RAKAN BLOG MASJID

13 January 2014

TAHUKAH BILA ALLAH PILIH KITA !

Allah Pilih Aku

"Jemput ke Masjid malam ni ada Qiamullail pimpinan Ust Hazri," begitulah sms yang di terima isteri saya daripada seorang kawan. Mesej itu isteri saya terbaca tika bangun solat subuh. Mesej berkenaan dihantar oleh kawan tadi pada pukul 3:20 pagi. 

Sebelumnya iaitu pada pukul 8:20 malam isteri saya telah mendapat sms, "Datanglah ke masjid, malam ni Ust Uda Kassim, best." Sms itu juga dihantar oleh kawan yang sama. Mungkin kawan isteri saya ini kehairanan kerana beberapa hari ini tidak melihat kelibat saya dan isteri di Masjid. 

Pagi ini setelah habis bersarapan saya berbual-bual santai dengan isteri. Kata saya, "Allah sebenarnya nak uji kita. Perasan tak beberapa hari ini walaupun niat di hati nak berkunjung ke Masjid saban malam seperti biasa tapi Allah telah memberikan beberapa halangan dan ujian kecil. Allah tidak memilih kita untuk ke rumah-Nya, menjadi tetamu-Nya." 

Hasilnya ialah kita telah gagal berkunjung ke Masjid. Allah tidak memilih kita untuk menjadi tetamu-Nya untuk beberapa malam ini. Mungkin untuk sedarkan balik bahawa mu pergi ke Masjid bukan sesuka hati mu saja tetapi mu telah di pilih. Maka setiap kali terpilih untuk ke Rumah Allah angkatlah tangan berdoa penuh kesyukuran, "Ya Allah, aku syukur Engkau telah memilih aku untuk ke Masjid pada kali ini, Amiiin."

Allah nak uji supaya perbetulkan niat. Aku ke Masjid ini bukan sebab aku balik awal dari ofis atau sebab aku suka Ustaz ini atau Ustaz itu. Aku bukan ke Masjid ini kerana aku ini kaki Masjid atau aku ini cinta ilmu. Bukan. Aku ke Masjid ini nawaitu kerana Allah.

Allah yang memilih aku untuk ke Masjid malam ini. Allah memilih aku. Aku yang terpilih berbanding dengan 30,520 umat Islam yang lain yang ada di khariah Masjid ini. Allah yang pilih aku. Bukan saja-saja aku mari ini. Allah yang gerakkan hati aku untuk mari. Allah yang bagi kelapangan, kesihatan, kemudahan untuk aku mari malam ini. Aku menjadi salah seorang daripada 82 orang yang berada dalam kuliah maghrib malam ini, Alhamdulillah.

Saya merenung kembali dialog dengan isteri malam tadi. "Pa, pergi masjid tak malam ni?" Saya sebenarnya sampai ke rumah sebelum maghrib dari ofis. Mengikut kebiasaannya ia memberi suasana yang kondusif dan ruang yang lapang untuk saya dan isteri sempat ke Masjid sebelum maghrib atau paling tidak pun berkunjung selepas menunaikan solat maghrib berjemaah di rumah dahulu.

Setelah berdiam diri seketika saya bersuara, "Tak kot Ma sebab kaki papa ni sakit lagi la." Tu dia alasan yang agak munasabah. "Ok," sampuk isteri saya mudah. Allah nak uji apakah aku ini sudah mantap iman dan kukuh akidah. Rupanya goyang dan mudah sangat goyahnya, bak pokok pisang di kocok angin, terhoyong-hayang menunggu rebah. Iman yang turun naik.

Kalau pada kebiasaan, isteri yang agak mantap pendiriannya untuk ke Masjid setiap malam kerana begitu teruja dengan majlis2 ilmu yang berlangsung dan pautan hatinya yang katanya begitu tenang dan damai tika berada di Rumah Allah, akan menafikan alasan yang saya beri untuk tidak ke Masjid malam ini. "Boleh tak mama pergi sendiri ke Masjid malam ni?" Respon sebegitu yang saya biasa dengar. Tapi malam ini rupanya Allah mahu uji. 

Nikmat ibadah yang Allah tarik balik untuk beberapa hari ini. "Ya Allah, menyesalnya mama dah beberapa hari tak dapat ke Masjid," keluh isteri saya menuju ke dapur tadi. Allah uji dengan kesibukan isteri saya masak dinner untuk anak2 kami yang balik dari UIA. Allah sibukkan dengan kerja2 rumah yang tak berkesudahan. Allah uji dengan suami yang tak berapa sihat.

Allah uji pula saya dengan beberapa ujian juga. Malam pertama hari tu tak sempat ke Masjid kerana balik lambat kerana urusan anak di UIA dan beli netbook anak. Malam kedua, balik lambat sebab ada urusan kerja. Malam kedua di timpa masalah demam dan terpaksa menelan ubat dan berselimut di katil. Malam ketiga pula di uji dengan sakit kaki. Malam keempat, walaupun balik awal tapi di uji lagi dengan kepenatan dan rasa tidak sihat. Semuanya Allah nak uji.

Maka benarlah aku ini terpilih untuk ke Masjid. Ia bukan berlaku secara gitu2 saja. Siapa yang pilih? Allah. Ibarat kita tidak akan sembarangan menerima orang asing untuk menjadi tetamu di rumah kita. Allah akan memilih siapa yang Dia ingini untuk menjadi tetamu di rumah-Nya.

Saya dan isteri bukan tiada niat untuk ke Masjid. Memang dah niat. Memang dah rancang. Tapi asbab sedikit ujian yang Allah berikan, segala hajat itu gagal terlaksana. Betapa mudah goyahnya. Ingatkan sudah utuh dipasak hingga tertegak sebagai binaan yang kukuh. Rupanya tanggapan yang meleset sama sekali. Allah hanya uji sedikit sahaja, berkecai runtuhnya.

"Ya Allah, pilihlah aku untuk menjadi tetamu-Mu. Ya Allah, kurniakan kami taufiq dan hidayah-Mu." Apakah itu taufiq? taufiq itu ialah kekuatan untuk melaksanakan hidayah Allah. Allah dah bagi hidayah untuk pergi ke Rumah Allah, mengerjakan solat2 sunat, mengerjakan solat fardhu berjemaah, dan duduk di majlis ilmu tetapi kekuatan dan iltizam untuk melakukannya tiada atau diberi sedikit ujian, maka gagal juga. Justru itulah taufiq sangat utama. Mesti di pohon berpasangan dengan memohon hidayah Allah.

Sebagai konklusi usahlah dibangga aku ini kaki masjid atau pencinta majlis ilmu. Semua milik Allah. Allah bisa membolak-balik hati seseorang dalam split second. Usah bangga diri apatah lagi riak. Usah fikir aku ke Masjid ini sebab aku kaki masjid. Atau aku ke masjid ini sebab aku cinta ilmu.

Aku ke Masjid ini kerana Allah. Aku taat pada Allah. Aku mencari redha Allah. Aku ke Masjid kerana tiada sebab lain. Aku ke Masjid bukan kerana makhluk. Bersihkan hati ini. Kosongkan hati ini. Isikan dengan Allah semata. "Ya Allah, kembalikan nikmat ke Masjid ini. Janganlah engkau tarik balik nikmat ini."

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."