Antara
cabaran besar yang sedang dihadapi oleh institusi masjid di negara ini
pada masa kini ialah untuk menarik lebih ramai generasi muda agar
kembali memakmurkan masjid. Tugas ini sememangnya tidak mudah,
memandangkan kecenderungan dan kesibukan orang-orang muda yang lebih
terpaut kepada perkara-perkara lain yang lebih "menyeronokkan". Mereka
nampaknya lebih gemar menonton perlawanan bola sepak di stadium, bermain
permainan komputer di kafe siber, merempit di jalan raya, bertemu janji
dengan kekasih di taman, menonton rancangan realiti berbentuk hiburan
di televisyen dan lain-lain lagi berbanding untuk bertandang ke masjid.
Lebih-lebih lagi generasi muda sekarang
tidak lagi seperti generasi muda beberapa dekad lalu; mereka kini lebih
terdedah dengan maklumat dan pengaruh luar akibat globalisasi, yang mana
akhirnya menjerumuskan mereka kepada perkara-perkara yang melalaikan
sehingga melupakan ajaran agama dan adat ketimuran yang diwarisi sejak
zaman-berzaman. Bukan sekadar tidak ke masjid, malah ibadah solat fardu
pun sudah dialpakan.
Maka, apakah solusi terbaik kepada
dilema ini? Ada yang berpandangan, proses tarbiah dan bimbingan Islam
kepada generasi muda harus terus dipergiatkan. Jika anak-anak muda ini
sudah mendapat kefahaman yang benar mengenai agama, insya-Allah mereka
akhirnya akan komited untuk mempraktikkan Islam dalam kehidupan,
termasuk memakmurkan masjid dengan ibadah mereka. Saya kira ini satu
pandangan yang bernas juga, namun sebenarnya tidak cukup sekadar itu
kalau hendak memastikan hati anak-anak muda ini benar-benar terpaut pada
institusi masjid.
Pada pendapat saya, sistem sokongan
daripada institusi masjid juga perlu diambil kira jika hendakkan
generasi muda berdamping dengan masjid. Lebih khusus lagi, aktiviti dan
persekitaran sesebuah masjid itu hendaklah sesuai dengan citarasa dan
keperluan orang-orang muda. Penyediaan infrastruktur dan jenis program
yang tepat, kontemporari dan selaras dengan kehendak syarak adalah
penting jika kita hendak memulakan suatu gerakan mengembalikan semula
generasi muda ke masjid. Ingatlah kata-kata Umar bin al-Khatab,
"Didiklah anakmu sesuai dengan zamannya..."
Berpandukan sedikit pengalaman yang saya
timba sewaktu bergelumang dengan dunia dakwah remaja suatu masa dahulu,
terdapat beberapa jenis aktiviti yang boleh dilaksanakan oleh institusi
masjid untuk ditujukan kepada generasi muda masa kini. Antaranya ialah:
1. Sukan
Majoriti anak muda sekarang, terutamanya
lelaki memang menggemari aktiviti sukan. Sesuai dengan keadaan ini,
institusi masjid boleh mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan
aktiviti berkaitan sukan yang membabitkan anak-anak muda. Sukan seperti
bola sepak, futsal, bola jaring, badminton, bola tampar, sepak takraw,
ping pong, malah sukaneka dan sukan rakyat adalah antara jenis sukan
yang boleh dipertimbangkan untuk dijalankan. Lebih cantik lagi kalau
dapat diadakan pertandingan sukan antara masjid, pasti bertambah
kemeriahannya dengan penglibatan anak muda. Sewaktu menjalankan aktiviti
tersebut, selitkanlah juga sedikit tazkirah pada mana-mana ruangan yang
sesuai. Tekankan tajuk-tajuk seperti kepentingan beriadah, menjaga
aurat, bekerjasama dalam satu pasukan, hatta peranan generasi muda
memakmurkan masjid.
2. Rekreasi
Selain sukan, anak-anak muda juga
sukakan aktiviti berbentuk rekreasi. Ini bersesuaian dengan ciri-ciri
generasi muda yang sememangnya aktif, lasak dan sukakan cabaran. Antara
jenis aktiviti rekreasi yang boleh dilaksanakan ialah perkhemahan,
berkayak, ekspedisi memanjat gunung, mencari harta karun (treasure hunt)
dan explorace. Jangan lupa untuk menyelitkan sebarang bentuk aktiviti
kerohanian sepanjang mengadakan program rekreasi tersebut.
3. Kesenian dan kebudayaan
Ramai juga anak muda yang meminati
bidang seni. Justeru, bagi meraikan fitrah anak muda ini, aktiviti
berbentuk kesenian dan kebudayaan boleh dianjurkan oleh pihak masjid.
Contoh aktiviti adalah seperti nasyid, kompang, tulisan khat, seni
mempertahankan diri, pentomen dan teater. Saya tertarik dengan satu
pendekatan yang dibawa oleh sebuah kumpulan yang mempromosikan teater
berjudul "Menunggu Kata Dari Tuhan" di masjid-masjid di seluruh negeri
Selangor sejak tiga tahun lalu. Sambutannya cukup memberangsangkan dan
ternyata mampu menarik anak muda untuk menyaksikannya lantas mendekatkan
mereka dengan institusi masjid.
4. Seminar, bengkel, forum dan kem
Walaupun aktiviti-aktiviti ini bunyinya
sedikit formal, namun jika pengisian dan pendekatannya segar dan
menepati selera orang muda, saya pasti aktiviti sebegini juga mampu
menarik minat remaja untuk berkunjung ke masjid. Modul-modul alaf baru
berkaitan generasi muda boleh diketengahkan seperti ‘Keindahan
Bersamamu’, ‘Anda Bijak Jauhi Zina’, ‘Reproduksi Remaja’, ‘S.P.I.E.S’,
‘Remaja Raikan Ramadan’ dan ‘Hidup Zero Alasan’. Di samping itu lebih
baik lagi jika dapat dilibatkan figura dan selebriti terkenal yang
cenderung kepada Islam seperti Dato' Dr Mohd Fadzilah Kamsah, Prof. Dr.
Muhaya Mohamad, Dr Harlina Halizah Siraj, Wardina Safiyyah, Asyraf
Muslim, Akil Hayy, Ahmad Fedtri Yahya, Irma Hasmie dan Heliza Helmi,
juga artis-artis nasyid seperti Rabbani, Raihan, In-Team, Nowseeheart
dan lain-lain lagi.
5. Lawatan
Lawatan sambil belajar adalah suatu
aktiviti yang cukup bermanfaat buat generasi muda. Bawalah mereka ke
tempat-tempat bersejarah, institusi pengajian tinggi, rumah-rumah
kebajikan dan ekspo atau pameran yang bersesuaian. Insya-Allah, pasti
mereka berasa seronok dan memperoleh manfaat melalui aktiviti sebegini.
6. Pertandingan kreatif
Di samping itu adakanlah aktiviti
berbentuk pertandingan kreatif yang khusus disertai oleh golongan remaja
dan belia. Contoh pertandingan ialah pertandingan filem pendek,
pertandingan melukis komik, pertandingan kuiz isu Palestin, pertandingan
flash, pertandingan foto bermesej, pertandingan mereka bentuk laman web
masjid, Akademi Khatib dan sebagainya. Pastikan promosi pertandingan
ini disebarkan seluas mungkin dengan penyediaan hadiah yang mampu
menarik minat anak-anak muda untuk menyertainya.
Cukuplah sekadar itu saranan saya. Saya
percaya banyak lagi jenis aktiviti lain yang boleh diadakan bagi
menjayakan hasrat kita untuk membuatkan generasi muda hari ini "jatuh
cinta" dengan masjid. Oh ya, ada juga rakan-rakan saya yang pernah
berkunjung ke Singapura yang menceritakan begitu hidupnya aktiviti
masjid di sana, khususnya aktiviti kepada remaja dan belia. Saya
berharap suatu hari nanti saya akan sampai ke sana dan melihat sendiri
realiti seperti yang diceritakan orang tersebut.
Sebelum itu ayuh kita realisasikan kerja
besar kita ini di tempat kita sendiri. Suatu kerja besar yang
memerlukan pengorbanan yang besar...
terbaik
ReplyDeleteTerbaik, terima kasih atas perkongsian
ReplyDelete