RAKAN BLOG MASJID

19 January 2012

PERINGATAN BG KAUM LELAKI.....

Adapun berinai dengan daun inai atau sebagainya, pada dua tangan dan kaki, bagi kaum lelaki hukumnya adalah HARAM. Di antara dalil yang mengharamkan lelaki berinai atau 'bapacar' ialah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim:

Maksudnya: "Daripada Anas dia berkata: "Bahawa Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam melarang kaum lelaki memakai za'faran (kuma-kuma)."

(Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Za'faran (kuma-kuma) adalah sejenis daun tumbuh-tumbuhan yang mengeluarkan warna serta berbau harum.

Dilarang memakai za'faran (kuma-kuma) bagi lelaki adalah kerana warnanya bukan baunya, kerana memakai benda yang harum bagi lelaki adalah disunatkan. Daun inai itu sama seperti za'faran dari segi mengeluarkan warna dan bau.

Tambahan lagi, perbuatan berinai pada tangan dan kaki itu di dalamnya unsur-unsur menyerupai atau meniru-niru cara kaum wanita berhias. Haram hukumnya perbuatan meniru-niru atau menyerupai antara lelaki dan perempuan sebagaimana ditegaskan di dalam sebuah hadis sahih:

Maksudnya: "Daripada Ibnu 'Abbas Radhiallahu Anhuma beliau berkata: "Bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam melaknat kaum lelaki yang menyerupai atau meniru-niru kaum wanita dan kaum wanita yang menyerupai atau meniru-niru kaum lelaki."

(Hadis riwayat Bukhari)

Bagaimanapun jika sekiranya lelaki itu berinai kerana ada keuzuran iaitu keperluan atau hajat untuk berubat, tidaklah diharamkan malahan tidaklah dimakruhkan ke atasnya untuk berinai.

Tersebut di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Abu Daud :

Maksudnya: "Daripada Salma khadam Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dia berkata: "Tidak mengadu kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam seseorang tentang sakit di kepala melainkan Baginda menyuruh orang itu supaya berbekam, dan tidak mengadu kepadanya seseorang tentang sakit di kakinya (pecah kulit) melainkan Baginda menyuruhnya supaya berinai."

(Hadis riwayat Abu Daud)

Merujuk kepada apa yang berlaku sekarang ini di tengah masyarakat kita, perbuatan berinai bagi lelaki masih wujud walaupun ada di antaranya telah mengetahui tentang hukumnya, khasnya kepada pengantin lelaki pada majlis malam berinai. Berinai bagi pengantin lelaki hukumnya tetap dilarang. Pengecualian daripada hukum tersebut hanya terbatas kepada keadaan jika ada keuzuran sahaja, iaitu bagi tujuan berubat, sebagaimana disebutkan terdahulu.

Secara umumnya berinai bagi pengantin lelaki pada tangan dan kaki hanya merupakan adat semata-mata, tidak ada disyariatkan di dalam Islam.

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."