RAKAN BLOG MASJID

28 August 2013

HUKUM SOLAT TAUBAT BERJEMAAH


Soalan;

Bolehkah solat taubat di lakukan berjemaah?

Jawapan;


Terdapat khilaf dalam kalangan ulama dalam masalah melakukan solat tahajjud, dhuha, taubah, hajat, istikharah dan sebagainya secara berjamaah, iaitu solat-solat yang disyariatkan secara bersendirian. Menurut Imam an-Nawawi; asalkan suatu ibadat itu ada disyariatkan walaupun secara bersendirian, harus jika ingin dilakukan secara berjamaah. Antara dalilnya ialah;

1. Hadis Ibnu Abbas RA yang menceritakan; Dia pernah mengikut Nabi SAW mengerjakan solat malam (qiyamullail) di rumah baginda, iaitu berjamaah dengannya (Lihat; Soheh al-Bukhari; 183. Muslim; 763/181).

2. Hadis Anas bin Malik RA yang menceritakan; Aku, seorang budak yatim dan ibuku (Ummu Sulaim) telah mengerjakan solat berjamaah di belakang Nabi SAW di rumah kami. Aku  dan budak yatim berdiri di belakang Nabi SAW dan ibuku berdiri di belakang kami) (Soheh al-Bukhari; 727, 871. Muslim; 658/266).

3. Hadis Itban bin Malik RA yang menceritakan; Nabi SAW datang kerumahnya dan berkata; “Di mana tempat di rumahmu yang kamu suka aku solat di situ?". Aku menunjukkan satu tempat. Lalu baginda bertakbir (melakukan solat) dan kami membuat saf di belakangnya (yakni turut berjamaah dengannya). Baginda solat sebanyak dua rakaat. (Soheh al-Bukhari; 424. Muslim; 263/33).

Solat-solat yang dilakukan Nabi SAW dalam hadis di atas ialah solat-solat sunat kerana baginda tidak pernah melakukan solat fardhu melainkan di masjid. Imam an-Nawawi menjelaskan; “Solat-solat selain solat hari raya, solat gerhana, solat istisqa’, solat terawih dan witir selepasnya –seperti solat-solat sunat rawatib, dhuha dan sunat-sunat mutlak- tidak disyariatkan berjamaah, yakni tidak disunatkan berjamaah, namun jika dilakukan secara berjamaah dibolehkan dan tidak dianggap makruh” (al-Majmu’, 4/55).

Sebahagian ulama hanya mengharuskannya jika dilakukan sekali sekali (bukan berterusan), iaitu untuk tujuan belajar atau membiasakan diri sahaja, bukan dengan menjadikannya sebagai kebiasaan, kerana Nabi SAW dan para sahabat tidak pernah menjadikannya sebagai kebiasaan mereka (Tamam al-Minnah, Syeikh ‘Adil bin Yusuf al-‘Azzazi (1/356).

http://ilmudanulamak.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."