Surah
al-Sajdah Dan Solat Subuh Hari Jumaat: Beberapa Perkara Yang Perlu
Diperhatikan.
Hafiz
Firdaus Abdullah
|
Kebiasaannya ketika
melaksanakan solat subuh berjamaah pada pagi Jumaat, imam membaca surah
al-Sajdah (surah ke-32) pada rakaat pertama dan surah al-Insan (surah ke-76)
pada rakaat kedua. Alhamdulillah amalan ini adalah
berdasarkan sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam sebagaimana
yang diterangkan oleh Abu Hurairahradhiallahu 'anh:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي
الْجُمُعَةِ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ الم تَنْزِيلُ السَّجْدَةَ
وَهَلْ أَتَى عَلَى الإِنْسَانِ حِينٌ مِنْ الدَّهْرِ.
Nabi shallallahu
'alaihi wasallam biasa membaca pada hari Jumaat dalam solat Subuh (surah)
Alif lam mim tanzilus sajadah dan (surah) Hal ata ‘alal insani hinum minad
dahr. Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
al-Jumu‘ah, Bab apa yang dibaca dalam solat subuh pada hari Jumaat, hadis
no: 891.
Dalam risalah yang
serba ringkas ini, saya tidak berhajat untuk mengubah kebiasaan di atas
kerana ia sememangnya sudah menepati sunnah Rasulullah yang mulia. Akan
tetapi saya ingin memperincikan beberapa perkara yang dirasakan perlu agar
sunnah tersebut dapat kita ikuti dan amalkan dengan lebih tepat.
Perkara-perkara yang ingin saya perincikan adalah berdasarkan pengalaman saya
dan rakan-rakan.
Pertama: Hukum
membaca surah al-Sajdah adalah sunat.
Berdasarkan hadis
di atas, sunat hukumnya membaca surah al-Sajdah dalam rakaat pertama solat
subuh pada pagi Jumaat. Ini adalah juga merupakan pendapat Mazhab al-Syafi’e
sebagaimana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi:
Dalam hadis di atas terkandung dalil bagi mazhab
kami dan mazhab yang sependapat dengan kami bahawa sunat (membaca surah
al-Sajdah dan surah al-Insan) pada solat Subuh hari Jumaat’. [Syarh Shahih Muslim bi
al-Nawawi (tahqiq: ‘Irfan Haswanah; Dar Ihya’ al-Turats
al-‘Arabi, Beirut, tp.thn), jld. 4, ms. 188-189).
Saya yakin para
pembaca mengetahui berkenaan hukum sunat ini. Akan tetapi dalam pengalaman
saya dan rakan-rakan, adakalanya ditemui:
1.
Para makmum yang
menangguhkan iqamat solat Subuh pada pagi Jumaat kerana imam yang hafal surah
al-Sajdah belum datang. Jika tiada yang hafal, makmum saling menolak antara
satu sama lain untuk menjadi imam. Masing-masing enggan dengan alasan: “Saya
tak hafal surah al-Sajdah.”
2.
Pernah beberapa
kali imam yang sedang membaca surah al-Sajdah tersangkut di tengah-tengah
atau penghujung dan tidak ada makmum yang boleh membetulkannya (termasuk diri
saya). Maka imam mengulangi semula surah al-Sajdah dari awal sekali lagi.
3.
Bagi masjid-masjid
yang mempunyai imam yang dilantik secara rasmi, saya dikhabarkan oleh
rakan-rakan yang dipercayai bahawa antara soalan yang ditanya ketika temuduga
sebelum perlantikan adalah hafal atau tidak surah al-Sajdah. Ia menjadi salah
satu syarat lulus temuduga.
Tiga pengalaman di
atas memberi isyarat bahawa di sebalik kebiasaan membaca surah al-Sajdah
dalam solat Subuh pada pagi Jumaat, ada sebahagian orang yang menganggap
hukumnya wajib. Atas anggap wajib inilah mereka enggan menjadi imam, atau
salah satu syarat perlantikan imam untuk mengulang-ulang keseluruhan surah
jika tersangkut.
Padahal
yang benar hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Oleh itu jika tidak ada yang
menghafal surah al-Sajdah, seseorang boleh menjadi imam dengan membaca surah
lain. Jika tersangkut ketika membaca surah al-Sajdah dan makmum tiada yang
dapat membetulkannya, imam boleh terus rukuk atau beralih membaca surah yang
lain. Menghafal surah al-Sajdah sepatutnya menjadi satu kelebihan dalam
temuduga dan bukannya syarat lulus temuduga.
Selain dari itu,
syarat-syarat menjadi imam pula, sama ada imam rasmi atau tidak, bukanlah
kerana menghafal surah al-Sajdah. Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallambersabda:
يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ فَإِنْ كَانُوا فِي
الْقِرَاءَةِ
سَوَاءً فَأَعْلَمُهُمْ بِالسُّنَّةِ فَإِنْ كَانُوا فِي السُّنَّةِ
سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ
سَوَاءً فَأَقْدَمُهُمْ سِلْمًا وَلاَ يَؤُمَّنَّ الرَّجُلُ الرَّجُلَ
فِي سُلْطَانِهِ
وَلاَ يَقْعُدْ فِي بَيْتِهِ عَلَى تَكْرِمَتِهِ إِلاَّ بِإِذْنِهِ.
(Paling layak) menjadi imam bagi sesuatu
kaum adalah yang paling baik bacaan al-Qur’an di antara mereka.
Jika mereka dalam bacaan berada pada
tingkatan yang sama,
maka (yang paling layak) adalah yang
paling mengetahui tentang sunnah (hukum-hukum fiqh) di antara mereka.
Jika mereka dalam (pengetahuan)
sunnah berada pada tingkatan yang sama,
maka (yang paling layak) adalah yang
paling awal berhijrah di antara mereka.
Jika mereka dalam penghijrahan berada
pada tingkatan yang sama,
maka (yang paling layak) adalah yang
paling awal memeluk Islam di antara mereka.
Janganlah seseorang menjadi imam
terhadap orang lain di tempat kekuasaannya
dan janganlah seseorang duduk di tempat
kehormatan orang lain kecuali seizinnya.
[Shahih Muslim, Kitab al-Masajid,
Bab orang yang paling berhak menjadi imam, hadis no: 673]
Kedua: Sekali-sekala
dianjurkan membaca surah selain al-Sajdah.
Kebiasaan membaca
surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada setiap pagi Jumaat akan menyebabkan
orang ramai menganggap ia adalah wajib. Faktor ini antara sebab mengapa para
tokoh Mazhab Maliki berpendapat makruh membaca surah al-Sajdah dalam solat
Subuh pada setiap pagi Jumaat kerana bimbang orang ramai akan menganggapnya
wajib. Terhadap faktor ini, Imam Ibn Daqiq al-‘Id mengulas:
Akan tetapi jika melakukan hal tersebut (membaca
surah al-Sajdah) menyebabkan timbulnya kerosakan (menganggapnya wajib), maka
eloklah ia ditinggalkan sekali-sekala kerana sesuatu yang disukai adakalanya
ditinggalkan juga bagi menghindari kerosakan yang mungkin berlaku. Dan ia
(usaha menghindari kerosakan yang mungkin berlaku) dicapai dengan
meninggalkan (membaca surah al-Sajdah) pada sebahagian waktu. [Fath al-Bari bi Syarh Shahih al-Bukhari (tahqiq:
‘Abd al-‘Aziz bin Baz; Dar al-Fikr, Beirut, 2000), jld. 3, ms. 35.
Nampaknya
apa yang dibimbangi oleh para tokoh Mazhab Maliki telah benar-benar berlaku.
Maka saranan Imam Ibn Daqiq al-‘Id perlu kita ikuti, iaitu dianjurkan
sekali-sekala agar imam membaca surah selain al-Sajdah pada solat Subuh pagi
Jumaat.
Ketiga: Imam
hendaklah memerhatikan keadaan makmum.
Dalam mengamalkan
sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, hendaklah
kita mengamalkan keseluruhan sunnah tersebut, bukan sebahagian-sebahagian
sahaja. Membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat adalah
sunnah, namun memerhatikan keadaan makmum adalah sunnah juga. Dalam Shahih
Muslim, Kitab al-Solat, Bab menyuruh imam meringankan bacaan solat, hadis
no: 468, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
أُمَّ قَوْمَكَ فَمَنْ أَمَّ قَوْمًا فَلْيُخَفِّفْ فَإِنَّ فِيهِمْ
الْكَبِيرَ
وَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَإِنَّ فِيهِمْ الضَّعِيفَ وَإِنَّ فِيهِمْ
ذَا الْحَاجَةِ
وَإِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ وَحْدَهُ فَلْيُصَلِّ كَيْفَ شَاءَ.
Imamilah kaum kamu, sesiapa yang
mengimami satu kaum maka hendaklah dia meringankan (memendekkan) bacaan
kerana sesungguhnya di kalangan
mereka (makmum) ada orang tua,
kerana sesungguhnya di kalangan
mereka (makmum) ada orang sakit,
kerana sesungguhnya di kalangan
mereka (makmum) ada orang lemah
dan kerana sesungguhnya di kalangan
mereka (makmum) ada orang yang berurusan.
Apabila salah seorang dari kalian
solat bersendirian, maka solatlah sekehendak dirinya.
Pada pagi Jumaat,
imam perlu memerhatikan dua sunnah. Sunnah yang pertama adalah membaca surah
al-Sajdah manakala sunnah yang kedua adalah memerhatikan waktu iqamat
dilaungkan. Ini kerana di kalangan makmum ada yang memiliki urusan di awal
pagi untuk ke pejabat.
Sama-sama diketahui
sini bahawa waktu masuknya Subuh adakalanya awal dan adakalanya lewat.
Khususnya pada bulan Januari dan Febuari, di Kuala Lumpur waktu Subuh masuk
pada pukul 6.10 pagi dan iqamat lazimnya dilaungkan pada pukul 6.20 pagi.
Kebanyakan warga kota keluar dari rumah pada pukul 6.30 pagi untuk
mengharungi kesesakan jalan raya ke pejabat. Maka merupakan satu kebiasaan
pada pagi Jumaat, sebahagian jamaah tidak menghadiri solat Subuh berjamaah kerana
kesuntukan waktu. Sebahagian lagi ada yang hadir siap dengan pakaian pejabat,
bergegas keluar sebaik sahaja imam memberi salam yang kedua.
Oleh itu sebelum
memulakan solat, imam hendaklah memerhatikan waktunya. Jika masih awal, maka
adalah sunnah untuk membaca surah al-Sajdah. Jika waktu sudah lewat, maka
adalah sunnah untuk membaca surah lain yang pendek.
Dalam hal ini
mungkin ada yang berpendapat, imam sepatutnya tetap membaca surah al-Sajdah.
Terpulang kepada makmum sama ada untuk menghadirinya atau tidak, atau
mengubah suai masa sendiri ke pejabat. Pendapat ini tidak tepat kerana
sebagaimana hadis yang dikemukakan di atas, merupakan kewajipan imam untuk
memerhatikan keadaan makmum dan bukan sebaliknya. Jika imam menyusahkan
makmum, maka kesalahan berada pada bahu imam dan bukannya makmum.
Abu Mas‘ud
al-Anshari radhiallahu 'anh berkata, seorang lelaki telah
datang menemui Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan
berkata: “Wahai Rasulullah! Aku pernah mundur dari solat (berjamaah) disebabkan
si-fulan (imamnya) membaca surah yang panjang.” (Abu Mas‘ud) menyambung: Aku tidak pernah melihat Nabi shallallahu
'alaihi wasallam amat dahsyat kemarahannya dalam rangka memberi
nasihat berbanding pada saat itu. Lalu baginda bersabda:
أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّكُمْ مُنَفِّرُونَ فَمَنْ صَلَّى بِالنَّاسِ
فَلْيُخَفِّفْ
فَإِنَّ فِيهِمْ الْمَرِيضَ وَالضَّعِيفَ وَذَا الْحَاجَةِ
Wahai manusia! Sesungguhnya di antara kalian ada yang membuat
orang-orang lari dari solat berjamaah.
Maka sesiapa yang mengimami manusia, hendaklah dia meringankan
(memendekkan) bacaan
kerana sesungguhnya di kalangan mereka (makmum) ada yang sakit, lemah
dan berurusan.
[Shahih al-Bukhari, Kitab al-‘Ilm, Bab marah dalam memberi nasihat
dan pengajaran apabila melihat sesuatu yang tidak disukai, hadis no: 90]
Keempat: Sujud
tilawah hukumnya sunat.
Saya pernah menjadi
makmum ketika imam membaca surah al-Sajdah pada pagi Jumaat. Imam yang sedang
membaca surah al-Sajdah terlanjur melepasi ayat ke-15 yang sepatutnya dia dan
makmum turun sujud. Maka beliau mengulangi semula dari awal keseluruhan surah
al-Sajdah agar dapat sujud ketika sampai pada ayat yang disunatkan untuk
sujud.
Perbuatannya itu
memberi gambaran seolah-olah melakukan sujud tilawah hukumnya adalah wajib.
Yang benar hukumnya adalah sunat. Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam pernah melakukan sujud tilawah ketika sedang solat
berdasarkan hadis berikut:
عَنْ أَبِي رَافِعٍ قَالَ: صَلَّيْتُ مَعَ أَبِي هُرَيْرَةَ الْعَتَمَةَ
فَقَرَأَ إِذَا السَّمَاءُ انْشَقَّتْ فَسَجَدَ.
فَقُلْتُ: مَا هَذِهِ؟ قَالَ: سَجَدْتُ بِهَا خَلْفَ أَبِي الْقَاسِمِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلاَ أَزَالُ
أَسْجُدُ فِيهَا حَتَّى أَلْقَاهُ.
Daripada Abi Rafi’, dia berkata: Aku solat Isya’ bersama Abu Hurairah (radhiallahu 'anh)
dan beliau membaca surah Izas sama’un syaqqat (surah
al-Insyiqaq, surah ke-84) lalu sujud.
Maka aku bertanya: “Apa ini?” (Abu Hurairah) menjawab: “Aku sujud di
belakang Abu al-Qasim (gelaran bagi Rasulullah) shallallahu 'alaihi wasallam dan
aku akan sentiasa sujud pada ayat tersebut sehingga aku bertemu dengannya.
Hadis di atas
dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab
Sujud al-Qur’an, Bab orang yang membaca surah yang ada ayat al-Sajadah dalam
solat lalu sujud padanya, hadis no: 1078. Berdasarkan nama bab yang
diberi oleh Imam al-Bukhari, maka beliau sendiri memandang sunat untuk
melakukan sujud tilawah di dalam solat bagi orang yang membaca ayat sajadah.
Berdasarkan hadis
di atas, jumhur ilmuan berpendapat sunat melakukan sujud tilawah ketika
melakukan apa-apa solat yang dibaca ayat sajadah di dalamnya. Mereka tidak
membataskan hukum sunat ini kepada surah al-Insyiqaq yang dibaca dalam solat
Isya’ sahaja.
Walaubagaimana pun
ditekankan bahawa hukum melakukan sujud tilawah adalah sunat dan bukannya
wajib. Ini kerana terdapat hadis yang menerangkan Rasulullahshallallahu
'alaihi wasallam dan para sahabat radhiallahu 'anhum tidak
melakukan sujud tilawah, seperti hadis berikut yang dikeluarkan oleh Imam
al-Bukhari dalamShahihnya, Kitab Sujud al-Qur’an, Bab orang
yang membaca surah yang ada ayat al-Sajadah tetapi tidak sujud, hadis
no: 1073, dimana Zaid bin Tsabit radhiallahu 'anhberkata:
قَرَأْتُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
وَالنَّجْمِ فَلَمْ يَسْجُدْ فِيهَا.
Aku membaca di hadapan Nabi shallallahu 'alaihi wasallam surah
al-Najm namun baginda tidak sujud padanya.
Para ilmuan
menerangkan beberapa sebab mengapa Rasulullah shallallahu 'alaihi
wasallam tidak melakukan sujud tilawah. Di antara sebab-sebab
tersebut, Imam al-Syafi’e dan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani menguatkan pendapat
bahawa baginda sengaja tidak sujud tilawah untuk menunjukkan kepada umat
bahawa hukumnya bukan wajib tetapi sunat. [Fath al-Bari, jld. 3, ms.
260]
Pada waktu yang
sama, ingin ditambah bahawa terdapat segelintir ilmuan yang berpendapat
makruh untuk melakukan sujud tilawah di dalam solat. Mereka tidak menjadikan
hadis Shahih al-Bukhari no: 1078 sebagai dalil kerana
apabila Abu Hurairah menerangkan “Aku sujud di belakang Abu al-Qasim…”, beliau tidak menerangkan bahawa ia
berlaku di dalam solat. Alasan ini dibantah oleh Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani
kerana dalam riwayat lain yang dikeluarkan oleh Imam Ibn Khuzaimah dan Imam
al-Jauzaqiy terdapat tambahan lafaz bahawa peristiwa tersebut berlaku di
dalam solat. [Fath al-Bari, jld, 2, ms. 497]
Selanjutnya pihak
yang memandang sujud tilawah dalam solat adalah makruh menekankan bahawa
tidak ada riwayat sahih yang menerangkan Rasulullah shallallahu
'alaihi wasallam pernah melakukan sujud tilawah apabila sampai pada
ayat ke-15 ketika membaca surah al-Sajdah dalam solat Subuh pada pagi Jumaat.
Secara kebetulan hujah ini selari dengan keterangan Imam Ibn Hajar
al-‘Asqalani yang pernah berkata:
Saya belum menemui apa-apa riwayat dengan jalan
yang kuat lagi jelas bahawa baginda shallallahu 'alaihi wasallam melakukan
sujud (tilawah) ketika membaca surah Tanzilus sajadah.
Seterusnya Imam Ibn
Hajar al-‘Asqalani mengemukakan dua riwayat yang beliau ketahui dalam bab ini
akan tetapi dalam sanad kedua-duanya terdapat perbincangan sehingga beliau
sendiri tidak menjadikannya sebagai hujah. [Fath al-Bari, jld. 3, ms.
35]
Kesimpulan
perbahasan kita dalam bab ini dapat diringkaskan sebagai berikut:
· Apabila imam terlupa untuk melakukan sujud
tilawah ketika membaca surah al-Sajdah, dia tidak perlu mengulangi
keseluruhan surah demi mendapatkan sujud tilawah. Ini kerana hukum sujud tilawah,
mengikut jumhur ilmuan, adalah sunat dan bukan wajib.
· Apabila makmum mendapati imam tidak melakukan
sujud tilawah ketika membaca surah al-Sajdah, maka tidak perlu
membetulkannya. Ini kerana tindakan imam terbuka kepada beberapa kemungkinan
seperti lupa, atau sengaja ingin menunjukkan kepada makmum bahawa hukum sujud
tilawah bukan wajib, atau berpegang kepada pandangan yang memakruhkan sujud
tilawah di dalam solat.
Demikian empat
perkara yang ingin saya perincikan berkenaan amalan membaca surah al-Sajdah
dalam solat Subuh pada pagi Jumaat. Semoga perincian ini bermanfaat untuk
semua.
|
RAKAN BLOG MASJID
20 June 2014
SUJUD SaJADAH BUKAN MuDAH TAPI JANGAN DIPERSuSAH !
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
PERINGATAN BAGI LELAKI !
Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat
tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit
kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat
tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit
kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."
No comments:
Post a Comment