RAKAN BLOG MASJID

21 October 2013

HUKUM SEMBELIHAN PUTUS LEHER

Di atas gambar dari sebuah video yang merakamkan cara sembelihan sengaja memutuskan terus leher binatang ternakan tersebut. Hukumnya makruh (Tertakluk kepada syarat lain telah dipenuhi rujuk butiran di bawah).
Rakaman video di atas adalah Sembelihan yang memutuskan leher dengan cara tidak disengajakan.(sila rujuk butiran di bawah)

HUKUM DAN PERATURAN  MENYEMBELIH BINATANG

1.ISTILAH MENYEMBELIH PADA SYARA’

Menyembelih ialah suatu perbuatan yang melukakan bahagian tertentu pada badan binatang bertujuan untuk mengeluarkan darah daripada badan binatang itu supaya ia mati, mengikut peraturan dan syarat-syarat yang tertentu.

2.SYARAT-SYARAT ORANG YANG HENDAK MENYEMBELIH
Disyaratkan orang yang hendak menyembelih itu mestilah
1.     Orang Islam atau
2.     Ahli Kitab daripada Yahudi atau Nasrani yang harus orang Islam berkahwin dengan dia.

3.SYARAT-SYARAT BINATANG YANG HENDAK DISEMBELIH
1.     Binatang yang hendak disembelih itu mestilah;
1.1. Binatang yang masih hidup.
1.2. Binatang yang halal dimakan.
1.3  Binatang yang dikuasai atau dalam kawalan dan mudah disembelih seperti kerbau, lembu, kambing dan sebagainya.
1.4  Binatang liar yang dapat ditangkap hidup-hidup atau yang tak dapat bergerak kerana tercedera anggotanya.
( Nota: Binatang ternakan seperti lembu atau kerbau yang terlepas lari dan menjadi liar hingga sukar untuk di tangkap, serta sukar untuk disembelih, maka harus jika ia diburu dan jika ia terbunuh ketika diburu tidak perlu lagi disembelih sama seperti binatang buruan jua. Tetapi jika dapat ditangkap hidup-hidup dan mudah dikuasai untuk disembelih, maka  disembelih adalah lebih utama).  

4.HUKUM BINATANG BURUAN YANG TIDAK PERLU DISEMBELIH

Binatang liar seperti rusa, kijang, kancil dan sebagainya atau binatang ternakan  yang telah menjadi liar hingga sukar untuk ditangkap dan sukar untuk disembelih, adalah tergolong kepada  “binatang buruan”, tertakluk kepada syarat-syarat berikut :-
1.    Binatang yang diburu hendaklah binatang liar yang halal dimakan.
2.    Binatang yang diternak tetapi telah terlepas lari dan menjadi liar yang sukar untuk ditangkap semula, seperti kerbau atau lembu yang terlepas dan menjadi liar dan sukar untuk disembelih dengan cara biasa, boleh dikira sebagai binatang liar yang boleh diburu.

3.   Binatang yang diburu apabila telah dibunuh dengan cara  memanah, atau merejam dengan lembing, atau menikam dengan senjata yang tajam seperti tombak, pedang, mata pisau, atau alat-alat tajam yng diperbuat daripada batu, buluh, kayu, kaca, besi, tembaga, emas, perak, timah dan logam-logam lain yang tajam, (tidak termasuk sesuatu alat daripada kuku, gigi atau tulang; dan tidak termasuk tembakan daripada peluru senapang, meriam, bom, alat peletup dan sebagainya), adalah dikira seperti telah disembelih. Maka ia tidak perlu disembelih lagi.

4.   Binatang liar atau binatang ternakan yang terjatuh ke dalam lubang atau perigi buta, atau lurah gunung yang sempit, hingga sukar untuk diselamatkan atau disembelih dengan cara biasa, maka bolehlah dilakukan sepertimana memburu.. Setelah ia mati, bolehlah diangkat naik ke atas dan tidak perlu disembelih lagi. Ia adalah halal untuk dimakan dan bermanfaat kerana terhindar daripada menjadi bangkai.


5.SYARAT ALAT MENYEMBELIH

1.   Alat menyembelih mestilah daripada alat yang tajam yang boleh melukakan seperti pisau, parang, golok dan sebagainya. Ta’arif alat-alat yang tajam ialah sesuatu yang tajam (yakni boleh melukakan) yang dibuat daripada daripada kaca, batu, kayu, buluh, besi, timah, emas, perak, dan logam-logam lain, (tetapi tidak termasuk sesuatu daripada  kuku, gigi dan tulang).

6.SYARAT MENYEMBELIH

1.  Menyembelih ialah dengan cara memotong dan memutuskan halqum dan dua urat-urat marih pada leher binatang, kedudukan sembelihan ialah diantara bawah dagu dan pangkal leher binatang itu.

2. Menyembelih itu mestilah memutuskan halqum dan urat-urat mari pada leher binatang kedudukannya diantara bawah dagu dan pangkal leher disebelah atas dada. Bagi binatang yang lehernya panjang tempat sembelihan ialah lebih hampir kepada dagunya.

3.   Senghaja melakukan sembelihan keatas binatang itu.

4.   Binatang yang disembelih itu mati kerana sembelihan itu bukan mati disebabkan yang lain seperti direndam dalam air, disiram air panas, dihempap benda berat, dipukul, dipijak dan sebagainya.


7.SUNAT
1.    Menajamkan pisau.
2.  Bagi binatang yang panjang tengkoknya seperti, unta, angsa, kasuari, burung unta dan sebagainya, sunat memutuskan dua urat tengkok dan apa-apa selebihnya.
3.   Menghadapkan sembelihannya ke qiblat.
4.    Membaca nama Allah  dan Solawat atas Nabi SAW seperti
      بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْمِ  اَللّهُمَّ صَلِّ وَ سَلِّمْ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّد
      atau yang ringkas;
      بِسْمِ اللهِ  اَللهُ اَكْـبَر، اَللّهُمَّ صَلِّ عَلى سَيِّدِنَا مُحَمَّد  

8.MAKRUH
 Makruh jika yang menyembelih ialah;
1.     Kanak-kanak yang belum mumaiyyiz.
2.     Orang mabuk.
3.     Orang gila.
4.     Makruh menyembelih hingga putus leher binatang (dengan senghaja, kalau tidak senghaja 
        tidak makruh). 

9.ADAB-ADAB KETIKA MENYEMBELIH
1.     Hendaklah berlaku ihsan terhadap binatang yang hendak disembelih. Yakni tidak 
         menganiaya dan berlaku kasar terhadapnya.
2.     Jangan menajamkan pisau dihadapan binatang sembelihan.
3.     Jangan menyembelih dihadapan binatang-binatang lain yang belum disembelih.

10.BEBERAPA MAKLUMAT PENTING YANG PERLU DIKETAHUI TENTANG
      MENYEMBELIH.
  1.     Tidak disyaratkan hanya orang lelakisahaja yang harus menyembelih. Orang perempuan dan kanak-kanak yang Mumayyiz pun diharuskan menyembelih, yakni boleh menyembelih walaupun ada orang lelaki.
2.   Lelaki dewasa yang tiada uzur adalah lebih afdhal daripada perempuan dan kanak-kanak.

3.   Binatang buruan yang mati dipanah atau dilembing ketika diburu dikira sudah disembelih, maka  tidak perlu disembelih lagi.

4.   Binatang yang sukar hendak disembelih cara biasa, tidak kira binatang buruan atau ternakan, contohnya seperti lembu yang terjatuh ke dalam lubang yang sempit harus ia dimatikan dengan cara berburu. Contohnya: dengan cara menikam mana-mana bahagian yang boleh mengalirkan darahnya supaya ia mati. Setelah ia dikeluarkan daripada lubang, ia tidak perlu desembelih lagi kerana ia dikira sudah disembelih.

5.  Binatang yang mati ditembak tidak halal dimakan, sebab peluru senapang tidak termasuk dalam istilah alat tajam untuk menyembelih atau untuk memburu. (Nota: Adapun “peluru tajam yang berbentuk anak panah” yang digunakan dalam senjata “cross bow” adalah dikiaskan sebagai anak panah jua. Maka ia bukanlah peluru senapang).

6.   Bahagian badan binatang yang terputus ketika hidupnya dikira bangkai. Maka ia  haram dimakan.

7.   Hukum keatas beberapa ralat, kesilapan dan perkara-perkara berkaitan dengan binatang sembelihan:-
7.1. Sah sembelihan walaupun terlupa membaca nama Allah (Bismillah…) 
       dan Solawat (Allahumma solli ‘ala Muhammad) ketika  menyembelih,
       kerana membaca Basmallah dan  Solawat hukumnya sunat, bukan wajib).
7.2. Sah sembelihan walaupun semasa sedang menyembelih, terangkat
       pisau sebentar  kemudian diteruskan.
      7.3. Sah sembelihan, jika, apabila diangkat pisau didapati urat mari masih
             belum putus, hendaklah diteruskan serta merta ditempat yang sama.
7.4. Sah sembelihan, walaupun binatang yang disembelih itu mengambil masa
       dua atau tiga hari baru mati.
7.5. Jika lebih pada biasa hingga melebihi tiga hari tidak juga mati, maka hendakklah
       desembelih buat kali yang kedua pada bahagian atas atau pada bahagian bawah
       sembelihan yang pertama.
7.6. Sah sembelihan, walaupun yang tolong memegang binatang adalah
        orang bukan Islam.
7.7. Sah sembelihan, jika terputus leher binatang sembelihan secara tidak sengaja.
       Jika senghaja, hukumnya makruh.
7.8. Haram sembelihan orang kafir kecuali orang Yahudi atau Nasrani
       daripada Ahli Kitab.
7.9. Tidak sah sembelihan, jika didapati halqum atau urat mari tidak putus.
7.10.Hukumnya haram memperacepatkan matinya binatang yang disembelih
        dengan cara merendam dalam air biasa atau menjirus dengan air panas,
        atau menindih dengan benda berat atau memijaknya atau membantingnya
        hingga mati dan sebagainya. Jika ia mati dengan cara sedemikian, ia dikira
        bangkai dan haram dimakan.
7.11 Haram memakan binatang yang tidak dihalalkan oleh Syarak, walaupun ianya
       disembelih.(Contoh: Singa, harimau, Anjing, Babi, Serigala, Musang, Kucing, Ular,
       Biawak, Burung Helang dan lain-lain).
7.12.Haram memakan bangkai atau sebahagian anggota binatang yang terpotong
       semasa hidupnya.
7.14.Haram memakan binatang yang disembelih yang tidak mengikut peraturan atau
        syarat-syarat yang dinyatakan di atas.

11. Pada badan binatang yang telah disembelih dengan sempurna, terdapat 10 perkra atau bahagian organ-organnya yang haram dimakan, iaitu:-

1.   Darahnya.
2.   Najis dan kotorannya.
3.   Lendir-lendir selain darah dan najis.
4.   Bagi yang jantan: zakar, buah zakar dan semua organ-organ kelaminnya.
5.   Bagi yang betina: faraj yang luar, salur faraj dan semua organ-organ kelaminnya.
6.   Duburnya.
7.   Pundi-pundi kencingnya.
8.   Mempedunya (termasuk sarung dan isinya).
9.   Kulit ari yang nipis dibawah kulit.
10. Kulit yang berpenyakit.

Wallahu a’alam bissawab.

Oleh:  Khalid Assalabaqie.
(Mohon pembetulan dan penambah-baikan daripada sdr./sdri. sekalian)


2 comments:

  1. adakah haram atau sebalik nya jika mengambil gambar atau merakam video lalu di upload ke laman social ..? ketika penyembelihan qurban. terima kasih.

    ReplyDelete

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."