RAKAN BLOG MASJID

14 November 2013

HIJRAH MEMANG PERLU

HIJRAH menuntut kita menghayati kehidupan sebagai satu proses untuk kita menjadi mukmin terbaik di sisi Allah swt. Hijrah mengajak kita untuk berpindah  kepada keadaan yang lebih baik, agar kehidupan pada masa depan dilalui dengan cemerlang.

Hijrah perlukan  muhasabah kepada diri kita dalam tiga perkara penting sebagai seorang mukmin.

Pertama : Iman
Kedua : Syariat
Ketiga : Akhlak

IMAN

Iman ini adalah perkara pokok yang harus menunjangi kehidupan seorang muslim untuk menjadi mukmin terbaik. Hanya dengan iman akan menjadi pemangkin kepada jatidiri mukmin sebenar di sisi Allah swt.

Ia ibarat cahaya yang akan menerangi terowong gelap yang dilalui setiap manusia, dan iman inilah yang membekalkan cahaya kepada insan yang akan berjaya melalui terowong ini untuk menuju sinar kehidupan yang lebih bahagia di penghujungnya.

Hanya dengan iman dan jatidiri mukmin sejati yang akan menjadikan seseorang muslim itu ibarat pohon rimbun yang berbuah lebat dan enak. Ia akan memanfaatkan dan dimanfaatkan, samada kepada diri sendiri dan juga masyarakat di sekelilingnya.

Iman ini akan memberikan manfaat kepada si empunya iman dan dengannya juga mereka akan mampu memberikan manfaat kepada ummah manusia keseluruhannya. Hari ini, kita melihat begitu banyak gejala yang menghambat dalam proses pembinaan insan. Tidak sedikit figura yang jatuh terperosok kerana kelemahan diri.

Justeru, penting untuk kita perbetulkan niat kita setiap hari untuk menjadi mukmin terbaik di sisi Allah swt.

Kita harus menghayati hijrah Nabi Muhammad saw, di mana kehidupan muslim pada masa itu menjadi semakin baik dan Islam semakin makmur di bumi Allah ini. Melalui penghayatan ini dan memperbetulkan niat kita hanya kepada Allah swt, kehidupan kita akan menjadi semakin baik dan barulah kita sama-sama mampu untuk memanfaatkan kehidupan ini ke arah yang lebih dinamik dan perkasa.

Jika kita berpegang teguh di landasan iman dan berperanan mukmin dalam segenap ruang lingkup kehidupan, In shaa Allah bumi Allah ini akan terus makmur dan terpelihara. Maka dengan itu juga, nescaya negara yang disebut sebagai baldatun toiyibatun wa rabbun ghafur (negara yang baik dan mendapat keampunan Allah swt) tidak mustahil akan sama-sama kita nikmati.

SYARIAT

Dalam menjayakan iman kita, maka perlulah kita melaksanakan syariat Allah swt dengan sebaik-baiknya. Tuntaskan ibadah kita kepadaNYA dengan bersungguh-sungguh kerana ia adalah tiket untuk kita sama-sama mengejar kejayaan kehidupan di dunia dan di akhirat.

Dalam proses menjadi mukmin terbaik, kita amat berharap agar segala amalan kita diredhai oleh Allah swt dengan pemahaman serta penghayatan yang tinggi.

Ingatlah, Allah berfirman dalam al Qur'an yang bermaksud :

"Dan (ingatlah) AKU tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKU." [al Dzariyat : 56]

Mukmin terbaik adalah insan yang faham bahawa semua perkara yang diizinkan oleh Allah swt itu adalah ibadah. Sandaran kekuatan syariat dari ibadah ini akan melahirkan hati-hati yang teguh dengan ajaran sebenar, hasil daripada proses Hijrah yang telah dilakukan oleh Baginda Rasulullah saw dahulu.

Ibadah yang merangkumi segenap aspek akan menjadikan insan sedar bahawa mereka hanya perlu menjadikan perjalanan kehidupan ini sebagai platform mendapatkan keredhaan Allah swt semata-mata.

AKHLAK

Oleh yang demikian, tidak ada jalan lain untuk menuju kesempurnaan iman dan syariat ini melainkan setiap insan memperelokkan tingkah-laku mereka, menjaga peradaban dan mengawal muamalah mereka. Ini semua terangkum di dalam akhlak untuk menjadi mukmin terbaik di sisi Allah swt.

Ingatlah bahawa masa yang beredar akan meninggalkan kita dalam kehinaan andai kita tidak mampu menyediakan jatidiri dengan akhlak muslim.

Persiapkanlah diri kita dengan akhlak yang terpuji, di mana Rasulullah saw pernah bersabda yang bermaksud :

"Tiada sesuatu yang lebih berat dalam timbangan amal seorang hamba pada hari Kiamat berbanding dengan akhlak yang baik. Dan sesungguhnya Allah swt murka kepada orang yang berkelakuan buruk dan bermulut celupar." [Riwayat at Tirmidzi]

Kita harus insafi diri sebagai makhluk ciptaan Allah swt, kita amat memerlukan suatu dasar dan peraturan hidup yang akan membentuk iman kita kepada jalan taqwa dan diredhai Allah swt.

Islam sebagai ad din, memiliki peraturan dan pegangan yang sebenar-benarnya menjadi panduan dan pedoman kepada umat manusia untuk berjaya menjadi mukmin terbaik di dunia dan di akhirat.




No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."