RAKAN BLOG MASJID

30 May 2013

HADITH SUMBER KEDUA KEILMUAN ISLAM !

Hadith Sumber Kedua Bagi Keilmuan Islam

Hadith (Riwayah) dimaksudkan ialah segala apa yang dihubungkan dengan Nabi s.a.w. daripada perkataan, perbuatan, taqrir, sifatnya dan apa yang diriwayatkan (athar) berhubung dengan Rasulullah s.a.w.
Adapun dari segi ilmu Hadith (Dirayah) ialah ilmu berhubung dengan kanun-kanun yang dikenali dengannya perkara-perkara yang berhubung dengan sanad dan matan. Atau sebagaimana kata Shaykh al-Islam al-Hafiz Ibn Hajar ialah, mengetahui kaedah-kaedah mengenali hal rawi dan yang diriwayatkan.
(Dr. Muhammad al-Ujjaj al-Khatib, Usul al-Hadith Ulumuhu wa Mustalahuhu, Beirut: Dar al-Fikr, 1409H./1989M: 7-8).

Contoh Hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah berkata (maksudnya):

Bersabda Rasulullah s.a.w. Dibina Islam di atas lima: Syahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Muhammad hambaNya dan Rasulnya dan mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan Haji ke Rumah (Allah) dan puasa bulan Ramadhan.
(Hadith Sahih Muslim (Terjemahan), Juz` 1 (Oleh H.A.Razak dan H.Rais Lathief), Jakarta, Pustaka al-Husna, 1980: 42).

Penekanan bagi permulaan ialah Hadith (Riwayah):
Kedudukannya sebagai sumber kedua penting bagi agama Islam berdasarkan sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud:

``Aku tinggalkan kepada kamu sekalian dua perkara yang mana kamu tidak akan sesat selama mana kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnahku.``
(Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta`)

Kitab Allah ialah al-Qur`an, manakala Sunnah Rasul bahawa:

``Al-Sunnah mengikut ahli bahasa membawa erti: Jalan, cara perilaku dan cara hidup, sama ada baik ataupun jahat, manakala Al-Sunnah dalam syarak membawa erti: Setiap perintah dan larangan Rasulullah s.a.w, sama ada sabdanya ataupun yang dikatakan oleh baginda, yang tidak ada di dalam al-Qur`an. Oleh itu dalil syarak diambil daripada al-Kitab dan al-Sunnah. Yakni al-Qur`an dan al-Hadith.``
(Badrul Munir Muhamad Nur, Kedudukan Al-Sunnah Dalam Sintaksis Arab, Kolej Universiti Islam Antarabangsa, Selangor: 2005, hlm. 47-48).

Adalah logik bahawa Rasulullah yang menerima wahyu al-Qur`an, mengetahui isi kandungan dan menyampaikan kepada sahabat-sahabat, bahawa bagindalah lebih arif di dalam mengulas dan menyampaikan berbagai maklumat, baik tentang agama Islam dan kehidupan. Demikian peranan Hadith.

Hadith yang sampai kepada kita adalah melalui riwayat, sanad dan matan. Keperluan dijaga dan dipelihara Hadith-Hadith Nabi timbul selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Bimbangkan hilangnya Hadith-Hadith maka para sahabat berusaha menjaga Hadith dengan menghafaz, menanda dan mengumpulkannya sebaik mungkin. Bahkan sebelum berakhirnya zaman sahabat terdapat pengumpulan dan pembukuan secara peribadi oleh beberapa tokoh seperti :

Al-Sahifah al-Sadiqah oleh Abdullah bin `Amru r.a.
Al-Sahifah al-Sahihah oleh Hammam ibn Munabbih (Murid Abu Hurayrah r.a)
Sahifah Jabir ibn `Abd Allah al-Ansari r.a.
Sahifah Sayyidina Ali k.w.
(Haziyah Hussin dll., Hadis Cabaran Dan Masa Depan, Selangor, Kolej Universiti Islam Antarabangsa, 2006: XII).

Sebagai catatan, ``Di waktu Islam datang ke Makkah hanya terdapat 11 orang sahaja yang pandai membaca dan menulis, iaitu Umar, Ali, Usman, Abu Ubaidah, Talhah, Yazid bin Abi Sufyan, Muawiyah, Abu Sufyan ibn Harb, Abu Huzaifah ibn Utbah, Hathib bin Amr, Abu Salamah ibn Abdul Asad al-Makhzumy. (Antara mereka menjadi jurutulis bagi Rasulullah s.a.w) Ditambah dengan empat penulis wanita, iaitu Al-Syifa binti Abdullah al-Adawiyah, Hafsah binti Umar (Isteri Rasulullah), Ummu Kalthum binti Utbah dan Karimah binti Miqdad.

Di Madinah sedikit sahaja yang tahu menulis dan membaca dari kalangan Aus dan Khazraj. Beberapa Yahudi menguasai penulisan dan mengajar kepada anak-anak Madinah pada peringkat awal. Bila Islam tiba ke Madinah terdapat beberapa orang yang pandai menulis-membaca, iaitu Sa`ad bin Ubadah al-Mundhir ibn Amar, Ubai ibn Ka`b, Zaid bin Thabit (pandai Arab dan Ibrani), Rafi Ibn Malik, Usaid ibn Hudhair dan sejumlah sebelas yang lain. Rasulullah s.a.w. menggalakkan anak-anak belajar menulis membaca, antaranya dengan memerintah tawanan perang yang pandai menulis membaca mengajar anak-anak menulis dan membaca.
(M. Hasbi Ash-Shidieqy, Sejarah Hadis, Kuala Lumpur: Pustaka Al-Shafa, 2006, hlm. 67).

Dalam erti kata yang lain tradisi lisan dan ingatan (menghafal) masih dominant dalam masyarakat Arab. Sebagaimana telah disebutkan bahawa tradisi meriwayat dan menghafal kata-kata tokoh-tokoh terkenal seperti penyair dan pemimpin-pemimpin berlaku sejak zaman Jahiliyyah oleh kerana pada masa itu masyarakat umum belum menguasai tulisan. Penurunan maklumat secara riwayat berlaku, contoh puisi Urwah bin al-Ward (m.616M.) yang mempunyai kedudukan, tinggi dengan keindahan bahasa, dan halus cita rasa kemanusiaan, berakhlak mulia dan dermawan, katanya dalam puisinya:

`Tilamku tilam tetamu dan rumahku rumahnya`

hingga riwayat tentang `Urwah sampai kepada Saidina Umar al-Khattab, bahkan riwayat keindahan puisi dan sifatnya sampai kepada Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan dan Khalifah Al-Mansur. Tentang Penyair `Urwah ini kata Muawiyah:

``Kalaulah `Urwah mempunyai anak, nescaya aku ingin berbesan dengannya !``
Bahkan kata Khalifah Abdul Malik bin Marwan:

Tidak ada yang menggembirakan daku dari seorang Arab yang melahirkan turunanku, tapi tidak kepadaku daripada `Urwah bin al-Ward. Lihat keintiman puisi (`Urwah) tentang kemuliaan peribadinya:

Aku tidak kisah cawan minumanku diguna kawan
Walaupun cawan minumannya diguna hanya seorang

(Diwan `Urwah bin al-Ward wa al-Shamauul, Beirut: Dar Sadir, tt. Hlm. 7- 9).

Orang-orang Arab sebelum Islam menurut Hasbi Ash-Shidieqy, ``Mereka berpegang pada kekuatan hafalan dalam mengumpulkan syair, salsilah keturunan mereka, kejadian-kejadian sejarah dan ucapan-ucapan yang mereka ucapkan diwaktu masing-masing kabilah mengutarakan kemegahan dan kebanggaan masing-masingnya (M.Hasbi Ash-Shidieqy, Sejarah Hadis, hlm. 67).

Bila Islam datang dan Rasulullah berperanan sebagai pemimpin, sudah tentulah Rasulullah dipandang unggul, lebih dari kepimpinan biasa. Oleh kerana kedudukan Rasulullah s.a.w. adalah tinggi, maka budaya menghafal sejak sebelum Islam berterusan, bahkan sudah tentulah, sabda-sabda dan apa yang berhubung dengan Rasulullah s.a.w. lebih-lebih lagi dijaga, dipelihara, dihafal dan dicatat. Menurut M.Hasbi Ash-Shidieqy:

``Para sahabat Nabi, adalah orang-orang Arab yang masih Ummi, tak dapat membaca dan menulis, pegangan mereka hanyalah kekuatan hafalan. Dalam hal mereka mempunyai kekuatan hafalan yang menakjubkan, telah dikenal dan diakui oleh dunia. Allah telah mempersiapkan bangsa Arab dengan kelengkapan itu menyimpan ayat-ayat al-Qur`an dan Hadith-Hadith Rasul di dalam dada mereka masing-masing.``
(M.Hasbi Ash-Shidieqy, Sejarah Hadis, hlm. 5 – 6).

Namun perkembangan Hadith pada zaman Rasulullah tidak rancak, kerana tumpuan diberi kepada al-Qur`an. Ada semacam larangan pada zaman baginda untuk menghimpun Hadith, lantaran bimbang akan bercampur aduk dengan al-Qur`an. Kerancakan hanya berlaku pada zaman Umar ibn al-Aziz yang menjadi Khalifah di akhir kurun pertama Hijrah. Beliau mengeluarkan perintah untuk mengumpulkan Hadith dan membukukannya , kerana kebimbangan Khalifah akan kehilangan ilmu dan lenyap para ulama. Maka berlakulah kerancakan penghimpunan Hadith di berbagai kota Islam oleh berbagai ulama`. Hadith-Hadith mulai dibukukan seperti oleh al-Zuhri dan puncaknya ialah al-Muwatta` oleh Imam Malik yang mengandungi 500 Hadith yang semuanya sahih. (Hasbi Ash-Shidieqy, Sejarah Hadis, hlm. 71-75).

Kepentingan Hadith tidak dapat dinafikan, ianya menjadi bukti, hujah dan dalil dalam berbagai bidang sama ada keilmuan, perundangan, hukum hakam, nilai akhlak dan kehidupan. Adalah menjadi kebiasaan dalam bicara keilmuan selepas diperturunkan ayat al-Qur`an, maka dikukuhkan dengan Hadith-Hadith Junjungan s.a.w.
Al-Qur`an dan Al-Hadith adalah sumber Islam yang memancarkan tamadun dan peradaban umat.

Sekian.

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."