RAKAN BLOG MASJID

04 September 2011

JADIKAN ZIARAH SEBAGAI IBADAH BUKAN ADAT SAHAJA



Ziarah adalah aktiviti yang bagus dan merupakan ibadah apabila diniatkan kerana Allah demi kebaikan tujuannya. Ziarah adalah perbuatan bergerak dengan samada berjalan , menaiki kereta ke destinasi rumah yang ingin kita pergi atas tujuan melawat dalam masa perayaan , kerana yang dilawat sakit atau sudah lama kita tidak berjumpa. Ziarah adalah satu budaya yang amat banyak faedah. Tetapi kenapa hari raya sahaja? Dan juga kenapa ziarah kubur di pagi raya sahaja? Sedangkan hari raya adalah hari kemenangan, kesyukuran dan memaparkan kegembiraan. Ringkasnya, ziarah bagus…dituntut sepanjang masa…apatah lagi di hari raya (masa kita paling berkesempatan)…hanyalah ia bukan sesuatu daripada sunnah. Berziarahlah di hari raya sempena semua keluarga berkumpul di kampung, begitu juga amalan rumah terbuka..buat lah sebagai adat yang mulia dan bermanfaat.

Ziarah yang ada dibincangkan dalam amalan Islam ialah ziarah tanah suci, ziarah makam Rasulullah SAW, ziarah tempat yang memberikan pengajaran serta ziarah kubur untuk mengingatkan kematian. Ziarah ibubapa, keluarga dan jiran tetangga juga digalakkan untuk silaturrahim.

Bila konsep ini telah difahami , barulah kita boleh panjangkan perbicaraan tentang kepentingan ziarah, bagaimana nak suburkannya dan kenapa budaya ini yang semakin pupus perlu diamalkan semula!

Amalan ziarah-menziarahi mempunyai banyak hikmah dan kelebihan yang sangat bermakna bagi umat Islam terutama sekali dalam menghubung dan merapatkan ikatan persaudaraan sesama Islam. Agama Islam sangat menggalakkan umatnya agar senantiasa berusaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan tautan silaturrahim dan ukhuwwah.

Firman Allah s.w.t. “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara,maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu,dan bertaqwalah kamu kepada Allah agar kamu beroleh rahmat” (Surah Al Hujuraat ayat 10.)

Bagi mencapai matlamat dan hakikat sebenar amalan ziarah-menziarahi ini terdapat adab-adab yang perlu difahami dan dihayati oleh setiap insan muslim untuk meraih keredhaan dan rahmat Ilahi.

Di antara adab-adab yang perlu diberi perhatian oleh umat Islam ketika melakukan amalan kunjung-mengunjung adalah seperti berikut : Adab sebagai tetamu perlu memohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi sesuai dengan Firman Allah s.w.t. dalam surah An-Nur ayat ke 27 “ Wahai orang-orang yang beriman,janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumah kamu,sehingga kamu meminta izin serta memberi salam kepada penghuninya.Demikian itu adalah lebih baik bagi kamu agar kamu beringat” Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud :
” Sesungguhnya manusia yang paling utama di sisi Allah ialah sesiapa yang memulakan salam” (Riwayat Abu Daud)


Selaku tetamu adalah sangat digalakan agar berjabat tangan dengan tuan rumah sesuai dengan hadith Nabi s.a.w. riwayat dari Al Barra’ r.a. yang bermaksud “ Tidak ada dua orang muslim yang bertemu,lalu saling berjabat tangan,kecuali kedua-duanya diampuni Allah sebelum keduanya berpisah”

Walaubagaimanapun amalan berjabat tangan ini mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam. Ianya tidak sama dengan budaya barat dan orang bukan Islam yang bersalaman tidak mengira lelaki ataupun wanita yang bukan mahram kerana ianya amat dimurkai oleh Allah s.w.t.

Seorang tetamu tidak sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah. Hal ini disebutkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui hadithnya yang bermaksud “Sesiapa yang memasuki majlis sesuatu kaum,hendaklah dia duduk di tempat yang telah disediakan kerana kaum itu(tuan rumah) lebih mengetahui aib rumah mereka”

Manakala bagi pihak tuan rumah, Agama Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara dan dihayati oleh tuan rumah yakni dengan menghormati dan memuliakan tetamunya. Hal ini ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. melalui hadithnya yang bermaksud “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah s.w.t. dan Hari Akhirat ,maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.”

Dalam masa yang sama,tuan rumah juga disarankan agar menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan. Memuliakan dan melayan tetamu dengan baik adalah amalan para Nabi dan Rasul terdahulu. Allah s.w.t. telah merakamkan kisah Nabi Ibrahim a.s. dan sikapnya yang sangat memuliakan tetamu melalui FirmanNya yang bermaksud “ Sesungguhnya telah datang utusan-utusan Kami kepada Nabi Ibrahim,dengan membawa berita yang mengembirakan. Lalu mereka memberi salam dengan berkata : “Salam sejahtera kepadamu (wahai Ibrahim)” Nabi Ibrahim menjawab : “Salam sejahtera kepada kamu” Maka tidak berapa lama selepas itu, dia menghidangkan jamuan untuk,seekor anak lembu yang dipanggang.”

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."