Mengenang pemergian Aminah Assilmi
Aminah Assilmi merupakan satu nama besar di Amerika Syarikat. Beliau merupakan seorang muslimatterkenal dan menjadi pengarah Kesatuan Wanita Islam Antarabangsa.
Aminah, 65 meninggal dunia setelah terlibat dengan satu kemalangan jalan raya di Newport TN, pada subuh 5 Mac lalu, dalam perjalanan pulang setelah memberikan ceramah di New York.
Selama 33 tahun menjadi seorang Islam, Aminah begitu dihormati sebagai seorang penceramah, pengarang dan pejuang Islam dan hak asasi wanita. Baru-baru ini beliau dipilih sebagai salah seorang 500 tokoh Islam paling berpengaruh di dunia.
Aminah dilahirkan dan dibesarkan dalam sebuah keluarga Kristian yang taat. Sebagai seorang gadis Southern Baptist, beliau tidak pernah terfikir untuk mendekati Islam, apatah lagi untuk menganut agama itu.
Namun perubahan berlaku pada diri sekitar tahun 1975 yang bermula setelah beliau mendaftar diri menyertai kelas teater di sebuah kolej.
Kelas teater yang disertai beliau terdiri daripada ramai pelajar berketurunan Arab dan beliau berasa cukup benci kepada mereka ini sehinggakan hampir mengambil keputusan untuk berhenti menghadiri kelas tersebut.
Namun atas nasihat suaminya, beliau cuba membiasakan diri dengan pelajar-pelajar tersebut, malah beliau kemudiannya bertekad untuk berdakyah dan menarik mereka ini menjadi penganut Kristian.
Setiap kali ada kesempatan Aminah akan cuba menyampaikan dakyahnya kepada pelajar-pelajar tersebut tetapi malangnya setelah lama berusaha tidak ada seorang pun yang ingin menganut Kristian.
Walau bagaimanapun, Aminah tidak berputus asa, kali ini beliau cuba menyelami kefahaman pelajar-pelajar tersebut mengenai Islam dengan bertanyakan apakah bahan-bahan bacaan mereka.
Pelajar-pelajar tersebut berbesar hati dengan keadaan tersebut dan segera memberikan bahan-bahan bacaan seperti al-Quran dan buku-buku Islam kepadanya.
Setelah mengkaji bahan-bahan mengenai Islam, Aminah merasai perubahan mula berlaku kepada dirinya. Dengan sendirinya beliau tidak lagi mahu minum arak dan makan babi.
Semua ini menimbulkan kecurigaan pada suaminya yang menyangka bahawa Aminah telah mempunyai lelaki lain dalam hidupnya. Ekoran perselisihan tersebut, mereka mengambil keputusan untuk tidak lagi tinggal sebumbung.
Aminah masih meneruskan kajiannya mengenai Islam. Pada suatu hari beliau didatangi tiga orang lelaki Islam ke rumahnya dan menawarkan diri untuk berbincang mengenai Islam kerena menurut mereka Aminah mempunyai kecenderungan yang mendalam terhadap Islam.
Hasil perbincangan yang berlaku, Aminah merasa lembut hati untuk memeluk Islam dan pada 21 Mei 1977, dengan rasmi beliau menjadi penganut Islam.
Menjadi orang Islam tidaklah semudah yang diimpikan Aminah, terutama baginya yang datang daripada latar belakang Kristian yang kuat.
Ujian demi ujian mula dihadapinya. Bapanya mengugut akan membunuhnya, sementara ibu dan adik beradiknya mula menyisihkannya. Suaminya mengambil tindakan menceraikannya dan melalui mahkamah yang berat sebelah, hak menjaga dua orang anaknya diserahkan kepada suaminya.
Aminah hilang segala-galanya, suami, keluarga, anak-anak malah pekerjaan setelah beliau mula memakai hijab. Namun semuanya dihadapinya dengan cekal dengan menyerah diri kepada Allah.
Walapun disisihkan keluarga, Aminah terus bersikap baik kepada mereka, memberikan contoh peribadi terpuji. Akhlaknya yang mulia dan terpuji, membuatkan Aminah mendapat kawan-kawan baru yang menyayanginya dan beliau semakin terkenal di kalangan masyarakat.
Aminah mula menjadi rujukan kepada rakan-rakannya yang beragama Islam dan yang tidak beragama Islam. Mereka datang kepadanya untuk mendapatkan nasihat dan kaunseling.
Beberapa tahun selepas itu keluarganya mula menunjukkan perubahan yang positif terhadap dirinya. Bermula dengan neneknya yang berusia 100, kemudian diikuti ibu, bapa dan adiknya - semuanya memeluk Islam.
Bekas suaminya kemudian datang menemuinya dan menyatakan bahawa beliau ingin memeluk Islam. Anak-anak mereka juga memilih untuk menjadi penganut Islam.
Aminah berkahwin lain tidak lama selepas itu dan dikurniakan seorang anak lelaki. Apa yang menakjubkan bagi Aminah ialah, sebelum ini doktor meramalkan bahawa beliau tidak akan dapat melahirkan anak lagi, namun atas kehendak Allah, beliau dikurniakan seorang anak lelaki dengan suami barunya.
Sepanjang hayatnya Aminah tidak pernah berhenti daripada memperjuangkan Islam dan hak asasi wanita sehinggalah kepada saat terakhir hidupnya.
--------
Diterjemahkan secara bebas oleh MUHAMMAD NOR SAMAD
-detikdaily-
No comments:
Post a Comment