RAKAN BLOG MASJID

24 April 2012

KESEMBUHAN ADALAH MILIK ALLAH, IKHTIAR BERUBAT ADALAH SUNNAH

RENUNGAN PERTAMA: IKHTIAR BERUBAT ADALAH SUNNAH KEDUA : KESEMBUHAN ADALAH MILIK ALLAH --------------------------------------------------------------------------- IKHTIAR BERUBAT ADALAH SUNNAH IKHTIAR BERUBAT ADALAH SUNNAHPetikan dari Buku 'Bestseller' Dr. Danial: Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden. Buku Ini Menjadi Finalis Anugerah Media Islam Nasional 2006 : Walaupun kesemua perkara ditentukan oleh Allah, berikhtiar dengan pelbagai cara untuk merawat penyakit amat digalakkan oleh agama. Ia tidak bercanggah dengan konsep tawakal. Seorang sahabat pernah bertanya kepada Nabi Muhammad: “Adakah aku tambat binatang dan aku bertawakal ataupun aku lepaskannya dan aku bertawakal?” Jawab Rasulullah: “Tambat dan bertawakal.” (Riwayat Tirmizi) Justeru, seseorang yang menghidap sesuatu penyakit digalakkan untuk mencari ubatnya dan tidak hanya berserah kepada nasib dan takdir. Mengikut sebuah riwayat dari Usamah ibn Syuraik, beliau berkata: “Aku berada di sisi Rasulullah, tiba-tiba datanglah beberapa orang Arab Badwi dan mereka berkata: ‘Ya Rasulullah adakah kami diizinkan berubat?’ Rasulullah bersabda: ‘Wahai hamba-hamba Allah, berubatlah kerana sesungguhnya Allah tidak meletakkan sesuatu penyakit melainkan Allah meletakkan ubat untuknya kecuali satu sahaja!’ Mereka bertanya: ‘Apakah itu ya Rasulullah?’ Nabi Muhammad bersabda: ‘Penyakit tua’.” Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Ahmad, Abu Daud, Ibn Majah, An-Nasai dan Tirmizi. Rasulullah juga turut berikhtiar sebagai contoh dengan berbekam, sedangkan Baginda merupakan manusia yang paling bertawakal kepada Allah. Selepas seseorang berikhtiar, hendaklah dia bertawakal dan berserah kepada Allah kerana Dialah sebenarnya yang menyembuhkan segala penyakit . KESEMBUHAN ADALAH MILIK ALLAH Bila tubuh menunjukkan reaksi kesakitan, otak akan menghantar mesej kepada yang empunya tubuh bahawa kematian sudah semakin mendekat. Kesakitan dan kematian merupakan satu perkaitan yang sering terlayar luas di minda manusia. Kita sebagai manusia sering berfikir bahawa sesuatu perkara yang terjadi itu ada sebabnya. “Kenapa dia meninggal?” “Oh, dia memang dah lama sakit.” , “Baru semalam aku jumpa Pak Mail, hari ni dia dah meninggal.” “Kena sakit jantung. Biasalah…” , “Aku dengar Wak Munah yang tinggal di hujung kampung ni dah meninggal. Betul ke?” “Haah… Kanser payudara dia dah merebak.” Kematian adalah akhir dari kehidupan iaitu ketiadaan nyawa dalam organisma biologi. Semua makhluk yang hidup pada akhirnya akan mati secara perlahan-lahan, sama ada kerana menghidapi penyakit atau disebabkan kecelakaan. Bukan orang yang sakit sahaja boleh meninggal dunia. Manusia yang muda dan sihat walafiat juga boleh meninggal dunia tatkala sudah tiba masanya dia dijemput Izrael. Andaian itu semua hanya logik akal manusia yang tidak memandang kesakitan dan kematian itu merupakan satu hikmah. Rasuluallah s.a.w bersabda: “Tidaklah ALLAH menurunkan penyakit kecuali beserta dengan ubatnya.” “Aku dah terbaring di tilam ni bertahun-tahun dan kau cakap sakit ini ada hikmahnya?” , “Kau cakap sakit ujian tuhan. Tapi, aku dah bersabar sepuluh tahun dengan kanser ni tapi aku tetap tak nampak hikmahnya. Apa yang aku nampak, duit aku dah beribu-ribu habis untuk ubati penyakit ni.” , “Aku rindu dengan diri aku yang dulu. Aku nak menikmati kehidupan seperti orang lain. Aku sentiasa berdoa agar ALLAH sembuhkan sakit aku. Tapi, sakit aku tetap tak sembuh-sembuh sampai sekarang. Aku rasa mati lebih baik daripada hidup.” Setiap luahan kata-kata yang disalurkan melalui emosi memang susah untuk didebati apa lagi untuk diselami. Orang yang sakit sering bermain dengan emosi. Emosi yang mendalam yang hanya dia dan Penciptanya yang mengerti. Kerana itulah orang yang dilimpahi kesakitan dan penderitaan lebih gemar bermain perasaan dengan berkarya dan meluahkannya dalam bentuk syair atau puisi. Itulah hebatnya mata pena. Sesungguhnya, ALLAH itu Maha Besar lagi Maha Agung. Dia lebih tahu apa yang Dia rancangkan. Kesakitan itu memang ada hikmahnya. Sesungguhnya, sakit itu adalah ujian kesabaran daripada ALLAH untuk kita semua yang bergelar hambanya tidak kira apa agama sekalipun. Seperti sabda Rasulullah Saw, “Sangat menakjubkan urusan orang-orang mukmin itu. Mereka menerima semua persoalan hidup sebagai kebaikan baginya. Apabila kegembiraan yang diterimanya ia akan bersyukur dan itu adalah kebaikan baginya. Dan apabila kepedihan yang diterimanya maka ia bersabar dan itupun merupakan kebaikan pula baginya.”. Sesungguhnya, kesyukuran itu tanda keimanan, dan kedurhakaan adalah tanda kekufuran. Sakit adalah penggugur dosa-dosa hamba-Nya. Penyakit yang diderita seorang hamba menjadi sebab diampuni dosa yang telah dilakukannya termasuk dosa-dosa setiap anggota tubuhnya Rasulullah Saw bersabda, “Setiap getaran pembuluh darah dan mata adalah kerana dosa. Sedangkan yang dihilangkan Allah dari perbuatan itu lebih banyak lagi.” Sakit juga menyelamatkan insan daripada seksaan api neraka yang sungguh azab. “Rasulullah S.a.w pernah bersabda, bahwasannya sakit kerana demam itu akan menghindarkan orang Mukmin dari seksa api neraka.” Sakit membawa manusia itu sentiasa mengingati ALLAH Tuhan Yang Agung lagi Maha Berkuasa. Apabila sakit itu singggah menghampiri, lidah kita pantas menyebut, “Aduh, sakit Ya ALLAH.” , “Ya ALLAH, sakitnya!”. Tatkala sakit itu sudah menjadi tamu di tubuh kita dengan mudahnya menerobos masuk ke salur-salur darah hanya kalimat itu yang mampu kita ucapkan. “ALLAH!” Maka beruntunglah orang yang selama ini lalai dan leka daripada mengingati ALLAH lalu ia ditimpakan kesakitan yang datang tanpa diundang. Oleh itu, maka benarlah sakit itu satu anugerah. Sakit membuatkan kita mensyukuri nikmat ALLAH. “Masa aku sihat dulu aku tak pernah buat baik pada orang. Sekarang aku sakit, tiada siapa yang ingin menjenguk aku.” , “Alangkah bagusnya kalau aku sihat… Bolehlah aku beribadah dengan selesa.” , “Syukurlah kedua-dua kaki aku dipotong, kerana kaki itu selalu membawa aku ke tempat maksiat.” Sakit membuatkan manusia semakin memahami manfaat sihat. Bersyukurlah dengan kesakitan yang kita lalui kerana ia akan membuatkan kita semakin berterima kasih pada Tuhan yang telah mengurniakan kesihatan pada kita tetapi kita sering terlepas pandang dek terlalu menikmati keseronokan dunia yang tiada penghujungnya. Pelbagai pendapat mengatakan kesakitan yang datang itu merupakan petunjuk daripada ALLAH untuk kita sebagai hambanya yang sering leka melayari dunia yang indah. Menurut HAMKA, “Bila kita diuji maka bersabarlah kerana sesungguhnya ujian itu adalah sebagai musibah disebabkan kurangnya ketaatan kita kepada ALLAH.” Mata kita akan terpaku saat mendengar pendapat daripada Ibnu Qayyim pula. “Kalau manusia itu tidak pernah mendapat cubaan dengan sakit dan pedih, maka ia akan menjadi manusia yang ujub dan takbur. Hatinya menjadi kasar dan jiwanya beku. Kerana itu, musibah dalam bentuk apapun adalah rahmat ALLAH yang disiramkan kepadanya. Ia akan membersihkan karatan jiwanya dan mensucikan ibadahnya. Itulah ubat dan penawar kehidupan yang diberikan ALLAH untuk setiap orang beriman. Ketika ia menjadi bersih dan suci kerana penyakitnya, maka martabatnya diangkat dan jiwanya dimuliakan. Pahalanya pun berlimpah-limpah apabila penyakit yang menimpa dirinya diterimanya dengan sabar dan redha.” Sesungguhnya, tiada ubat yang lebih mujarab selain berdoa kepada ALLAH Yang Maha Penyayang lagi Maha Mengasihani. Kesakitan itu datang daripada ALLAH, maka kesembuhan itu juga datang dengan izin ALLAH. Manusia yang dijadikan daripada tanah sering berpegang teguh pada pepatah yang sudah semakin lapuk ditelan dek zaman. “Ada sakit ada ubatnya.” Mereka juga terlalu mempercayai bahawa sesuatu yang dilakukan itu pasti akan berhasil. “Kau kalau nak cepat lega demam tu, makanlah Panadol Activefast.” , “Kau kalau tak nak sakit buat pembedahan, pergi hospital swastalah.” , “Ramai yang dah sihat lepas berubat dengan ustaz tu. Baik kau cuba.” , “Aku berubat di hospital tak sembuh-sembuh. Berubat dengan orang tu, terus je sembuh.” Sesungguhnya, yang menyembuhkan penyakit itu bukan ubat-ubatan, rawatan di hospital, ustaz atau bomoh tetapi kesembuhan itu adalah datangnya daripada ALLAH s.w.t. Itu semua hanyalah sebagai perantaraannya sahaja iaitu sebagai penyebab berlakunya sesuatu. Sememangnya manusia disarankan untuk berikhtiar sehingga sembuh. Namun, janganlah sampai kita mempercayai bahawa yang menyembuhkan itu adalah sesuatu selain ALLAH s.w.t. Renungilah surah At-Taubah ayat 14, surah Yunus ayat 57, surah An-Nahl ayat 69, surah Al-Israa’ ayat 82, surah asy-syu’ara’ ayat 80 dan surah Fussilat ayat 44. “Dia adalah kesembuhan bagi pesakit ini dan Dia menyembuhkan dada-dada kaum mukminin, Dan penyembuh bagi penyakit-penyakit yang berada dalam dada juga petunjuk dan rahmat bagi mereka yang beriman, pada-Nya kesembuhan bagi manusia, Dan ALLAH menurunkan diantara al-Quran itu ada satu yang menyembuhkan dan rahmat bagi orang yang beriman, Dan apabila aku sakit maka Dialah yang menyembuhkan, Katakanlah: yang demikian itu adalah bagi mereka yang beriman sebagai petunjuk dan kesembuhan yang cepat, tidak meninggalkan sakit atau penderitaan kecuali kesembuhan-Nya.” “Apa dosa aku sehingga ALLAH bagi aku sakit seperti ini?” Begitu muliakah kita sebagai manusia sehingga tidak pernah berbuat dosa? Sesungguhnya, setiap persoalan yang terukir di minda setiap insan adalah kerana lumrah manusia yang sentiasa berfikir. Berdasarkan Surah Al-Hasyr ayat 21: “Kalau sekiranya Kami menurunkan Al-Quran ini kepada sebuah gunung, pasti kamu akan melihatnya tunduk terpecah belah disebabkan takut kepada ALLAH. Dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami buat untuk manusia supaya mereka berfikir.” Tiada jawapan bagi setiap persoalan, tiada penyelesaian bagi setiap masalah dan tiada tujuan bagi setiap kehidupan sekiranya kita tidak menggunakan akal yang dianugerahkan untuk berfikir. Seandainya kita menderita sakit yang tidak boleh dilihat oleh mata kasar, janganlah kita memarahi manusia yang tidak memahami situasi kita. “Aku nampak sahaja ceria, tapi sebenarnya sakit aku ni lagi teruk daripada orang yang terlantar seperti patung bernyawa.” Janganlah kita mengharapkan manusia untuk sentiasa memahami kita, tetapi sandarkanlah sepenuh harapan itu kepada ALLAH yang menciptakan kita. Sesungguhnya, Yang Menciptakan itu lebih memahami daripada yang mengenali. Kepada setiap insan yang merasai dirinya seperti dikurung di dinding kaca, diseksa tanpa rasa dan diserang sakit yang berbisa, sabarlah seperti Surah Asy-Syura ayat 33: “Jika Dia kehendaki, Dia menghentikan tiupan angin, maka Tinggallah kapal-kapal itu terapung-apung di muka lautan. Sesungguhnya yang demikian mengandungi tanda-tanda yang besar pengajarannya bagi tiap-tiap seorang mukmin yang sentiasa bersikap sabar, lagi sentiasa bersyukur.” http://alikhtiyar.blogspot.com/

2 comments:

  1. Sahabat mula sekali jumpa RasululLah, lepas tu baru amalkan apa yg disandakan okeh baglnda.
    Kita hari ini nabi dah tak bersama, jadi kita cari dalam al quran atau hadis dulu, lepas tu kita amalkan ikhtiar dan usaha.

    ReplyDelete
  2. Dulu sahabat2 mula sekali jumpa RasululLah dan bertanya, lepas tu baru amalkan apa yg disabdakan oleh baglnda.
    Kita hari ini nabi dah tak bersama, jadi kita cari (rujuk) dalam al quran atau hadis dulu, lepas tu kita amalkan ikhtiar dan usaha.

    ReplyDelete

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."