RAKAN BLOG MASJID

22 October 2012

Wakalah Dalam Ibadah Korban

Konsep Wakalah:

Wakalah dari segi bahasa bererti menyerahkan kuasa, pengawasan, penjagaan dan pemeliharaan. Dari segi istilah fiqh pula ialah seseorang itu menyerahkan sesuatu perkara ketika hidupnya kepada orang lain agar melakukannya dalam hal-hal yang boleh diwakilkan. Hukum wakalah adalah harus berdasarkan Al-Qur’an, sunnah dan ijma‘ ulama. Wakalah mempunyai empat rukun iaitu:

I. Muwakkil (orang yang berwakil)
II. Wakil /Muwakkal (orang yang dijadikan wakil)
III. Muwakkal fihi (sesuatu yang diwakilkan)
IV. Shighah (ijab dan qabul).

Syarat-syarat wakil dalam ibadah korban:

1. Hendaklah seorang Muslim dan bukan ahli kitab kerana sembelihan ahli kitab adalah makruh. Tambahan pula tujuan sembelihan adalah untuk mendekatkan diri kepada Allah. Adapun majusi adalah diharamkan sembelihannya.
2. Hendaklah mendapat keizinan orang yang berkorban.
3. Memenuhi syarat-syarat mukallaf.

Hukum upah bagi wakil:

1. Ulama’ sepakat mengatakan bahawa wakil atau penyembelih tidak boleh mengambil bahagian daripada sembelihan korban sebagai upah kerana terdapat larangan yang keras daripada Nabi SAW di dalam hadis Sayyidina Ali:
“Rasulullah telah memerintahkanku supaya mengorbankan untanya (iaitu ketika hari Nahar), dan supaya aku membahagikan kulitnya dan anggota badannya, dan supaya tidak memberikan kepada penyembelih sesuatu daripadanya”. (Muttafaqun Alaih).

Oleh itu, boleh disimpulkan bahawa wakil atau penyembelih tidak boleh menetapkan bahagian daripada binatang korban itu sebagai upahnya.





2. Jika hendak memberi upah hendaklah menggunakan peruntukkan lain selian dari daging korban. Ali r.a berkata:
“Nabi s.a.w pernah menyuruhku menyempurnakan seekor unta milik Baginda kemudian menyedekahkan daging, kulit dan apa yang menutupi belakang unta-unta itu (seperti pelana dan seumpamanya) serta aku juga tidak memberi apa pun kepada tukang sembelih tersebut. Dia berkata: Kami memberinya dengan harta kami sendiri”. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya)

Hujjah lain, pada dasarnya upah untuk ibadah adalah diharuskan seperti upah haji dan umrah. Adapun ibadah-ibadah yang tidak memerlukan belanja dan usaha yang keras maka tidak diharuskan padanya sebarang upah.
Larangan dijadikan upah sebahagian daripada daging Korban adalah kerana daging daripada penyembelihan korban adalah bertujuan untuk ibadah korban dan kebajikan. Dengan itu ia tidak boleh dijadikan balasan/upah kepada kerja (pengurusan penyembelihan).

Kaedah Kaedah Wakalah di dalam Ibadah Korban:

1. Wakalah berbentuk penyerahan binatang korban:
Penyerahan binatang korban kepada wakil haruslah melalui pernyataan yang jelas dalam jenis korbannya samaada sunat atau wajib dan urusan yang diserahkannya samada menyembelih saja atau juga membahagikan dagingnya kepada pihak ketiga. Oleh kerana itu harus ada shighah yang jelas antara orang yang berkorban dengan wakil tersebut dan kedua-dua pihak harus memenuhi rukun-rukun wakalah iaitu Muwakkil (orang yang berwakil), Muwakkal (orang yang dijadikan wakil), Muwakkal fihi (sesuatu yang diwakilkan) dan Shighah (ijab dan qabul )
أركانها اربعة موكل ووكيل وموكل فيه وصيغة ويكفى فيها اللفظ من أحدهما وعدم الرد من الأخر كقول الموكل وكلتك بكذا او فوضته إليك ولو بمكاتبة او مراسلة (الباجورى جزء 1 ص : 296 )

2. Wakalah berbentuk penyerahan wang:

Dengan cara ini urusan ibadah korban dapat dilakukan dengan mudah. Melalui cara ini orang yang ingin melakukan ibadat korban akan menyerahkan sejumlah wang yang sama nilai dengan sebahagian atau seekor binatang korban kepada wakil. Wakil tersebut akan menguruskan segala urusan ibadah korban bagi pihaknya. Dalam hal ini menurut pandangan ulama hukumnya adalah harus.
Penjelasan tentang keharusan wakalah melalui penyerahan wang dijelaskan dalam kitab I’anah al-Talibin:
للصواب: في فتاوي العلامة الشيخ محمد بن سليمان الكردي محشي شرح ابن حجر على المختصر ما نصه: (سئل) رحمه الله تعالى: جرت عادة أهل بلد جاوى على توكيل من يشتري لهم النعم في مكة للعقيقة أو الأضحية ويذبحه في مكة، والحال أن من يعق أو يضحي عنه في بلد جاوى فهل يصح ذلك أو لا؟ أفتونا. (الجواب) نعم، يصح ذلك، ويجوز التوكيل في شراء الأضحية والعقيقة وفي ذبحها، ولو ببلد غير بلد المضحي والعاق كما أطلقوه فقد صرح أئمتنا بجواز توكيل من تحل ذبيحته في ذبح الأضحية، وصرحوا بجواز التوكيل أو الوصية في شراء النعم وذبحها، وأنه يستحب حضور المضحي أضحيته. ولا يجب. وألحقوا العقيقة في الاحكام بالأضحية، إلا ما استثني، وليس هذا مما استثنوه، فيكون حكمه حكم الأضحية في ذلك. وبينوا تفاريع هذه المسألة في كل من باب الوكالة والإجارة فراجعه.
Dalam kitab Fatawa Syeikh Sulaiman al-Kurdi Muhasyyi Syarah Ibni Hajar ‘ala al Mukhtashar terdapat suatu pertanyaan: Beliau telah ditanya:
“Telah berlaku kebiasaan penduduk Jawi mewakilkan kepada seseorang agar membelikan haiwan ternakan untuk mereka di Makkah sebagai aqiqah atau korban dan agar menyembelihnya di Makkah, sementara orang yang melakukan ibadat tersebut berada di Jawa. Apakah hal demikian itu sah atau tidak? Mohon diberikan fatwa. Jawabannya “Ya, demikian itu sah. Diperbolehkan mewakilkan dalam pembelian binatang korban dan aqiqah dan juga penyembelihnya sekalipun tidak dilaksanakan di negara orang yang berqorban atau beraqiqah itu.”..

Di antara kesilapan yang biasa berlaku ialah tidak dinyatakan akad perwakilan (wakalah) ketika mengambil tempahan. Tidak juga dibezakan antara wakalah secara mutlak ataupun secara khusus. Perwakilan secara khusu berlaku apabila mereka yang melakukan ibadat korban mewakilkan seseorang tukang sembelih yang dikenalpasti untuk melakukan penyembelihan, di samping ditentukan haiwan sembelihan. Bagi wakil yang akan mewakili pihak ketiga untuk menguruskan ibadah korban terutamanya di luar negara, perlu dinyatakan dengan jelas perwakilan adalah secara mutlak.

Wakalah Bersama Dengan Upah (wakalah bi al-ajr)

Apabilah wakalah disertakan dengan upah, hukumnya bertukar kepada ijarah, iaitu upah kepada sesuatu pekerjaan. Ini dianggap sebagai aqad mu‘awadah seperti jual beli. Di antara kesan fiqh ialah ia berubah daripada kontrak yang tidak mengikat (non binding/ghair lazim) kepada kontrak yang mengikat (binding/lazim), dengan erti kata pembatalannya mestilah dengan persetujuan kedua dua pihak (muwakkil dan wakil). Jumlah upah juga mestilah diketahui kerana gharar (ketidaktentuan) di di dalam aqad mu‘awadah membatalkan kontrak. Sebagai contoh, sekiranya disebut harga kambing seekor RM500, perlu dijelaskan berapa upah kepada wakil yang akan melakukan kerja penyembelihan dan pengurusan ibadah korban. Diantara kesilapan yang kerap berlaku ialah tidak disebut berapa upah.
Di antara alternatif adalah seperti berikut:
1. Disebut bahawa RM500 adalah harga sebahagian korban termasuk kos pengurusan dan upah. Perlu dinyatakan termasuk upah. Ini boleh diterima sekiranya penyembelihan dan urususan penyelenggaraan dilakukan sendiri oleh penganjur seperti masjid atau surau.
2. Adapun bagi mereka yang mengutip wang penyertaan ibadah Korban, kemudian mewakilkan pihak lain, dan mengambil upah, perlu dinyatakan jumlah upah. Contohnya Harga kambing RM450, upah RM50.
3. Menganggarkan/menentukan nilai seekor kambing atau 1/7 lembu, contohnya RM500, baki diberikan kepada wakil ataupun kepada masjid/badan kebajikan/sekolah agama/rumah anak yatim dll. Contoh: “Saya bayar duit RM500 ini untuk sebahagian lembu korban, yang selebihnya/baki adalah untuk kamu.” atau “Saya bayar duit RM500 ini untuk sebahagian lembu korban, yang selebihnya/baki adalah untuk masjid.”
Konsep ini disebut oleh fuqaha sebagai:
إذا قال الموكل للوكيل: بع العين بكذا، فما زاد فهو لك
“Apabila berkata pewakil kepada wakil: “Juallah barang ini dengan sekian-sekian, apa yang lebih adalah untukmu”

Di antara ulama yang yang mengharuskan konsep ini (upah bersyarat) ialah Ibn Abbas, Al-Zuhri, Qotadah, Ayub al-Sakhtiyani, Ibn Sirin, Al-Sya’bi, Hassan al-Basri, Ishaq Ibn Rahawaih, Ahmad bin Hanbal,dan juga ulama mazhab Hanbali. Ulama yang membenarkan kaedah ini juga mengharuskan membeli dengan harga sekian, sekian, sekiranya harga yang diperolehi lebih rendah, maka perbezaan harga itu deberikan kepada wakil. Contoh, “Belikan saya sebahagian lembu korban dengan harga RM500, sekiranya kamu boleh dapatkan harga yang lebih rendah, perbezaan harga saya berikan kepada kamu.”

Perlu diingatkan supaya tidak berlaku ghubn iaitu kerugian disebabkan penipuan bagi muwakkil iaitu pelaku ibadah korban di mana, kadang kadang lembu yang disembelih adalah yang kurus atau tidak cukup sharat sah sembelih, kerana dibeli dengan harga yang begitu rendah disebabkan pengambilan upah yang tinggi.

Dicadangkan bagi mereka yang menganjurkan ibadat korban secara komersial, agar mengabil upah secara berpatutan menurut uruf, sebagaimana Al-Quran membenarkan penjaga anak yatim mangambil upah di atas kerjanya sekiranya tidak ada kemampuan dengan syarat ianya berpatutan menurut uruf semasa dan tempat pengurusan korban “bi al-makruf”. Aktiviti ini juga perlu kepada pamatauan pihak berkuasa supaya tidak berlaku penipuan.

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."