RAKAN BLOG MASJID
13 September 2012
PERSEDIAAN SOLAT JUMAAT KE MASJID
Antara amalan yang dianjurkan sebelum pergi solat Jum’at ialah:
1- Mengenakan wangi-wangian bagi yang mampu, kecuali mereka yang berihram (al-Bukhari (840, 883), Muslim (1997)).
2- Menggosok gigi (al-Bukhari (880), Muslim (1997))
3- Memakai pakaian yang cantik, iaitu berhias (Abu Daud (343) dan beliau mendiamkannya, maka ia Soleh – lanjut berkenaan erti Soleh disisi Abu Daud dianjur untuk merujuk risalah saya: “Setiap Hadith-Hadith Yang Didiamkan Imam Abu Daud Dalam Sunan Adalah 'Soleh' ”)
4- Menjauhi sebelum pergi ke solat daripada memakan makanan yang berbau kuat hingga dapat mengganggu jamaah solat, ini termasuk bawang putih, apatah lagi rokok (bersama-sama dengan haramnya ia)
5- Segera menuju ke Masjid sebelum khutbah, kerana Malaikat akan mencatat nama mereka yang tiba awal ke Masjid, apabila khutbah bermula maka para Malaikat tidak lagi menulis sebaliknya mereka turut sama mendengar khutbah (al-Bukhari (3211), Muslim (2021))
Manakala antara amalan yang dilakukan apabila dalam perjalanan ke Masjid, tiba di Masjid dan ketika khutbah ialah:
1- Berjalan menuju ke Masjid, tidak menaiki kenderaan kerana Allah akan mengharamkan api neraka bagi mereka yang berdebu kakinya kerana berjalan pergi ke Jum’at semata-semata kerana Allah Jalla wa `Ala (al-Bukhari (907)).
Adapun hadith yang masyhur menyatakan bahawa sesiapa yang berjalan pergi ke Jum’at maka setiap langkah pahala seolah berpuasa dan bersolat malam selama setahun, hadith ini dikeluarkan oleh al-Tirmizi dan ia Dha’if, dilemahkan oleh al-Tirmizi sendiri dengan katanya: “Hasan” (al-Jami’ al-Mukhtasar (496) – lanjut berkenaan maksud “Hasan” disisi al-Trimizi dianjurkan untuk merujuk risalah saya: “Pengenalan Kepada Sunan Al-Tirmizi & Manhajnya”)
2- Duduk dekat kepada khatib (Abu Daud (1108) dan beliau mendiamkannya, maka ia Soleh disisi Abu Daud. Saya katakan: bahkan isnadnya Sahih)
3- Menghadapkan pandangan kepada khatib yang sedang berkhutbah. Dalam hal ini tiada satupun hadith marfu’ yang sahih, namun ia thabit daripada amalan para sahabat Nabi SAW seperti Ibn `Umar, Anas dan lain-lain.
Berkata al-Hafiz al-Tirmizi: “والعمل على هذا عند أهل العم من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم وغيرهم يستحبون استقبال الإمام إذا خطب– inilah yang diamalkan oleh para ahli ilmu dari kalangan Sahabat Nabi SAW dan selain mereka, mereka menganjurkan menghadapkan pandangan kepada imam ketika beliau sedang berkhutbah” (Jami’ al-Mukhtasar (2/383), komentar pada hadith no. 509)
4- Menunaikan solat sunat mutlaq sebanyak yang mampu sementara khatib belum berkhutbah (Abu Daud (290), dan beliau mendiamkannya, bermakna Soleh. Dan berkata Abu `Abd al-Rahman al-Albani: Hasan)
5- Menunaikan solat Tahiyatul Masjid apabila masuk ke masjid walaupun ketika itu khatib sedang berkhutbah (al-Bukhari (930)), tidak menjadi masalah jika seseorang itu duduk dahulu samada untuk minum air (ketika khatib belum berkhutbah), atau berehat sebentar kerana penat dan lain-lain, kemudian baru bersolat 2 rak'at Tahiyatul Masjid, tiada masalah padanya. Dan tidaklah sunnah seseorang itu sengaja melewat-lewatkan solat Tahiyatul Masjid tanpa ada apa-apa keperluan.
Solat 2 rak'at ketika memasuki masjid (dinamakan Tahiyatul Masjid ) adalah sunnah secara ijma', dan ia adalah disyariatkan. Namun para fuqaha' berbeza pendapat akan hukum Tahiyatul Masjid , mazhab zahir seperti Daud `Ali al-Zahiri dan Ibn Hazm berpendapat ia wajib sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Qadhi Iyadh, manakala para imam mazhab yang empat berpegang ia mustahab (dianjurkan) dan bukannya wajib
Berkenaan hakikat solat Tahiyatul Masjid pula, perlu diketahui nama khas Tahiyatul Masjid ini tidak thabit dari Salaf, tidak dari hadith, ia hanyalah penamaan oleh fuqaha' terkemudian. Bahkan sebenarnya solat Tahiyatul Masjid ini bukanlah satu jenis solat yang berdiri dengan sendirinya sebagaimana solat witir yang berdiri dengan sendiri, solat dhuha yang berdiri dengan sendiri, solat rawatib yang berdiri dengan sendiri.
Akan tetapi sebenarnya solat 2 rak'at memasuki masjid ini ia adalah termasuk daripada jenis solat nawafil mutlak (solat sunat mutlak) atau apa sahaja solat-solat lain yang disyariatkan. Dengan kata lain disunnahkan melakukan apa-apa saja solat yang disyariatkan ketika masuk masjid, contohnya sekiranya seseorang itu memasuki masjid dalam waktu dhuha dan beliau solat dhuha sebanyak 2 rak'at maka beliau telah dikira melakukan Tahiyatul Masjid , atau masuk masjid dan bersolat 2 rak'at rawatib dikira juga Tahiyatul Masjid.
6- Dianjurkan memasuki masjid dengan mendahulukan kaki kanan dan keluar mendahulukan kaki kiri. Dalam hal ini tiada satupun hadith yang sahih dan sarih (jelas), adapun hadith yang masyhur dari Anas secara marfu’ bahawa Nabi SAW bersabda berbunyi:
“من السنة إذا دخلت المسجد أن تبدأ برجلك اليمنى ، وإذا خرجت أن تبدأ برجلك اليسرى – daripada sunnah ialah apabila memasuki masjid, mulai dengan kaki kanan, dan apabila keluar maka mulai dengan kaki kiri”.
Hadith Anas diatas dikeluarkan antaranya oleh al-Baihaqi (al-Kubra (4494)) dari Abu al-Walid al-Thayalisi dari Syaddad Abu Talhah dari Mu’awiyah bin Qurrah dari Anas bin Malik secara marfu’ kepada Nabi SAW.
Saya katakan: hadith ini adalah satu-satunya hadith marfu’ yang sarih (jelas) menyebut anjuran memasuki masjid dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri. Namun ia Dha’if, bahkan Munkar. Kata al-Baihaqi sejurus mengeluarkan hadith ini: “تَفَرَّدَ بِهِ شَدَّادُ بْنُ سَعِيدٍ أَبُو طَلْحَةَ الرَّاسِبِىُّ. ,وَلَيْسَ بِالْقَوِىِّ. – menyendiri pada hadith ini Syaddad bin Sa’id Abu Talhahal-Rasibi, dan dia tidaklah kuat (iaitu lemah)” , dan berkata al-Hafiz Abu Yusuf al-Tharifi: “ أن هذا الحديث منكر– sesungguhnya hadith ini Munkar” (Sifat Solat Nabi (37-38)).
Walaupun hadith Anas diatas tidak sahih, namun maknanya benar serta fiqhnya diamalkan berdasarkan amalan sahabi `Abdullah ibn `Umar. Imam al-Bukhari mempunyai seni yang halus dalam menyatakan hal ini tetap sunnah walaupun tiada hadith sahih yang sarih padanya, ini dapat kita lihat pada gaya penyusun hadith dan tabwib beliau dalam kitabnya al-Jami’ al-Sahih.
Imam al-Bukhari membuat bab khas dalam kitabnya al-Jami al-Sahih bertajuk: “باب التيمن في دخول المسجد وغيره – bab mendahulukan kaki kanan dalam memasuki masjid dan sebagainya”, kemudian berkata al-Bukhari: “وكان ابن عمر يبدأ برجله اليمنى فإذا خرج بدأ برجله اليسرى – adalah Ibn `Umar beliau memulakan kaki kanan ketika memasuki masjd dan apabila keluar beliau keluar mendahulukan kaki kiri”. Kemudian al-Bukhari membawakan satu sahaja hadith untuk bab ini dalam Sahihnya iaitu hadith `Aishah, kata `Aishah: “كان النبي صلى الله عليه وسلم يحب التيمن ما استطاع في شأنه كله في طهوره وترجله وتنعله – adalah Nabi SAW suka mendahulukan yang kanan dalam setiap perbuatannya. Seperti dalam bersuci, menaiki kendaraan dan memakai sandal” (al-Jami al-Sahih (1/116)).
Perhatikan gaya Amirul Mu’minin fil Hadith ini, tidakkah ia genius! Ya, bahkan tidak dinafikan lagi. Imam al-Bukhari mengetahui bahawa dalam hal ini tiada satupun hadith yang sahih dan sarih, namun beliau mengetahui bahawa amalan itu sememangnya sunnah, ini dapat kita lihat daripada tajuk babnya apabila dia berkata: “باب التيمن في دخول المسجد وغيره – bab mendahulukan kaki kanan dalam memasuki masjid dan sebagainya”.
Kemudian, disebabkan tiada hadith marfu’ yang sahih dan sarih, maka al-Bukhari membawakan athar amalan sahabi `Abdullah ibn `Umar yang beramal dengan isi kandungan fiqh hadith tersebut, kemudian sebagai penguat maka al-Bukhari membawakan hadith `Aishah. Gaya seni yang sama dapat kita perhatikan ketika al-Bukhari ingain menjelaskan anjuran membaca “bismillah” sebelum wudhu’ walaupun diketahui bahawa tiada walaupun satu hadith yang sahih dalam bab itu. Allah hu’alam.
7- Dianjurkan untuk berdoa dengan doa yang disyariatkan: “اللهم افتح لي أبواب رحمتك-Allahummaftah li abwaba rahmatik” ketika memasuki masjid (Muslim (1685)).
8- Tidak berkata-kata ketika khatib sedang berkhutbah (al-Bukhari (934))
9- Tidak mengganggu para jamaah, jika kita datang lewat maka jangan melangkah-langkah antara bahu Jamaah, atau memisahkan bahu dua orang yang sedang duduk agar boleh dilalui untuk mencari tempat.
Abdullah bin Bisr berkata: “جاء رجل يتخطى رقاب الناس يوم الجمعة والنبى -صلى الله عليه وسلم- يخطب فقال له النبى -صلى الله عليه وسلم- « اجلس فقد آذيت » - pernah datang seseorang dengan melangkahi bahu manusia-manusia pada hari Jum'at, sedangkan Nabi SAW sedang berkhutbah, maka Nabi SAW bersabda kepadanya: "Duduklah, kamu benar-benar telah mengganggu orang lain." (Abu Daud (1118), dan beliau mendiamkannya, bermaksud ia Soleh. Dan berkata Abu `Abd al-Rahman al-Albani: “Sahih”).
Sebaliknya memintalah dengan baik, Nabi SAW bersabda: “لا يقيمن أحدكم أخاه يوم الجمعة ثم ليخالف إلى مقعده فيقعد فيه ولكن يقول افسحوا - janganlah salah seorang daripada kamu mengusir saudaranya dari tempat duduknya pada hari Jum'at untuk kamu ambil tempat duduknya itu, tetapi katakanlah kepadanya: - tolong - lapangkanlah!” (Muslim (5417)). Dan ini adalah adab yang dilupakan ramai manusia kini.
10- Sekiranya mengantuk mendengar khutbah, maka dianjurkan untuk bangun dan berubah tempat. Nabi SAW bersabda: “إذا نعس أحدكم يوم الجمعة فليتحول من مجلسه ذلك - jika salah seorang daripada kamu mengantuk pada hari Jum'at (iaitu ketika khutbah Jum'at), hendaknya dia pindah dari tempat duduknya” (al-Tirmizi (526) dan katanya Hasan Sahih)
Juga antara amalan yang dianjurkan dilakukan apabila selesai solat Jum’at ialah:
1- Mendirikan solat nawafil selepas Jum’at sebanyak 4 rak’at di masjid, atau 2 rak’at di masjid dan 2 rak’at apabila tiba di rumah (Muslim (2074)).
2- Dianjurkan untuk berdoa dengan doa yang disyariatkan: “اللهم إنى أسألك من فضلك –Allahumma inni as aluka min fadhlik” ketika keluar masjid (Muslim (1685)).
3- Keluar dari masjid dengan mendahulukan dengan kaki kiri (rujuk penjelasan sebelum ini)
Sekian, Allah hu'alam
Persediaan ke masjid dan Peringatan sebelum solat Jumaat
Adab Berkaitan Masjid
1. Memakai pakaian yang sesuai dan bersih.
2. Memakai wangi-wangian bagi lelaki. Jangan memakan atau memakai sesuatu benda yang berbau busuk ke dalam masjid .
3. Jika anda memakan bawang atau menghisap rokok, silalah mencuci mulut atau berwuduk
4. Amalkan pergi ke masjid dalam keadaan berwudhuk.
5. Amalkan membaca doa yang diamalkan oleh Nabi s.a.w dalam perjalanan ke masjid.
6. Berjalan ke masjid dalam keadaan tenang, walaupun solat berjemaah sudah bermula.Ikutlah pergerakan imam.Sempurnakan apa yang tertinggal sesudah imam memberi salam.
7. Beri salam kepada orang yang telah sampai.Jika tiada orang maka ucapkanlah salam untuk diri sendiri iaitu :
السلام عَلـَيْنا و عَلَى عِبَادِ اللهِ الصَّالِحِينَ
Maksudnya : “ Salam sejahtera dari Allah atas kita dan sekalian hambaNya yang saleh”.
8. Datanglah ke masjid lebih awal dan membaca doa ke masjid iaitu :
DOA MENUJU KE MASJID
Diriwayatkan dalam sahih Muslim , dalam sebuah hadith bahawa Ibn Abbas r.huma bahawa Nabi s.a.w telah keluar dari rumah Maimunah r.ha selepas bertahajjud. Untuk ke masjid bersolat Subuh , maka baginda s.a.w telah membaca doa di bawah :
اَللَّهُمَّ اجْعَلْ فِي قَلْبِي نُورًا ، وَ فِي لِسَانِي نُورًا ، وَاجْعَل فِي سَمْعِي نُورًا ،
وَاجْعَلْ فِي بَصَرِي نُورًا ، وَاجْعَلْ مِن خَلْفِي نُورًا ، وَمِن إِمَامِي نُورًا ،
وَاجْعَلْ مِنْ فَوقِي نُورًا ، وَمِنْ تَحْتِي نُورًا ، اَللَّهُمَّ أَعْطِنِي نُورًا
Maksudnya : “Ya Allah, jadikanlah cahaya di hatiku, cahaya di lidahku, cahaya di pendengaranku, cahaya di penglihatanku, cahaya dari belakangku, cahaya di hadapanku, cahaya dari atasku dan cahaya dari bawahku. Ya Allah, berilah aku cahaya”.
9. Masuklah dengan kaki kanan dengan membaca doa masuk masjid iaitu :
DOA MASUK MASJID
Masjid berasal dari perkataan Arab yang bermaksud tempat sujud.Perkataan ini telah digunakan oleh Allah di beberapa tempat dalam al-Quran.
أَعُوذُ بِالله العَظِيمِ ، وَبِوَجْهِهِ الكَرِيْمِ وَسُلْطَانِهِ القَدِيْمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
بِسْمِ الله وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى رَسُولِ الله ،
اَللَّهُمَّ افْتَحْ لِي أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ
Maksudnya : “Aku berlindung kepada Allah yang Maha Agung, pada wajahNya yang mulia dan kekuasaanya yang Qadim(tidak ada permulaannya) dari syaitan yang terkutuk. Dengan nama Allah dan semoga selawat dan salam tercurahkan kepada Rasulullah s.a.w . Ya Allah, bukalah pintu-pintu rahmatMu untukku”.
10. Pilihlah saf yang kehadapan.
11. Solat sunat tahiyyatul masjid sebelum duduk. Jangan menunaikan solat di tempat yang boleh mengganggu orang ramai seperti di muka pintu.
12. Duduk dengan tenang dan tertib sambil mengadap kiblat.
13. Niatlah iktikaf di masjid.Lafaz niatnya ialah :
نَوَيْتُ الاعْتِكَافَ فِي هَذَا المَسْجِدِ للهِ تَعَالَى
Maksudnya : “Sahaja aku beriktikaf dalam masjid ini kerana Allah swt”.
14. Gunakanlah kesempatan ketika berada dalam masjid untuk membaca al-Quran atau berzikir tetapi janganlah mengganggu orang lain yang sedang beribadah.
15. Sekiranya solat berjemaah sudah bermula,melangkahlah dengan tenang,walaupun ketinggalan rakaat.Apa yang terkurang dari imam sempurnakanlah kemudiannya.
16. Jangan melintas di hadapan orang yang sedang solat.
17. Jangan berbual di dalam masjid mengenai hal hal keduniaan.
18. Dilarang berjual beli dalam masjid.
19. Melangkah keluar dengan kaki kiri, sambil membaca doa keluar masjid iaitu:
DOA KELUAR MASJID
بِسْمِ اللهِ والصَّلاةُ والسَّلامُ عَلَى رَسُولِ اللهِ ،
اللّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ
اللّهُمَّ اعْصِمْنِي مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ
Maksudnya : “Dengan nama allah semoga selawat dan salam terlimpahkan kepada Rasulullah, Ya Allah, sesungguhnya aku minta kepadamu dengan keutamaanmu. Ya Allah peliharalah aku dari godaan syaitan yang terkutuk”.
20. Hadirilah majlis ilmu yang dikendalikan dalam masjid, dan berilah tumpuan kepadanya, kerana Allah menjanjikan rahmat dan ketenangan serta pahala bagi yang menghadirinya.
21. Jangan mengambil atau membawa pulang barang barang di dalam masjid kerana ia adalah harta wakaf untuk kegunaan kaum muslimin dan muslimat.
Posted by Fari Mansoor at 1:54 AM
Labels: Articles from Ustaz Zahazan Mohamed
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
PERINGATAN BAGI LELAKI !
Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat
tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit
kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat
tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit
kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."
No comments:
Post a Comment