1. Apa hukum mengeluarkan zakat?
Mengeluarkan zakat adalah wajib berdasarkan dalil al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak ulamak. Ia merupakan salah satu dari rukun Islam yang lima. Mengabaikan zakat adalah dosa besar. Mengingkari kewajipannya akan menyebabkan seseorang muslim itu murtad dari agama.
2,Apa dalil kewajipan mengeluarkan zakat dari al-Quran?
Kalimah zakat diulang sebanyak 30 kali oleh Allah di dalam al-Quran. 27 kali darinya disebut di samping solat (sembahyang) dalam ayat yang sama.
[1] Di antara ayatnya ialah;
“Dan dirikanlah solat serta tunaikan zakat. Apa jua yang kamu dahulukan dari kebaikan untuk diri kamu, pasti kamu akan mendapat balasan pahalanya di sisi Allah. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat segala yang kamu kerjakan”. (al-Baqarah; 110).
3.Apa dalil kewajipan zakat dari as-Sunnah?
عن ابن عمر رضي اللّه عنهما قال: قالَ رسولُ اللّه صلى اللّه عليه وسلم: "بُنِيَ الإِسْلامُ على خَمْسٍ: شَهادَةِ أن لا إِلهَ إِلاَّ اللَّهُ، وأنَّ مُحَمَّداً رَسُولُ اللَّهِ، وَإقامِ الصَّلاةِ، وَإيتاءِ الزَّكاةِ، وَالحَجِّ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ" رويناه في صحيحيهما.
Dari Ibnu ‘Umar r.a. yang menceritakan; Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Di bina Islam di atas lima rukun;1. Penyaksian bahawa “Tidak ada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad Rasul Allah”.2. Mendirikan solat.3. Mengeluarkan zakat.4. Mengerjakan haji.5. Berpuasa di bulan Ramadhan. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).
4.Apa ancaman Allah ke atas orang yang mengabaikan zakat?
1. Firman Allah;وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنْفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ، يَوْمَ يُحْمَى عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَى بِهَا
جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْنِزُونَ“
Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkannya ke jalan Allah, maka berilah khabar gembira kepada mereka dengan azab yang pedih, iaitu hari di mana emas dan perak itu dipanaskan di dalam neraka Jahannam, lalu dibakar dengannya dahi mereka, rusuk-rusuk dan punggung-punggung mereka, dan dikatakan kepada mereka: ‘Inilah harta benda yang kamu simpan untuk diri kamu, maka rasakanlah sekarang (akibat dari) apa yang kamu simpan itu’”. (at-Taubah: 34-35)2.
Sabda Rasulullah s.a.w.
;من آتاه الله مالا فلم يؤد زكاته مثل له ماله يوم القيامة شجاعا أقرع له زبيبتان يطوقه يوم القيامة ثم يأخذ بلهزمتيه ثم يقول: أنا مالك أنا كنزك“
Siapa yang dikurniakan harta oleh Allah namun tidak ditunaikan zakatnya, akan dijadikan harta itu untuknya pada hari kiamat sebagai seekor ular yang licin/botak kepalanya dan mempunyai dua taring. Ular itu akan membelit lehernya, kemudian menggigit kedua rahangnya serta berkata; “Akulah harta kamu. Akulah harta yang kamu simpan”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)
Menurut penjelasan ulamak; ular tersebut licin kepalanya kerana terlalu kuat bisanya. Ia adalah ular yang paling ganas dan amat menakutkan.
5. Bila kewajipan zakat mula ditetapkan?
Zakat mula difardhukan pada tahun ke dua Hijrah, iaitu sebelum difardhukan puasa.[2]
(Oleh : USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL)
No comments:
Post a Comment