RAKAN BLOG MASJID

23 April 2014

WAHAI ANAKKU !

Wahai anakku,
Janganlah kamu rasa hebat terhadap dirimu kerana kamu tidak lebih hanyalah hamba yang hina di sisi Tuhanmu. Kita tidak lebih dari hamba yang banyak dosa di sisi Allah. Kita hanya insan kerdil yang akan berdiri di hadapan Allah di padang yang maha luas. Kita hanya insan yang akan menggigil ketakutan, bilamana segala dosa dibentangkan. Kita akan merayu-rayu mengharap keampunan Allah bilamana segala kesalahan dibentang satu-persatu. Kita akan mengutip setiap pahala di padang Mahsyar bagi menolong kita sewaktu dihisab.

Wahai anakku,
Kita akan saling lari antara satu sama lain, kerana dosa antara kita.
Kita akan merangkak di hadapan Tuhan.
Kita akan merayu dalam tangisan terhadap ketentuan nasib yang semakin dekat.
Kita akan kekeringan di tengah panasnya mentari.
Kita akan kelaparan yang panjang tanpa sebarang makanan.
Kita akan kehausan tanpa bekalan minuman.

Kita akan menanti giliran untuk dihisab, Hisaban yang sangat mencemaskan...
Hisaban yang tiada sogokan...Hisaban yang semua mata akan menumpu kepada kita...Hisaban yang menentukan nasib kita selepas itu...Hisaban yang menyebabkan semua yang berdosa akan cuba lari darinya.

Selepas itu Wahai anakku,
Kita akan melaluinya...Kita akan menempuhinya...kita akan dipaksa menitinya. Itulah yang amat menggerunkan, menakutkan, mengharap keselamatan.
Itulah titian sirat.

Wahai anakku,
Semua orang tidak lagi mempedulikan apa yang ada di sekelilingnya. Tubuhmu tidak akan mampu lagi berdiri. Kakimu akan menggeletar ketakutan di atas titian sirat. Jauhnya perjalanan, sempitnya laluan dan halusnya titian.

Wahai anakku,
Aku mengharapkan keselamatan yang tidak pernah aku mengharap sedemikian pada saat itu. Aku tidak akan mendoa untuk orang lain pada waktu itu, melainkan diriku. Aku tidak akan ingat sesiapa lagi pada saat itu, walaupun Rasul yang paling aku kasihi. Itulah kedahsyatan yang aku tidak mampu untuk menulisnya lagi.

Ya Allah..,
Aku memohon rahmatmu di saat itu untuk diriku dan semua yang aku sayangi. Tanpamu aku tidak akan selamat. Tanpamu aku tidak mampu berdiri. Tanpa redhamu, aku tiada apa-apa lagi di kala itu.

Ya Allah,
Selamatkan aku dan orang yang aku sayang di saat nerakaMu dinyalakan.

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."