RAKAN BLOG MASJID
11 October 2012
CUCU ABU BAKAR AS-SIDDIK
Pernahkah anda mendengar kisah ulama tabi'in yang agung ini? Segala kegemilangan bersatu dalam jiwanya. Bapanya adalah Muhammad bin Abu Bakar al Siddiq dan ibunya ialah anak perempuan Kisra, Yazdajurda, maharaja terakhir kerajaan Parsi. Ibu saudaranya ialah Aisyah, Ummu Mukminin.
Malah apa yang lebih utama ialah beliau telah memahkotakan dirinya dengan mahkota takwa dan ilmu. Adakah selain daripada kemuliaan ini, ada lagi kemuliaan lain yang dicari-cari oleh manusia.
Beliau ialah al Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar al Siddiq. Salah seorang daripada tujuh ulama Madinah dan orang yang paling terkehadapan dalam keilmuan di zamannya. Seorang yang tajam fikirannya dan sangat warak.
Marilah kita ikuti kisah hidupnya.
***
Al Qasim bin Muhammad dilahirkan di akhir zaman pemerintahan Uthman bin Affan radiyaLlahu 'anhu. Ketika anak kecil ini masih dalam buaian lagi, negara Islam telah terjebak dalam kancah yang melanda. Ketika inila Khalifah Uthman bin Affan yang digelar Zu Nurain, soerang yang terkenal dengan ibadat dan zuhudnya terkorban rebah di atas lembaran al Qurannya. Setelah itu, timbul pula pertembungan yang hebat antara Amirul Mukminin, Ali bin Abu Talib dengan Gabenor Sham, Muawiyah bin Abu Sufyan.
Dalam suasana yang penuh kegawatan dan genting, anak kecil ini bersama-sama dengan adik perempuannya terpaksa berpindah dari Madinah ke Mesir. Mereka terpaksa mengikut ayah mereka yang baru sahaja dilantik oleh Amirul Mukminin, Ali bin Abi Talib sebagai gabenor di sana. Malangnya tangan-tangan khianat menjerut ayahnya dan membunuhnya dengan kejam.
Peristiwa malang ini memaksa anak kecil ini berpindah semula ke Madinah setelah Madinah ditawan oleh pengikut Muawiyah. Anak kecil ini kini menjadi yatim.
Al Qasim pernah menceritakan sendiri kisah malang yang menimpanya. Beliau menceritakan :
"Setelah ayah dibunuh di Mesir, bapa saudara saya Abdul Rahman bin Abu Bakar datang untuk membawa saya dan adik perempuan saya ke Madinah. Sebaik sahaja kami sampai di Madinah ibu saudara saya, Aisyah radiyaLlahu 'anhu datang mengambil kami dan membawa kami ke rumahnya. Kami kini diasuh dalam belaiannya.
Saya tidak pernah melihat seorang ibu atau ayah yang begitu baik dan pengasih sepertinya. Beliau menyuapkan sendiri makanan ke mulut kami dengan tangannya. Malah beliau tidak makan ketika kami makan dan hanya sisa-sisa makanan kami yang menjadi makanannya. Kami dibelai olehnya seperti seorang ibu yang menyusukan anaknya. Beliau akan memandikan kami dan menyikat rambut kami dan sentiasa memakaikan kami dengan pakaian yang putih bersih.
Beliau tidak pernah lupa menyemai kami dengan nilai budi yang baik dan mendidik kami supaya melakukannya. Beliau juga tidak lupa melarang kami daripada melakukan kejahatan dan mendidik kami supaya tidak melakukannya. Kami sentiasa diajar KitabuLlah dan dididik supaya menghafal hadis-hadis RasuluLlah sallaLLahu 'alaihi wasallam mengikut keupayaan kami.
Ketika hari raya, kemesraannya lebih terasa, apatah lagi dengan hadiah yang diberikannya. Pada malam hari Arafah, beliau mencukur rambut saya dan kemudian memandikan saya dan adik perempuan saya. Ketika pagi raya beliau menyarungkan kami pakaian baru. Setelah itu, beliau menyuruh seseorang membawa saya ke masjid untuk menunaikan sembahyang hari raya. Apabila saya pulang, beliau memanggil saya dan adik saya berkumpul. Beliau kemudiannya melakukan upacara korban di hadapan kami.
Ketinggian Akhlak Al Qasim bin Muhammad
Al Qasim bin Muhammad memiliki sifat-sifat yang tidak jauh berbeza daripada datuknya Abu Bakar as Siddiq radiyaLlahu 'anhu. Malah ada yang berkata: "Tiada seorangpun anak-anak Abu Bakar yang menyerupai Abu Bakar seperti anak muda ini"
Al Qasim memiliki sifat-sifat ketinggian akhlak dan keperibadian Abu Bakar. Beliau juga memiliki keteguhan iman, kewarakan, mudah bertolak ansur dan pemurah.
Terdapat banyak riwayat yang menceritakan kata-kata dan tindakannya yang menunjukkan sifat-sifat ini.
Antaranya suatu ketika, seorang Arab dari pedalaman datang ke masjid dan bertanya kepadanya: "Siapakah yang lebih berilmu, engkau atau Salim bin AbduLLah?"
Al Qasim tidak menghiraukan soalan itu. Lalu lelaki tadi bertanya lagi : Dia menjawab : "Maha suci ALlah..."
Lelaki tadi mengulangi soalannya lagi. Dia pun membalas "Di sana itu Salim bin AbduLlah, wahai anakku.."
Orang yang hadir di situ berkara: "Alangkah hebatnya, beliau tidak mahu berkata: Saya lebih berilmu daripadanya, kerana itu bermakna dia memuji dirinya sendiri dan beliau tidak mahu berkata, dia lebih berilmu daripada saya, kerana itu bermakna beliau menipu." Beliau sebenarnya lebih berilmu daripada Salim.
Suatu ketika, beliau berada di Mina. Ketika itu, para jemaah haji dari seluruh wilayah sedang mengerumuninya untuk bertanya soalan. Beliau menjawab setiap soalan yang diketahui jawapannya dan bagi soalan yang tidak diketahui jawapannya, beliau berkata:
"Saya tidak tahu... saya tidak tahu... saya tidak tahu...."
Jawapannya ini memeranjatkan mereka. Namun beliau berkata: "Tidak semua yang kamu tanya itu saya tahu. Jika saya tahu, sudah tentu saya tidak akan menyembunyikannya. Malah tidak seharusnya saya menyembunyikannya. Hidup dalam keadaan jahil adalah lebih baik bagi seseorang (setelah mengenali hak ALlah) daripada dia bercakap apa yang tidak diketahuinya."
Pada suatu ketika, beliau diamanahkan mengagihkan zakat kepada mereka yang berkelayakan. Jadi beliau memberikan setiap yang berhak mengikut ijtihadnya. Cuma ada seorang di kalangan mereka tidak berpuas hati dengan bahagian yang diterimanya. Lalu orang ini datang ke masjid ketika al Qasim sedang mendirikan sembahyang. Orang ini terus mempertikaikan bahagian zakatnya.
Ketika itu, anak al Qasim membalas : "Demi ALlah, kamu mempertikaikan seorang yang tidak menyentuh sedikitpun zakat kamu walau sedirham malah seperenam dirham. Malah sebiji tamar pun tidak diusik."
Mendengar suara lelaki tadi, al Qasim mempercepat sembahyangnya dan kemudian berpesan kepada anaknya: "Wahai anakku, lain kali jangan engkau berkata perkara yang tidak engkau ketahui."
Walau bagaimanapun orang ramai berkata: "Apa yang dikatakan oleh anaknya itu benar. Namun beliau mahu mendidik anaknya supaya menjaga mulutnya agar tidak terlalu banyak bercakap."
Al Qasim bin Muhammad hidup sehingaa berusia melebihi 72 tahun. Ketika usianya semakin lanjut matanya mula kabur. Pada tahun-tahun akhir hayatnya, beliau berangkat ke Mekah untuk menunaikan haji. Ketika dalam perjalanan, beliau menemui ajalnya.
Sebelum menemui ajalnya, beliau berpesan kepada anakandanya: "Apabila ayah mati, kafankanlah ayah dengan pakaian yang selalu ayah pakai utnuk sembahyang. Baju ayah, kain ayah dan selubung ayah. Itulah kain kafan datukmu Abu Bakar. Selepas itu, masukkan ayah dalam liang lahad dan teruslah pulang ke keluargamu. Jangan sekali-kali kamu berdiri di kubur ayah dan kamu katakan: Dahulu ayah saya... Dahulu ayah saya... Sedangkan ayah tidak memiliki apa-apapun."
http://jarumemas.blogspot.com/search/label/Mari%20Belajar%20Sirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
PERINGATAN BAGI LELAKI !
Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat
tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit
kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat
tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,
Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit
kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama
tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."
No comments:
Post a Comment