RAKAN BLOG MASJID

11 July 2013

KOMENTAR YANG BAIK DARI SOT

 
Selawat dan salam kepada Rasulullah, keluarga Baginda dan para sahabat Baginda. Alhamdulillah kerana dipanjangkan usia oleh Allah SWT untuk terus bernafas di udara Ramadan yang kini masuk hari ketiga. Malam tadi masjid terus di penuhi ribuan jemaah. Hidangan moreh yang disediakan habis licin dan ramai para jemaah yang tak dapat menjamahnya untuk malam ketiga berturut-turut. Tapi tidak mengapa bukan moreh idaman hati tapi ikhlas beribadah di Rumah Allah itu yang utama.

Bulan Ramadan adalah sebaik-baik bulan, malamnya sebaik-baik malam, siangnya sebaik-baik siang dan waktunya adalah sebaik-baik waktu. Istimewa dan mulianya bulan Ramadan ini layaknya sebagai penghulu segala bulan. Istimewanya lagi ialah kita semua dikumpulkan dalam kemuliaan ini. Maka sangat rugilah jika hari-hari Ramadan ini dibiar berlalu tanpa dosa-dosa diampunkan, amalan yang tidak bertambah dan gagal menjadi tetamu di Rumah Allah.

Kita mohon supaya dapat menjalankan amalan di bulan Ramadan ini dengan sebaik-baik amalan. Semoga Allah kurniakan kita kekuatan fisikal dan dalaman untuk dapat melakukan ibadah. 24,000 nafas turun naik kita ini dikira tasbih. Tidur kita dikira ibadah. Semua doa kita dimakbulkan Allah. Inilah masanya menadah tangan memohon ampun kepada Allah. Inilah masanya Allah memandang kita dengan penuh rahmat dan kasih sayang.


Diri kita ini tergadai dengan segala amal buruk yang kita lakukan setiap hari. Maka cara menebusnya ialah dengan memperbanyakkan istighfar dan memanjangkan sujud dalam solat kita mohon keampuanan  daripada Allah SWT.

Antara amalan istimewa di sepanjang Ramadan ini termasuklah menyediakan juadah berbuka kepada orang yang berbuka puasa dengan juadah yang terbaik yang kita sendiri sukai. Sebaik-baik amalan itu ialah yang paling sulit kita melakukannya. Allah SWT memberi pahala seperti memerdekakan seorang hamba dan Allah SWT akan mengampunkan dosa-dosa yang yang lalu.

Sesiapa yang mendirikan solat-solat sunat di bulan agung ini, balasannya ialah dijamin mereka dibebaskan daripada api neraka Allah. Sesiapa yang mendirikan solat fardu, nilainya umpama mendirikan 70 solat fardu di bulan-bulan yang lain. Ketiganya ialah memperbanyakkan selawat di mana ini akan memberatkan timbangan amal kebaikan di padang mahsyar nanti. Seterusnya ialah membaca satu surah al-Qur'an di bulan Ramadan ini adalah umpama membaca 30 juzuk al-Qur'an di bulan yang lain.

Maka sebagai konklusi, "Ini Kali Lah !!"  Usah tangguh. Usah tunggu lagi. Tingkatkan amal soleh kita. Hari-hari Ramadan pantas berlalu. Jangan biarkan ia berlalu pergi tanpa peningkatan dalam amalan kita. Ramadan adalah anugerah yang tertinggi untuk umat ini. Terimalah anugerah ini. Raihlah segala keuntungan yang tiada tolok bandingnya walaupun dunia dan seisinya. Muliakan diri di sisi Allah SWT. Ini Kali Lah !!

No comments:

Post a Comment

PERINGATAN BAGI LELAKI !

Mengikut Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995
"Mana-mana lelaki yang baligh yang tidak menunaikan Sembahyang Jumaat

tanpa apa-apa keuzuran syarie yang boleh didakwa dibawah Seksyen 20,

Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995, sekiranya disabit

kesalahan boleh di denda tidak lebih RM1,000 ATAU dipenjarakan selama

tempoh tidak melebihi enam (6) bulan ATAU kedua-duanya sekali."