RAKAN BLOG MASJID

09 February 2014

4 PERINGATAN PENTING

SATURDAY, FEBRUARY 08, 2014

Belajar Hakikat

Semalam saya solat jumaat di Masjid AU3 Keramat. Pada tazkirah jumaat yang di sampaikan saya ingin berkongsi empat peringatan utama di penghujung penyampaian Ustaz berkenaaan yang masih terngiang-ngiang di telinga ini. 

Ustaz berpesan supaya kita semua menghayati empat perkara ini (DADA):
  1. Kenal DIRI. Kenal bahawa diri kita ini lemah, tiada hebat apa pun, tiada kuasa apa pun. Perasan tak manusia tak dapat cipta walau seekor nyamuk atau sebutir beras?
  2. Kenal ALLAH. Maha Pencipta dan Maha segala. Allah pencipta seluruh alam ini. Dia penguasa hakiki. Semua milik Allah. Kita tidak milik apa2. Kita bergantung harap kepada-Nya.
  3. Kenal DUNIA. Tempat persinggahan seorang yang dalam perjalanan yang jauh. Ibarat berhenti berteduh sebentar di R&R untuk rehat dan rawat sejenak, dan kemudian meneruskan perjalanan menuju destinasi.
  4. Kenal AKHIRAT. Akhirat itu kampung halaman kita. Itulah tempat hidup kita nanti yang kekal abadi. Hakikat sebenar ungkapan balik kampung.
Saya rasa pesanan Ustaz ini sungguh bermakna dan simple. Ia menjentik minda untuk renung dan fikir. Fikir siapa sebenar aku ini? 

Aku lahir 40 tahun dulu, 50 tahun dulu tanpa apa2. Allah kurniakan segalanya. Ruh untuk jasadku, udara untuk ku bernafas, air untuk ku minum, makanan untuk ku makan. Allah kurniakan pelbagai sumber rezki dan nikmat termasuklah akal, ilmu, kesihatan, pancaindera, keluarga, alam sekeliling, dan harta benda. Semua milik Allah. Dan Allah meminjamkan sekejap kepada ku untuk dinikmati. 

Maka aku sepatutnya menjaga pinjaman ini dengan amanah dan penuh tanggung jawab. Mensyukuri segala nikmat kurniaan Allah ini. Sampai masa kematian ku, semua ini akan aku tinggalkan jua.

Agak jelas terbayang gambaran besar erti kehidupan ini. Aku ini tiada apa, Semua milik Allah. Dunia ini sementara cuma dan penuh tipudaya, hiburan dan ujian. Namun sangat penting dan signifikan sebagai tempat atau platform untuk mencari bekalan amal bagi kehidupan yang baik di Akhirat nanti. Kerana Akhirat itulah destinasi akhir perjalalan aku ini. 

Justru itu 24 jam yang Allah bagi pinjam setiap hari ini mestilah di terjemahkan kepada ibadah. Maksud ibadah disini ialah sesuatu yang ada nilai pahala di sisi Allah.

Kita boleh bahagikan ibadah kepada dua iaitu ibadah khas atau khusus seperti solat, puasa, zakat, sedekah dan berdakwah. Namun aktiviti-aktiviti seharian kita yang lain pula boleh termasuk dalam ibadah iaitu ibadah am. Syaratnya ialah apa yang kita lakukan itu niat ikhlas kerana Allah, dilakukan oleh orang Islam, tidak melanggar syariat Allah, dan tidak melalaikan atau menghalangi kita daripada melakukan ibadah2 khusus atau khas tadi.

Belajar hakikat. Supaya tidak sia-sia setiap perlakuan kita di muka dunia ini. Jangan penat berusha sedaya upaya tapi hasilnya tiada. Penat menanam benih, menyiram dan membaja hingga pokoknya tumbuh subur namun tidak menghasilkan buah, hanya daun yang lebat. Bukankah rugi tu? Kita sedang bercucuk tanam dan akan menuai hasilnya di Akhirat nanti.

Teruskan pencarian ilmu. Ya Allah berikan taufiq dan hidayah agar kami kenal diri, kenal Allah, kenal dunia, dan kenal Akhirat. Ya Allah jadikan kami dari golongan yang untung di sisi Mu.

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."