Usah mudah putus asa mohon keampunan Allah (ePondok)
Daripada Anas bin Malik, dia mendengar Rasulullah SAW bersabda bahawa Allah SWT berfirman:
“Wahai anak Adam, selagi engkau meminta dan berharap kepada-Ku maka Aku mengampuni segala dosamu yang sudah lalu, dan Aku tidak akan mempedulikannya. Wahai anak Adam, jika dosamu sampai setinggi langit lalu engkau minta ampun kepada-Ku nescaya Aku mengampuninya. Wahai anak Adam, jika engkau datang kepada-Ku dengan kesalahan seluas permukaan bumi lalu engkau menemui-Ku tanpa menyekutukan sesuatu pun dengan-Ku, nescaya Aku akan datang padamu dengan pengampunan seluas bumi pula.” (Riwayat al-Tirmizi dan al-Bhagawi)
Ini menjelaskan luasnya keampunan Allah SWT supaya hamba tidak berputus asa walaupun telah melakukan dosa. Namun, itu tidak bermakna kita boleh leka dalam dosa kerana dikhuatiri diri akan terbiasa dalam dosa dan terhalang untuk bertaubat.
Gambaran sifat pemurah Allah
Hadis ini juga mengandungi khabar gembira, belas kasih dan gambaran sifat pemurah Allah SWT yang amat besar. Tidak terhitung banyaknya kurniaan kebaikan, belas kasih dan pemberian Allah SWT kepada hamba-Nya.
Rasulullah SAW bersabda: “Allah lebih bergembira atas taubat seorang hamba-Nya daripada (kegembiraan) seseorang antara kamu yang menemui kembali haiwannya yang hilang.”
Demi mendapat keampunan daripada dosa yang telah dilakukan, hendaklah berdoa dengan diiringi harapan supaya dimakbulkan. Fokus ketika meminta doa kerana doa tidak diterima dengan hati yang lalai serta kosong daripada harapan.
Mintalah ampun walau sebesar mana dosa yang telah dilakukan dan istighfar hendaklah diikuti dengan taubat tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu.
Jika kita meminta ampun tetapi tetap melakukan dosa, maka ada kemungkinan permohonan ampunan kita tidak diterima Allah SWT. Orang yang berdusta dalam bertaubat seperti orang yang ingin menuai padi tetapi tidak pernah menanamnya.
Bertauhid kepada Allah SWT adalah kunci mendapat keampunan. Orang yang beriman dan tidak melakukan syirik tidak kekal dalam neraka, akhirnya akan dimasukkan ke dalam syurga.
No comments:
Post a Comment