Walaupun
anak-anak ini kelihatan begitu lena, namun kita tidak dapat menjamin bahawa
mereka tidak akan tersedar sehingga ke pagi. Maka berwaspadalah sentiasa!
Pendidikan seks, apa yang
anda fikirkan apabila disebut perkataan ini? Ramai yang rasa ia adalah satu
perkara yang lucah dan memalukan. Namun, ketika saya ingin menulis tentang
mengasingkan anak tidur dari ibu bapa, saya menyelak buku Pendidikan Anak-Anak
Islam tulisan Dr Nasih Ulwan. Saya dapati, Dr Nasih Ulwan telah menerangkan
tentang perkara terbut di dalam satu bab yang panjang iaitu bab pendidikan
seks.Setelah diteliti, ternyata bahawa pendidikan seks di dalam keluarga islam
sangat-sangat dipentingkan untuk menjaga anak-anak dari terdedah kepada gejala
sosial yang amat membimbangkan sebagaimana yang berlaku di dalam masyarakat
pada masa kini.
Melihat kepada gejala
sosial yang berlaku kini seperti penzinaan, pembuangan anak, seks di luar tabii
dan banyak lagi jenayah yang berlaku di kalangan remaja Islam, saya merasakan
bahawa pendidikan seks di dalam Islam yang banyak berkisar kepada penjagaan
aurat dan adab-adab sesama ahli keluarga dan individu lain perlulah ditekankan
oleh ibu bapa sejak anak-anak masih kecil
Memetik sebuah ayat alquran
dari surah An-Nur ayat 58
“Hai orang-orang yang
beriman, hendaklah budak-budak (lelaki dan wanita) yang kamu miliki, dan
orang-orang yang belum baligh di antara kamu, meminta izin kepada kamu tiga
kali (dalam satu hari) yaitu: sebelum sembahyang subuh, ketika kamu
menanggalkan pakaian (luar) mu di tengah hari dan sesudah sembahyang Isya.
(Itulah) tiga ‘aurat bagi kamu. Tidak ada dosa atasmu dan tidak (pula) atas
mereka selain dari (tiga waktu) itu. Mereka melayani kamu, sebahagian kamu (ada
keperluan) kepada sebahagian (yang lain). Demikianlah Allah menjelaskan
ayat-ayat bagi kamu. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
Daripada ayat di atas,
Allah telah membimbing tentang asas pendidikan di dalam rumah. Maka sejak kecil
lagi, anak-anak mestilah dibiasakan untuk meminta izin, pada masa-masa dimana
seorang lelaki dan seorang perempuan sedang duduk bersama-sama, supaya
anak-anak kecil ini tidak terserempak dengan sesuatu keadaan yang dia tidak
sepatut melihatnya.
Adab ini mestilah diajar
kepada anak-anak sebelum umur baligh mereka dan mereka mestilah mememinta izin
dalam tiga keadaan iaitu
I. Di waktu sebelum
sembahyang subuh kerana pada ketika itu manusia sedang tidur di atas tempat
peraduan mereka
II. Di waktu tengah hari, kerana manusia mungkin sedang menanggalkan pakaiannya ketika itu, dan sedang duduk bersama-sama isterinya
III. Di waktu sesudah sembahyang isyak kerana waktu itu adalah waktu tidur dan waktu berehat
II. Di waktu tengah hari, kerana manusia mungkin sedang menanggalkan pakaiannya ketika itu, dan sedang duduk bersama-sama isterinya
III. Di waktu sesudah sembahyang isyak kerana waktu itu adalah waktu tidur dan waktu berehat
Sekiranya anak-anak sudah
baligh dan cukup akal, maka wajiblah kepada para ibu bapa dan pendidik untuk
mengajar mereka meminta izin pada ketiga-tiga waktu tersebut sesuai dengan
firman Allah yang bermaksud
“Dan apabila anak-anakmu
telah sampai umur baligh, maka hendaklah mereka meminta izin, seperti
orang-orang yang sebelum mereka meminta izin. Demikianlah Allah menjelaskan
ayat-ayat-Nya. Dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.”
Anak-anak kecil sebelum
baligh lagi sudah diarahkan untuk meminta izin untuk memasuki bilik tidur, jadi
bagi ibu bapa, peraturan ini perlulah dilaksanakan di dalam rumahtangga. Maka,
pengasingan bilik tidur antara anak-anak dan ibu bapa perlulah dibuat sejak
anak-anak kecil. Jika masih tidur sebilik, bagaimanakah kita dapat mengajar
anak-anak tentang adab meminta izin ini?Melalui pengamatan saya, setelah
berkecimpung di dalam arena pendidikan anak-anak selama hampir sepuluh tahun,
saya dapati ramai di kalangan ibu bapa yang melihat proses mengasingkan
anak-anak tidur dari bilik ibu bapa sebagai satu perkara yang remeh.
Saya mendapati ramai ibu
bapa yang masih tidur sebilik dengan anak-anak walaupun anak-anak telah
menjangkau usia lima dan enam tahun, bahkan saya juga pernah bertemu dengan
anak yang masih tidur di bilik ibu bapa walaupun sudah berumur tujuh atau lapan
tahun.
Saya ingin menarik
perhatian ibu bapa diluar sana tentang satu peristiwa yang saya lalui sendiri.
Pada suatu hari, seorang
guru datang menemui saya.
“Kak syifa, ada seorang
pelajar lelaki lima tahun dari kelas saya selalu berkelakuan yang tidak sopan
terhadap rakan-rakan perempuannya. Saya dah cuba untuk menasihatinya, tetapi ia
tidak memberi kesan. Dia tetap melakukan perkara yang sama berulang kali, dan
ia sangat membimbangkan saya.” Cikgu Ida memulakan cerita dengan wajah penuh
kebimbangan. Saya mendengar dengan teliti.
“Kelakuan yang tidak sopan?
Dia buat macammana?” Hati saya sudah berdetap kencang, namun saya cuba mengawal
perasaan agar kebimbangan saya itu tidak menambah kerisauan yang bersarang di
dalam diri Cikgu Ida. Cikgu Ida merupakan seorang guru yang sangat prihatin,
apa jua masalah yang berlaku di tadika, pasti akan dibawa berbincang untuk
menyelesaikannya.
“Dia buat benda-benda yang
tak senonoh la kak, saya nak cerita pun rasa malu.” Cikgu Ida cuba berbahasa
dengan saya, wajahnya tertunduk mungkin tidak sanggup hendak menceritakan
perihal anak muridnya itu.
“Dia buat macamana Ida?
Akak tak boleh nak tangkap apa yang Ida cakap ni. Demi kebaikan anak-anak di
tadika kita ni, cuba Ida ceritakan apa yang berlaku sebenarnya.” Saya memujuk
Cikgu Ida untuk bercerita dengan lebih jelas. Perkataan ‘tidak senonoh itu
terlalu umum untuk saya terjemahkan.
“Mmm… Mmm… Dia suka cium
dan pegang-pegang budak perempuan la kak… Pelajar-pelajar perempuan selalu
mengadu dengan cikgu-cikgu, saya bimbang jika perkara ini berlarutan ibu bapa
akan membuat aduan, dan saya bimbang jika pelajar perempuan yang diganggu itu tidak
mahu lagi ke sekolah.”
Saya mengangguk-angguk
sambil menumpukan sepenuh perhatian kepada aduan beliau.
“Baru-baru ini, dia bermain
dengan kawan-kawan di bawah meja, kemudian tidak semena-mena dia mencium pipi
seorang budak perempuan ni, pelajar-pelajar lain yang melihat kejadian ini
menjerit-jerit memberitahu cikgu-cikgu manakala pelajar perempuan tadi sudah
menangis, mungkin terasa malu dan tidak selesa dengan kelakuan rakannya itu
tadi.”
“Bila cikgu-cikgu bertanya
kenapa dia buat begitu, dia hanya terkulat-kulat memandang cikgu dan hanya
mendiamkan diri. Dia tidak mahu bercakap, cikgu –cikgu sudah menasihatinya dan
berpesan kepada pelajar-pelajar lain agar tidak melakukan perkara yang sama.
Namun, ia berulang lagi tengahhari tadi. Nampaknya kita perlu melakukan sesuatu
untuk membendung perkara sebegini.” Panjang lebar Cikgu Ida menjelaskan kepada
saya. Saya menelan air liur yang terasa pahit.
“Oh begiitu, ada apa-apa
lagi kelakuan yang tidak menyenangkan?” Saya bertanya lagi
“Mmm… Dia juga selalu menyebut-nyebut
perkatan “cium mulut”.. Ish akak, saya nak sebut pun malu rasanya.” Merona
warna kemerahan di wajah Cikgu Ida, malu. Tersirap juga darah saya dibuatnya.
Tidak menyangka anak sekecil lima tahun sudah tahu perkataan-perkataan
sebegitu. Saya beristighfar berulang kali.
“Berat juga masalah ni,
tapi Insya Allah masih boleh diubati dan diselesaikan. Insya Allah, sama-sama
kita hadapi masalah ini dengan berhikmah dan bijaksana.” Saya menutup
perbincangan dengan menawarkan diri untuk menyelesaikan masalah ini secara
serius.
Selepas perbincangan saya
dengan Cikgu Ida hari itu, saya banyak meluangkan masa untuk melihat sendiri
apa yang dilakukan oleh pelajar tersebut tanpa dia menyedari dia sedang
diperhati.
Setelah beberapa waktu
menyiasat perkara tersebut, terkejut saya apabila saya bertanya : “Kamu tengok
siapa buat macam ni? Kamu tengok di televisyen?”
Anak kecil itu menggeleng
lalu berkata: “Ibu dan ayah.” Terkedu saya sebentar lalu beristighfar panjang.
“Kamu tidur di bilik kamu
atau di bilik ibu ayah kamu?” Saya bertanya lagi
“Bilik ibu ayah.” Pendek
sahaja jawapannya
Bagi menyelesaikan masalah
tersebut, saya tiada cara lain selain memanggil ibu bapa berkenaan untuk
berbincang, dan ternyata ibu bapa itu sendiri terkejut kerana mereka
membayangkan bahawa anak-anak sudah tidur sewaktu mereka ‘bersama’.
Kisah-kisah sebegini
sebenarnya banyak saya dengar dari rakan taulan pengusaha tadika yang lain.
Bahkan satu kisah yang lebih teruk saya dengar, seorang pelajar lelaki telah
duduk di atas perut seorang pelajar perempuan ketika pelajar itu tidur kerana
melihat bapanya berbuat begitu terhadap ibunya. Na’uzubillah.
Perkara sebeginilah yang
perlu kita elakkan, jangan biar sudah berlaku sedemikian, baru lah kita ingin
mengambil tindakan. Pada saya, bukan mudah untuk membaiki keadaan, kerana anak
itu berkelakuan sedemikian diatas faktor pernah melihatnya sendiri. Malah, ia
dilakukan oleh orang yang paling mereka percayai iaitu ibu bapa mereka sendiri!
Bagi mereka apa yang dibuat oleh ibu bapa bukanlah perkara yang salah.
Yang lebih membimbangkan,
anak kita bukanlah seperti komputer yang boleh kita hapuskan sahaja maklumat
yang tidak kita ingini lagi dengan menekan butang ‘delete’. Sekali ia tersimpan
di dalam memori mereka, apakah caranya untuk memadamkannya?
Oleh itu wahai ibu bapa
yang budiman, asingkanlah anak-anak dari bilik tidur kalian seawal mungkin,
iaitu apabila anak sudah pandai meniru kata-kata dan tingkah laku kita.
Walaupun ia proses yang agak sukar, namun kita mestilah serius untuk
menjayakannya.
Jangan biarkan nasi menjadi
bubur, kerana kita tidak tahu mungkin anak kita tersedar dari tidur dan
terlihat perkara yang tidak sepatutnya. Berjaga-jagalah dari awal lagi.
Oleh itu, bagi kita umat
Islam yang meyakini bahawa Al-Quran adalah manual kehidupan yang paling lengkap
dan terbaik, kita perlulah meyakini bahawa Islam amat mengambil berat terhadap
pendidikan anak-anak dari sejak mereka mula mengenal sifat malu, dan akhlak
pergaulan yang baik serta budiperketi Islam yang mulia.
Sehingga, apabila anak
mencapai usia remaja, dia akan menjadi satu contoh teladan yang mulia dalam
kelakuan dan akhlaknya.
Betapa kerap berlaku
sesuatu yang memalukan, apabila si anak masuk ke dalam bilik tidur, dan
terserempak melihat kedua ibu bapanya sedang asyik dalam perhubungan seks.
Kemudian si anak itu keluar dari situ seraya bercerita sesama teman-temannya
yang kecil. Dan berapa banyak pula yang mengkhayalkan lakonan itu di dalam
lintasan fikirannya ketika gambaran itu berulang di dalam otaknya
Dan betapa banyak pula anak
yang menyeleweng disebabkan dari kecil telah merasa keinginan kepada seks dan
telah melihat bagaimana caranya berhubungan seks serta merasa kelazatannya.
Lantaran itu, maka wajiblah
atas ibu bapa dan para pendidik teguh dengan adab Al-Quran Al-Karim dalam hal mengajar
anak meminta izin sejak dia mula berakal. Mudah-mudahan anak-anak akan
mempunyai akhlak yang mulia, mempunyai peribadi Islam yang berbeza dengan yang
lain serta menjadi penyejuk mata kita di dunia dan akhirat.
Wallahua’lam
No comments:
Post a Comment