk menjadi pemimpin hendaklah menunjukkan rasa cintanya dalam menyampaikan dakwah Islam kepada bawahannya atau rakyatnya. Dakwah tidak semestinya dilakukan oleh pendakwah, ustaz mahupun tabligh tetapi dakwah juga dipertanggungjawab kepada pemimpin.

Maksud dakwah ialah mengajak individu ataupun masyarakat ke arah yang lebih baik dari setiap sudut ekonomi, politik, sosial, pendidikan, sains dan teknologi serta kesihatan.
Insya-Allah, jika seseorang itu berjaya menjadi imam dalam sembahyang jemaah, maka dia akan berjaya dalam memimpin rakyatnya.

P- - Pemimpin itu perlu bertanggungjawab ke atas apa yang dipimpin. Jadi, untuk mengajak anak buahnya atau rakyat membuat perkara kebaikan, pemimpin perlulah menunjukkan contoh yang baik dan selain itu mampu menjadi imam dalam sembahyang

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."